Oleh: Ustaz Zaharuddin
ISU USTAZ DAN BALASAN DUIT
Sidang Jumaat rahimakumullaah,
Di dalam sebuah rumah di Madinah, ‘Umar al-Khattab radhiyallaahu ‘anhu duduk bersama dengan sekumpulan sahabat. Beliau berkata kepada mereka, “nyatakan harapan kamu!” Salah seorang daripada mereka berkata, “impianku adalah untuk memiliki emas yang dapat memenuhi rumah ini, agar aku dapat membelanjakannya di jalan jihad.”
Kemudian ‘Umar berkata lagi, “nyatakan harapan kamu!” Seorang lagi sahabat berkata, “impianku adalah agar rumah ini penuh dengan permata dan mutiara agar semuanya dapat kubelanjakan untuk jihad dan kebajikan fi sabilillah.”
‘Umar berkata lagi buat kali yang ketiga, “nyatakan harapan kamu!” Lalu sahabat-sahabat yang ada berkata, “kami sudah tidak tahu apa yang patut diperkatakan wahai Amirul Mu’minin.”
Lalu ‘Umar berkata, “harapanku ialah agar rumah ini penuh dengan lelaki-lelaki seperti Abu ‘Ubaydah ibn al-Jarrah, Muaz ibn Jabal dan Salim budak suruhan Abu Huzaifah, agar mereka semua dapat digunakan bagi meninggikan kalimah Allah!”
Benar.
Semoga Allah mencucurkan redha dan rahmat-Nya kepada ‘Umar. Beliau sesungguhnya tahu apakah sebenarnya tunggak sebuah tamadun, bagaimana misi yang besar boleh Berjaya dan bagaimanakah ummah yang mati boleh dibangkitkan semula.
Walaupun sebuah negara dengan wawasannya memerlukan sumber untuk berjaya, mereka terlebih dahulu memerlukan manusia yang merancang dan menguruskan sumber-sumber itu. Malah di antara segala keperluan sebuah negara, keperluan tertinggi ialah pada lelaki-lelaki sejati, tunggak ummah berdiri.
Sidang Jamaah yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya lelaki-lelaki tulen itu amat sukar untuk dicari, sebagaimana sukarnya mencari intan dan permata. Kerana itu, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda:
“Manusia adalah seperti unta, daripada seratus unta hanya seekor sahaja daripadanya yang dapat digunakan dalam perjalanan jauh.” [Hadith riwayat al-Bukhari]
Sejarah membuktikannya.
Catatan-catatan hebat di sepanjang sejarah itu berlaku bukan ketika umat bertemu permata berharga yang tidak pernah ditemui sebelumnya. Tetapi umat akan mencapai kegemilangan seiringian dengan kemunculan manusia-manusia hebat seperti Salahuddin al-Ayyubi dan Muhammad al-Fatih pembebas Constantinople.
Impian ‘Umar al-Khattab itu adalah sebenar-benar impian yang juga diimpikan oleh lelaki tulen yang hebat sepertinya.
Sidang Jamaah rahimakumullaah,
Lelaki tulen yang bagaimanakah yang kita impikan?
Apakah yang bermisai lintang atau muka dihias jambang?
Pelanggan tongkat ali atau penagih kopi keras malam dan siang?
Jika itulah ukuran ketulenan seorang lelaki, kita sudah memiliki cukup ramai lelaki yang sedemikian itu.
Sesungguhnya kehebatan seorang lelaki, tidaklah ditentukan oleh usia. Di sana terdapat ramai sahaja lelaki yang berusia 60 tahun tetapi memiliki jiwa dan pemikiran berusia 6 tahun. Mereka ini masih tenggelam dalam keseronokan dan hal-hal yang tidak bermakna dalam hidup ini. Sebagaimana mereka begitu mudah dirangsang keseronokan, begitu jugalah mereka ini begitu mudah dikalahkan oleh ujian. Sedikit cubaan hidup menumbangkan kekuatan dirinya.
Mereka ini tidak lebih daripada sekumpulan kanak-kanak yang terperangkap di dalam tubuh manusia dewsa.
Sedangkan di satu sudut yang lain, kita bertemu dengan orang muda yang kata-katanya, tingkah lakunya dan pemikirannya menyerlahkan kematangan dan kejantanan hakiki.
Di dalam satu peristiwa, ‘Umar al-Khattab radhiyallaahu ‘anhu telah lalu berdekatan dengan sekumpulan kanak-kanak lelaki yang sedang bermain. Mereka bertempiaran lari semasa melihat kelibat ‘Umar kecuali seorang iaitu ‘Abdullah Ibn al-Zubayr radhiyallaahu ‘anhu. Lalu ‘Umar bertanya kepadanya, “mengapakah kamu tidak lari bersama kawan-kawanmu?” Beliau berkata, “Wahai Amir al-Mu’minin, aku tidak melakukan apa-apa kesalahan untuk aku takut kepadamu dan jalan ini juga tidak sempit. Ruang yang ada cukup untuk engkau lalu!”
Begitu juga di dalam suatu peristiwa, seorang anak remaja masuk ke istana mengadap salah seorang Khalifah Bani Umayyah, untuk bercakap mewakili kaum kabilahnya. Khalifah berkata, “carikan lelaki yang lebih dewasa untuk mewakili kaummu!” Budak lelaki itu berkata, “wahai Amir al-Mu’minin, seandainya kepimpinan ditentukan oleh faktor usia, maka di sana ada lebih ramai orang lain yang layak menjadi Khalifah selain engkau.”
Ini adalah sebahagian daripada catatan sejarah yang memaparkan tentang kualiti jati diri dan kejantanan sebenar yang ditonjolkan oleh manusia yang hebat biar pun pada usia yang masih muda.
Sesungguhnya ketokohan seseorang itu tidak pernah ditentukan semata-mata oleh tubuh yang besar dan sasa.
Allah SWT mengungkapkan tentang perspektif orang-orang Munafiq di dalam firman-Nya:
“Apabila engkau melihat mereka, engkau akan berasa takjub dengan penampilan tubuh badan mereka” [al-Munafiqun : 4]
Abdullah ibn Ubai ibn Salul, ketua kaum Munafiq ini mempunyai tubuh badan yang hebat dan berpakaian dengan pakaian yang mengagumkan. Beliau dan kaumnya berasa bahawa penampilan itu mampu menyembunyikan kejelekan diri mereka yang sebenar.
Tetapi di dalam sambungan ayat ini, Allah memberikan ungkapan yang sangat tepat tentang hakikat mereka ini:
“Sedangkan mereka itu tidak ubah seperti kayu reput yang tersandar di dinding” (Al-Munaafiqoon: 4)
Ada manusia yang tersalah memandang, menyangkakan bahawa kayu itulah yang menampung tegaknya dinding. Hakikatnya kayu itu langsung tidak mempunyai sebarang makna. Tersandar menunggu reput dimamah hari.
Di dalam sepotong hadith Sahih yang lain, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda, “seorang lelaki berdosa yang bertubuh sasa di dalam hidup, tidak mempunyai sebarang nilai pada timbangan Akhirat walaupun pada kadar seekor nyamuk.”
Lalu Baginda membacakan firman Allah:
“ Mereka orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan dengan-Nya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang nilai di Akhirat nanti pada timbangannya” [al-Kahf : 105]
‘Abdullah ibn Mas’oud merupakan seorang lelaki yang ‘dhaif pada tubuh badan. Pada suatu hari salah satu kakinya tersingkap hingga kelihatan betapa kurusnya kaki itu. Sebahagian sahabat yang melihatnya ketawa. Lalu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda, “Kamu mentertawakan kakinya yang kurus, tetapi aku bersumpah demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, kaki-kaki itu lebih berat di Akhirat nanti berbanding Gunung Uhud!”
Sidang Jemaah sekalian,
Usaha untuk melahirkan manusia yang memiliki jati diri sejati di era ini adalah suatu cabaran yang sangat besar. Setiap anak yang lahir, mereka memiliki fitrah dan potensi yang sama. Akan tetapi ramai yang terjebak ke kancah kesilapan apabila membiarkan kemewahan dan kesenangan hidup merosakkan potensi ini hingga menjejaskan personaliti mereka.
Kembali kepada persoalan utama, apakah tindak tanduk kita yang membunuh potensi itu, dan apakah tindak tanduk kita yang boleh membangunkan potensi berkenaan?
Di mimbar Jumaat ini, kita rumuskan beberapa amalan yang terdapat di dalam Islam, khusus untuk membina jati diri anak-anak kita agar mereka membesar dengan nilai peribadi dan kematangan yang optimum:
Pertama: Gelaran
Di dalam Sunnah, banyak dipaparkan contoh bagaimana anak-anak diberikan gelaran Abu oleh Rasulullah sallaahu ‘alayhi wa sallam. Biar pun kanak-kanak ini masih kecil, tetapi gelaran Abu itu menyuntik nilai kedewasaan pada anak-anak ini.
Anas bin Malik radhiyallaahu ‘anhu menceritakan bagaimana beliau mempunyai seorang adik yang masih kecil, baru sahaja belajar menjamah makanan pejal. Dia digelar Abu ‘Umair. Apabila adiknya ini ada bersama Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam akan berkata, “Wahai Abu ‘Umair, apa yang Nughair sedang lakukan?” (Nughair itu adalah seekor burung kecil yang sering menjadi permainan Abu ‘Umair itu). [Hadith riwayat al-Bukhari]
Di dalam amalan kita yang mungkin penggunaan gelaran Abu atau Ummu itu agak janggal, terdapat amalan yang biasa dilakukan dengan motif yang sama. Anak-anak diberikan gelaran Abang Long atau Yop, Uda, Alang dan lain-lain, yang mana penggunaan gelaran ini kepada anak-anak membantu mereka untuk cepat berasa dewasa dengan sifat keabangan dan tanggungjawab.
Amalan seperti ini harus diteruskan dan hindarkanlah memberi gelaran yang membantutkan rasa kedewasaan anak-anak ini seperti Anje, Bucu, Boboi atau Adik kepada anak yang sudah sepatutnya dewasa dan menggalas tanggungjawab kehidupan.
Kedua: Membawa Anak-anak ke Majlis Orang Dewasa
Amalan ini juga membantu mendedahkan anak-anak kepada alam dewasa dan meningkatkan daya fikiran mereka. Ini merupakan amalan Sahabat-sahabat Nabi. Mereka sering membawa anak untuk hadir bersama di dalam majlis mereka bersama dengan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Muawiyah ibn Qarrah meriwayatkan daripada bapanya bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam apabila duduk bersama para sahabat, setiap seorang mereka akan membawa anak masing-masing yang mana anak-anak itu akan berdiri di belakang bapa mereka, lalu si bapa akan mendudukkan si anak di hadapannya. [Hadith riwayat al-Nasaa’ie]
Di dalam kehidupan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan para Sahabat, kehadiran anak-anak di dalam majlis mereka tidak pernah dianggap sebagai gangguan, malah anak-anak itu dibawa oleh ibu bapa dengan matlamat yang sama, mendedahkan anak dengan majlis orang dewasa untuk mendewasakan mereka.
Ketiga: Mengiktiraf Anak-anak di Khalayak
Sahl ibn Sa’id menceritakan bagaimana Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam di dalam satu majlis, baginda dibawakan cawan untuk minum. Di kanan baginda ada seorang kanak-kanak manakala yang dewasa berada di sebelah kiri. Selepas Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam minum, baginda bertanya kepada kanak-kanak itu, “apakah kamu benarkan aku beri cawan ini kepada orang-orang dewasa sebelum aku berikannya kepada kamu?” Kanak-kanak itu menjawab, “aku tidak akan mengalah dengan hakku untuk minum sejurus selepasmu.” Lalu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam memberikan cawan itu kepadanya. [Hadith riwayat al-Bukhari]
Kita sebagai ibu bapa dan orang yang dewasa harus menggalakkan perbuatan-perbuatan seperti ini, melayan anak-anak ini sesekali sebagai manusia dewasa untuk menimbulkan rasa tinggi harga diri pada diri mereka.
Di dalam sebuah hadith, Anas bin Malik radhiyallaahu ‘anhu menceritakan bagaimana Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam melalui sekumpulan kanak-kanak lalu baginda memberi salam kepada mereka. [Hadith riwayat Muslim]
Jangan sekali-kali memalukan anak-anak dengan memarahi atau menghina mereka di hadapan orang ramai kerana ia akan membunuh keyakinan diri dan menimbulkan dendam yang merosakkan emosi. Anak-anak, biar pun pada usia yang kecil sudah mempunyai harga diri yang mesti dihargai, khususnya oleh ibu bapa mereka sendiri.
Keempat: Mengajar Mereka Sukan Lasak
Abu Umamah ibn Sahl radhiyallaahu ‘anhu meriwayatkan bahawa ‘Umar al-Khattab radhiyallaahu ‘anhu menulis kepada Abu ‘Ubaidah al-Jarrah radhiyallaahu ‘anhu mengarahkan kepadanya, “ajarkanlah anak-anak kamu berenang” [riwayat Ahmad di awal Musnad 'Umar al-Khattab]
Anak-anak perlu didedahkan dengan sukan-sukan yang boleh meningkatkan semangat, kekuatan jiwa dan daya survival diri mereka. Malah dalam kehidupan seharian, anak-anak yang lelaki harus diajar membuat kerja yang kasar sesuai dengan kemampuan mereka seperti membasuh kereta, berkebun, mengecat, bertukang dan lain-lain aktiviti di bawah matahari untuk meningkatkan kelasakan mereka.
Kelima: Menghindarkan Anak-anak Lelaki Daripada Elemen Keperempuanan
Anak-anak lelaki wajar dihindarkan daripada aktiviti-aktiviti yang lazimnya dekat dengan naluri dan jiwa perempuan. Memakaikan anak-anak dengan pakaian yang berwarna atau bercorak seperti perempuan, memakai sutera dan barang kemas, bergelumang dengan muzik yang lembik biar pun ia nasyid dan hal-hal lain yang mengurangkan kelasakan anak-anak ini hendaklah dihindarkan
Keenam: Memberikan Tugasan dan Berkongsi Rahsia Dengan Kanak-kanak
Anas bin Malik radhiyallaahu ‘anhu menceritakan, “Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam datang kepadaku ketika aku sedang bermain dengan kanak-kanak yang lain, baginda memberi salam kepadaku dan menghantar aku ke suatu tugasan pendek. Ia telah melewatkan aku pulang kepada ibu. Apabila aku tiba di rumah, ibuku bertanya, “apakah yang telah melewatkan kamu?” Aku menjawab, “Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah menghantar aku ke suatu tugasan.” Ibuku bertanya, “Tugasan apakah itu?” Aku menjawab, “Ia adalah rahsia!” Ibuku berkata, “jangan ceritakan rahsia Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada sesiapa” [Hadith riwayat Muslim]
Ketujuh: Menghindarkan Anak-anak Daripada Tenggelam Dengan Kemewahan
Ibu bapa biar pun berada dan hidup mewah, mestilah mengenakan beberapa kesusahan kepada anak-anak sebagai latihan untuk membentuk jati diri mereka. Jika anak mahukan basikal, biar pun ibu bapa mampu membelikannya, anak wajar disuruh mengumpul duit sendiri agar mereka belajar menghargainya dan belajar berusaha.
‘Umar al-Khattab radhiyallaahu ‘anhu pernah berkata,
“Kuatkan semangat. Kesenangan dan kemewahan tidak kekal selama-lamanya”
Demikianlah sebahagian daripada pendekatan Islam dalam mendidik anak-anak agar mereka membesar dengan jati diri dan nilai kejantanan yang besar. Buku seperti Pendidikan Anak-anak di Dalam Islam karangan Sheikh Abdullah Nasih ‘Ulwan dan yang seumpama dengannya harus berada di tangan ibu bapa untuk mereka membesarkan anak-anak hebat, sebagaimana Allah mengurniakan mereka di permulaan kehidupan dengan kehebatan yang sama.
Sesungguhnya masa depan ummah ini bermula daripada apa yang berlaku di setiap rumah.
Berperananlah, seperti yang telah diperintahkan Allah.
A. Tujuan Perkahwinan
F. Teori Membentuk Bayi Lelaki Atau Perempuan
|
Solat adalah ibadah yang dimulakan dengan takbir dan disudahi dengan salam. Satu daripada rukun Islam yang lima. Suatu kewajipan pada setiap individu yang telah mencapai usia baligh.solat yang difardukan ke atas umat Islam adalah lima waktu sehari semalam. Solat telah disyari’atkan pada malam Isra’ setahun sebelum Hijrah. Fiman Allah s.w.t. dalam surah an-Nisa’:
Maksudnya; Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya
Terlalu banyak perkara yang perlu diketahui tentang solat. Orang-orang yang menunaikan solat dengan sempurna akan dikurniakan pelbagai kelebihan. Berdasarkan beberapa hadis Rasulullah s.a.w. ;
Hadis Talhah bin Ubaidillah r.a katanya:
Seorang penduduk Najd telah datang menghadap Rasulullah s.a.w dengan keadaan rambutnya yang kusut. Kami mendengar nada suaranya tetapi tidak memahami kata-katanya. Setelah hampir kepada Rasulullah s.a.w dia terus bertanya mengenai Islam. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Ia adalah sembahyang lima waktu sehari semalam. Lelaki tersebut bertanya lagi: Masih adakah sembahyang lain yang diwajibkan kepada ku? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Tidak, kecuali jika engkau ingin melakukannya secara sukarela iaitu sembahyang sunat. Seterusnya kamu hendaklah berpuasa pada bulan Ramadan. Lalu lelaki tersebut bertanya lagi: Masih adakah puasa lain yang diwajibkan kepada ku? Baginda menjawab dengan bersabda: Tidak, kecuali jika engkau ingin melakukannya secara sukarela iaitu puasa sunat. Rasulullah s.a.w meneruskan sabdanya: Keluarkanlah zakat. Kemudian lelaki tersebut bertanya: Adakah terdapat zakat lain yang diwajibkan kepadaku? Baginda menjawab dengan bersabda: Tidak, kecuali jika engkau ingin mengeluarkannya secara sukarela iaitu sedekah. Kemudian lelaki itu beredar sambil berkata: Demi Allah, aku tidak akan menambah dan menguranginya. Rasulullah s.a.w bersabda: Dia amat beruntung sekiranya membenarkan iaitu menepati apa yang telah diucapkannya (Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 12 )
Kelebihan Solat Berjemaah Mengikut Teori Fizik
Seorang professor fizik di Amerika Syarikat telah membuat satu kajian tentang kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam. Katanya tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik iatu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita sama ada bekerja, beriadah atau berehat, sudah tentu banyak tenaga digunakan.
Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif, yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita. Ketidakseimbangan cas dalam badan menyebabkan kita rasa letih dan lesu setelah menjalankan aktiviti seharian. Oleh itu cas-cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal.
Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan di minda professor ini mengapa Islam mensyariatkan solat berjemah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama. Hasil kajiannya mendapati bilangan rakaat yang berbeza dalam solat kita bertindak menyeimbangkan cas-cas dalam badan kita. Semasa kita solat berjemaah, kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki. Tindakan-tindakan yang dianjurkan semasa solat berjemaah itu mempunyai berbagai kelebihan. Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan kita akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh tubuh. Ia berlaku apabila cas yang berlebihan - sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.
Menurut beliau lagi, setiap kali kita bangun dari tidur, badan kita akan merasa segar dan sihat setelah berehat berapa jam. Ketika ini tubuh kita mengandungi cas-cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas agar keseimbangan penuh dapat dicapai. Sebab itu, solat Subuh didirikan 2 rakaat.Seterusnya, setelah sehari kita bekerja kuat dan memerah otak semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh. Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas. Solat jemaah yang disyariatkan Islam berperanan untuk memulihkan keseimbangan cas-cas berkenaan. Sebab itu, solat Zohor didirikan 4 rakaat untuk memberi ruang yang lebih kepada proses pertukaran cas dakam tubuh.
Situasi yang sama turut berlaku di sebelah petang. Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Ini menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak. Seperti mana solat Zohor, 4 rakaat solat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama.
Lazimnya, selepas waktu Asar dan pulang dari kerja kita tidak lagi melakukan aktiviti-aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama. Maka, solat Maghrib hanya dikerjakan sebanyak 3 rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yng kurang berbanding 2 waktu sebelumnya.
Timbul persoalan di fikiran professor itu tentang solat Isyak yang mengandungi 4 rakaat. Logiknya, pada waktu malam kita tidak banyak melakukan aktiviti dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak.
Setelah kajian lanjut, didapati terdapat keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan 4 rakat dalam solat Isyak. Kita sedia maklum, umat Islam umat digalakkan untuk tidur awal agar mampu bangun menunaikan tahajjud di sepertiga malam. Ringkasnya, solat Isyak sebanyak 4 rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan tenaga untuk kita bangun malam (qiamullail).
Dalam kajiannya, professor ini mendapati bahawa Islam adalah satu agama yang lengkap dan istimewa. Segala amalan dan suruhan Allah Taala itu mempunyai hikmah yang tersirat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri. Belaiu merasakan betapa kerdilnya diri dan betapa hebatnya Pencipta alam ini. Akhirnya, dengan hidayah Allah beliau memeluk agama Islam

Memang terkejut bila melihat dalam youtube tentang satu ujian yang sangat mudah iaitu dengan mengambil dua potongan daging babi diletakkan dalam bekas besi kemudian di curahkan air minuman coca cola ke atas daging babi itu, setelah dibiarkan dua jam nampak dengan begitu banyak sekali ulat - ulat kecil yang banyak sekali merayap keluar dari daging babi itu. Terkejut sangat tengok itu kerana dua perkara pertama dahsyatnya dan jijiknya daging . kedua bangga menjadi muslim betapa agungnya syariat Allah yang mengharamkan makan daging babi dan betapa al Quran memang kitab petunjuk dari langit dan segala terkandung didalam yang berbentuk suruhan wajib ikut dan yang terlarang mesti dihindari.
Kalau nak tengok dengan jelas lagi cuba semak ayat quran surah al maaidah ayat 3 yang bermaksud: “ Diharamkan bagimu memakan bangkai,darah, daging babi an daging haiwan yang disembelih bukan atas nama Allah…. Semak lagi surah al anaam ayat 145 firman Allah yang bermaksud : Katakanlah “tidak ku dapati didalam apa yang diwahyukan kepadaku sesuatu yang yang diharamkan memakannya bagi yang ingin memakannya kecuali daging haiwan yang mati(bangkai),darah yang mengalir,daging babi.
Pengharaman babi dalam al Quran sepatutnya dikaitkan dengan wabak dahsyat yang sedang melanda dunia termasuk Negara kita Malaysia iaitu H1 N1yang sudah meragut 44 nyawa . SubhanAllah maha suci Allah yang mengetahui keburukan apa yang diciptaNya. Kalau Allah kata tak boleh rupanya bahaya sangat samada pada daging babi itu ataupun akibat daripada jangkitan babi itu sendiri hasil kajian barat, babi membawa virus dan t sejenis kuman yang tidak mati 'duduk' di dalam genetik babi yang boleh membawa 70 jenis penyakit . dalam menghadapi situasi ini kita bertanya “mana kehebatan negara kuasa besar duia tersohor dengan kecanggihan teknolgi dan peralatannya serta para saintis? Mereka sedang mengkaji tetapi jangan lupa kemarahan Allah terhadap mereka yang melupai peringatanNya
Amat menakutkan akibat dari babi ini H1N1 berjangkit tanpa henti dengan begitu pantas.. hanya bermediumkan udara yang boleh disedut di mana-mana. Di Pusat membeli belah, di tempat parking kereta, di kedai kopi, di stadium, di perhimpunan. Ia tidak begitu terasa, tetapi sedar tak sedar, ia bergerak begitu pantas. Anda juga tidak berasa takut dan gerun selagi tiada orang terdekat anda yang terkena, sekurang-kurangnya kena kuarantin.
Kedahsyatan penyakit H1N1 yang kita sedang hadapi ini baru sebahagian kecil serangan bahaya babi yang Allah kata bahaya ini tak masuk lagi pengharaman lain yang telah lama di laknat Allah tetapi masih berleluasa dalam masyarakat kita dilakukan bukan sahaja secara sembunyi-sembunyi lagi tetapi sudah berbangga sambil menunjuk-nunjuk seperti zina persundalan dan lain –lain.
Yang paling menakutkan kita masih “pekak” dengan kemurkaan Allah. Biasanya bila dah reda sikit sesuatu wabak atau bala kita akan lupa balik Allah. Lupa balik apa yang Allah larang balik asal buat engkar, bila kena bala baru semua pakat doa Allah balik solat mula rajin tapi bila dah sihat lupa lagi Allah . begitulah kedegilan sebahagian kita .
Yakinlah bahawa Islam adalah agama Allah yang benar, memenuhi keperluan fitrah setiap manusia. Oleh itu, pengharaman Islam terhadap babi, arak, zina, rasuah, judi dan sebagainya adalah untuk menjaga maslahah nyawa dan kehidupan manusia seluruhnya.
Manusia tidak boleh halang dan sekat udara yang bertebaran. Begitu cepat ia merebak.
Jangan lupa gunakan kuasa doa samada doa biasa ataupun doa dengan qunut “naazilah” ". Manusia yang ada di sekeliling kita mahupun udara yang ada. Semua dengan izin Allah semata-mata," katanya.
Antara sebab solat tidak khusyuk:
PERTAMA : tidak ada keinginan atau keghairahan mendirikan solat.buat seperti dipaksa-paksa menyebabkan solat menjadi sambil lewa buat dengan tidak tulus. Walaupun solat adalah amalan yang ringan sahaja tetapi menjadi sangat berat dek kerana tiada kesungguhan. Main bola berjam-jam boleh tapi solat beberapa minit dah jadi gelisah. Bergayut talifon berjam-jam penuh sungguh-sungguh tapi solat sekejap macam pikul bebanan. Jika tahap keiginan bersolat tak ditingkatkan selama itulah solat tidak akan menjadi ”pengubah”. Nak tingkatkan keghairahan untuk bersolat ialah dengan banyak membaca al quran,ingat mati selalu ambil tahu tentang kelebihan khusyuk dalam solat.
Sebab KEDUA tak dapat khusyuk solat ialah makan makanan yang haram. Memkan yang haram bererti menentang Allah. Orang yang menentang Allah adalah orang yang tidak takut Allah. Dan benda-benda yang haram ini akan menjadi darah daging manakala darah daging inilah yang akan melahirkan tenaga dan gerak. Kalau memakan yang haram Ia akan menggerak dan mendorong perbuatan yang jahat dan maksiat akibatnya hati menjadi kotor dan hati yang kotor mesti liat untuk beribadat. Solat untuk mendekat dengan Allah benda maksiat kesanyan menjauhi Allah. Orang yang jauh dengan Allah tak seronok bertemuNya dalam solat.kalau dah tak layan Allah akibatnya kene boolayanlah dari Allah.
Sebab KETIGA ialah keras hati dan takabbur. Orang yang takabbur ialah orang yang tidak berupaya untuk merendah diri di hadapan Allah. Rasa diri besar walaupun tak besar mana pun. Kalau perut aje besar buat ape. Manakala hati yang keras pula tidak akan terkesan dengan nilai tarbiah kehambaan yang dilahirkan dalam solat.bila ruku dia tak rasa hina, bila sujud tak terasa kebesaran Allah. Orang besar sangat dihurmati tetapi lupa untuk menghormati Allah tuhan yang maha besar. Orang kaya-kaya sangat dilayani dan dihurmati tetapi lupa untuk menghormati Allah sebagai tuhan yang paling kaya. Hati jadi keras kerana 3 perkara. Iaitu makan makanan yang yang haram,tak dengar majlis ilmu dan banyak dosa.
Sebab yang KEEMPAT ialah ”lagha” banyak melakukan perbuatan yang sia-sia. Apalagi kalau membawa kepada haram. Cakap banyak yang tak ada faedah,perkataan pula lucah dan cabul serta kotor,gurau senda yang melampau,umpat fitnah. Sudah tentu perbuatan ini akan membuatkan hati jadi kotor. Bila hati kotor maka isinya adalah maksiat bila maksiat penuh di hati zikrullah tak akan masuk. Mendengar muzik dan lagu-lagu yang cabul hanya menjadi ejen kepada syaitan untuk melalaikan solat dan kalau dah lalai solat tak tak punya ”roh” lagi.
Sebab KELIMA dan KEENAM...Akan dikemaskini sedikit masa lagi, harap maklum.
Dipetik dari http://ustaz-mohdzawawi.com/index.php?option=com_content&task=view&id=12&Itemid=26
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Daripada Abi Hurairah (ra) bahwa Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) bersabda: Ada tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindunganNya:
1. Imam (pemimpin) yang adil.
2. Pemuda yang membesar dalam ketaatan dan dalam keadaan beribadat kepada Allah sejak kecil.
3. Lelaki yang terpaut hatinya dengan masjid.
4. Dua orang lelaki yang saling kasih-mengasihi hanya kerana Allah, bertemu dan berpisah hanya keranaNya,
5. Lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik, lalu ia berkata: “Aku takut kepada Allah”.
6. Orang yang bersedekah secara sembunyi sehingga tidak mengetahui tangan kirinya apa yang diberi oleh tangan kanannya.
7. Orang yang bermunajat kepada Allah sambil menggelinangkan airmatanya.
[Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim]
Copyright © 2009 www.fazakkeer.com BloggerTemplate Designed by BloggerThemes.Net