Ramai di kalangan orang-orang Islam yang rata-rata sudah semakin hilang sifat malu dalam diri mereka. Maka apa akan jadi dengan akhlak generasi Islam yang akan datang?
Ini kerana untuk mewujudkan satu masyarakat atau generasi yang berakhlak mulia semestinya mempunyai sifat malu dalam diri mereka. Sifat malu merupakan salah satu kurniaan yang paling hebat yang diberikan oleh Allah Taala kepada kita. Ianya juga merupakan satu daripada bentuk-bentuk akhlak yang paling mulia yang dikurniakan Allah kepada hamba-Nya.
Sifat malu boleh menjadi benteng untuk melindungi diri daripada keaiban. Menjaga diri dari keaiban adalah sesuatu yang mesti kerana setiap kita dikurniakan kehormatan atau maruah diri oleh Allah. Makan semestinya kita menjaga dan melindungi maruah diri kita dengan selubunginya dengan sifat malu.
Namun, kita lihat sekarang ramai yang suka bercakap perkara-perkara yang tidak sepatutnya dengan bangganya di khalayak ramai. Mencarut, bercakap lucah di antara lelaki dan perempuan sudah menjadi perkara biasa. Ketawa terbahak-bahak tanpa menghiraukan orang disekeliling. Mengilai-ngilai apabila ada sesuatu yang melucukan. Adakah mereka tidak sedar bahawa sifat malu sudah hilang dalam diri mereka ketika itu. Mungkin mereka merasakan itu perkara biasa. Kita mesti ingat bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: "Malu itu tidak akan terwujud kecuali untuk kebaikan."
Malu dapat mencegah diri daripada perbuatan keji dan hina, mendorong untuk berbuat sesuai dengan ukuran-ukuran akhlak mulia. Cubalah kita renung sejenak bagaimana Rasulullah menunjukkan kepada kita cara-cara menjaga akhlak kita supaya sentiasa berada di landasan agama yang betul. Akhlak yang terbina daripada mengamalkan sifat malu. Sifat yang sememangnya perlu diterapkan ke dalam diri masing-masing terutama bagi orang Islam yang perempuan. Walaupun dikatakan orang perempuan mempunyai sifat malu yang tebal, namun ramai orang-orang perempuan di zaman ini sudah hilang sifat malu mereka.
Di zaman yang moden ini, orang-orang perempuan mereka sudah tidak memakai pakaian yang menutup maruah diri mereka dengan sebaiknya, malah mereka tidak malu mendedahkan aurat mereka sehingga ternampak apa yang tidak sepatutnya ditonjolkan. Adakah sifat malu memang sudah hilang? Atau mereka masih lagi ada perasaan malu cuma dek terpengaruh dengan istilah 'up to date', 'moden', maka mereka sanggup berbuat sedemikian?