Alhamdulillah, Allah memberi ruang dan peluang untuk saya berkongsi ilmu sedikit dengan sahabat-sahabat setia Jutawan Akhirat. Di kesempatan ini, saya terasa sangat ingin membincangkan sedikit mengenai Amanah kita sebagai insan dalam menyampaikan ilmu. Tidak kira ilmu apa yang kita pelajari dan kita sampaikan kepada umum asalkan ianya adalah sesuatu yang memberi kebaikan dan manfaat.
Bagi orang-orang yang beriman (InsyaAllah kita semua tergolong dalam golongan orang-orang beriman), terutama para ulama, wajib menyampaikan kepada manusia apa yang diwajibkan untuk mereka menyampaikannya. Haram sama sekali bagi mereka menyembunyikan apa yang Allah turunkan yang mereka tahu, baik berupa keterangan-keterangan mahupun petunjuk. Dengan menyembunyikan ilmu yang hak atau benar, maka jadilah seorang itu pengkhianat terhadap ilmu dan akan menerima laknat dan seksaan dari Allah.
Rasulullah SAW pernah menjelaskan bahawa menyembunyikan ilmu adalah khianat. Sesiapa yang menyembunyikan ilmu yang boleh memberi manfaat kepada manusia, layaklah baginya neraka jahannam. At-Tabrani meriwayatkan dari Ibn Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Nasihat menasihatilah kamu dalam ilmu kerana sesungguhnya seseorang kamu terhadap ilmunya adalah lebih dahsyat daripada khianatnya terhadap hartanya. Dan bahawasanya Allah menyoal kamu nanti: Siapa yang ditanya tentang sesuatu ilmu lalu dia menyembunyikannya dia akan dikekang pada hari kiamat dengan kekangan daripada api neraka." (hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Hibban)
Rasulullah SAW juga menjelaskan, bahawa orang yang menyembunyikan ilmu dan tidak amanah dalam menunaikannya adalah orang yang menghina dirinya sendiri.
Kalau diikutkan sebenarnya tiada siapa yang ingin menyembunyikan ilmunya, bahkan kalau boleh ingin disampaikan semuanya apa yang mereka tahu. Namun di sana, banyak kekangan yang menyebabkan ramai yang terpaksa menyembunyikan ilmu tanpa disedarinya. Ini mungkin kerana bimbang sekiranya ilmu atau apa yang akan disampaikan nanti tidak boleh diterima oleh orang lain atau masyarakat. Maka mereka terpaksa berdiam diri demi keselamatan diri sendiri. Perkara ini sememangnya tidak wajar berlaku kerana takutkan kepada manusia bukan kerana Allah.
Ibn Majah meriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri r.a. katanya Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah sekali-kali kamu mengkhianati diri kamu sendiri." Mereka bertanya: "Ya Rasulullah SAW bagaimana kami mengkhianati diri kami sendiri?" Jawab baginda: "Dia berpendapat bahawa dia berkewajipan menyampaikan ilmu kemudian dia tidak menyampaikannya lalu pada hari kiamat berkata ALlah Azza Wajalla kepadanya: "Apakah yang menghalang engkau dari berkata demikian dan demikian? " Dia menjawab: "Takutkan manusia." Lalu dijawab oleh Allah: "Adakah yang lebih berhak engkau takuti?"
Berdasarkan keterangan di atas, maka jelaslah bagi kita, bahawa setiap Mukmin hendaklah menguatkan azam dan tekad untuk mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW. Ini menjadikan mereka berbeza daripada orang-orang yang lain di dalam setiap perkara. Berbeza dari sudut ibadah, zuhud, tawadduk, hikmah, keteguhan sikap, benar, amanah dan lain-lain.
Demikianlah antara wasiat Rasulullah SAW dalam khutbah terakhirnya (khutbah Wida'). Baginda menyuruh umatnya supaya bersifat amanah, kerana menunaikan amanah dan janji adalah amat penting dalam menanamkan kepercayaan orang lain terhadap diri kita. Bayangkanlah jika satu janji dimungkiri atau satu amanah dikhianati, maka sudah tentu kepercayaan akan hilang, buruk sangka dan dendam akan subur dalam kehidupan sehingga akhirnya akan mengganggu keharmonian hidup sesama Muslim.
Semoga sama-sama berjuang menegakkan agama yang kita sedang anuti ini. Sampai-sampaikanlah ilmu kepada semua yang beriman supaya sama-sama kita mendapat keredhaan dan keberkatan dari ALlah. Bertaqwalah dengan sebenar-benar taqwa. Dan janganlah kita mati kecuali dalam keadaan kita beragama Islam dan beriman.
FIKIR-FIKIR & ZIKIR-ZIKIR
- Ke Arah Menjadi Jutawan Akhirat -