Pelbagai faktor luaran dan dalaman boleh membangkitkan kemarahan seseorang. Anda mungkin marah kepada individu atau keadaan tertentu, atau kemarahan itu disebabkan anda risaukan masalah-masalah peribadi yang sedang dihadapi.
Dalam mengendalikan perasaan marah, manusia lazimnya menggunakan tiga kaedah:
1. meluahkan (expressing)
2. menahan (suppressing)
3. mententeram (calming)
Cara yang paling sihat mengendalikan perasaan marah ialah meluahkannya secara asertif, bukan agresif.
Terdapat beberapa strategi untuk mengawal kemarahan.
Cuba relaks dengan mengambil nafas panjang sehingga ke bahagian diafram bukan hanya di bahagian dada. Pernafasan sebegini boleh merelakskan anda. Sambil bernafas, ulangilah perkataan-perkataan yang menenangkan, contohnya dengan berzikir. Bayangkan imej-imej yang indah. Selain itu, lakukan senaman ringan yang boleh merelakskan otot-otot dan melegakan perasaan anda. Praktikkan amalan ini setiap hari dan belajar menggunakannya setiap kali anda berasa tegang.
Selain itu, anda boleh mengubah cara berfikir. Orang yang marah biasanya suka menyumpah-nyumpah, menggunakan bahasa kesat atau meninggikan suara. Ini menggambarkan fikiran mereka. Apabila marah, seseorang akan berfikir yang bukan-bukan dan lebih dramatik. Cuba gantikan fikiran begini dengan sesuatu yang lebih rasional.
Kat-kata menyumpah, kesat dan negatif akan hanya menyakiti hati orang lain. Jadi cuba ingatkan diri bahawa anda tidak akan dapat mengubah apa-apa dan tidak akan berasa lega.
Orang marah lazimnya cepat membuat rumusan dan sesetengahnya tidak tepat. Perkara pertama yang perlu dilakukan apabila sedang berbalah ialah bersabar dan berfikir tentang respons-respons yang anda berikan. Janganlah bercakap apa sahaja yang ada di dalam fikiran anda, sebaliknya fikir dahulu apa yang ingin dikatakan. Pada waktu yang sama, dengar betul-betul apa yang dikatakan oleh orang lain. Fikir dahulu sebelum menjawab.
Adalah biasa bersikap defensif apabila kita dikritik, tetapi janganlah melawan. Sebaliknya dengarlah mesej di sebalik kata-kata yang diucapkan; mesej bahawa orang itu mungkin berasa dia diketepikan atau tidak disayangi. Anda perlu bersabar dan tidak membiarkan perasaan marah anda atau orang lain menjadikan perbincangan tidak terkawal.
'Lawak bodoh' juga boleh membantu meredakan kemarahan. Ia membantu anda mendapat perspektif yang lebih seimbang. Gunakan humor untuk membantu anda menghadapi masalah dengan lebih konstruktif. Bagaimanapun humor yang dimaksudkan bukan yang bersifat sinis kerana itu juga satu luahan perasaan marah yang tidak sihat. Teknik ini mengelakkan anda daripada menganggap diri sendiri terlalu serius.
Ingatlah, anda tidak boleh menghapuskan perasaan marah. Banyak perkara akan terus berlaku dan membangkitkan kemarahan, malah kadang-kadang ia memang wajar. Hidup memang penuh dengan kekecewaan, kehilangan, kesedihan dan tindakan-tindakan orang lain yang tidak diduga. Kita tidak mampu mengubah semua ini; tetapi kita boleh mengubah cara kita membiarkan perkara-perkara itu memberi kesan atas diri kita.
Semoga sama-sama kita dapat menghadapi situasi dimana kita marah dan dimarahi. Fikir-fikir dan renung-renunglah.
0 comments:
Post a Comment