Bagi mendapat kesempurnaan ibadat puasa,kita perlu menjaga semua pancaindera kita daripada melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan ibadat puasa. Oleh itu untuk mencapai kesempurnaan ibadat puasa kita perlulah menjaga pancaindera kita iaitu:
1. Kita hendaklah menjaga mata dan menahannya dari melihat segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama contohnya melihat aurat seseorang yang bukan mahram kita.
2. Hendaklah kita memelihara lidah dari bercakap perkara yang tidak berfaedah dan tercela seperti menuturkan kata–kata yang kasar dan biadap kepada rakan. Dalam hal ini Rasulullah S.A.W pernah mengingatkan kita dengan sabdanya yang bermaksud: “Jika ada orang yang berkata-kata kotor kepadanya, maka katakan kepada orang itu bahawasanya aku sedang berpuasa.”
3. Kita juga perlu memelihara pendengaran dari mendengar hal–hal yang dilarang dan dibenci agama seperti mendengar muzik yang mengkhayalkan sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan, sebagaimana firman Allah yang berbunyi:
Maksudnya: "Mereka itu suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram." Al Maidah: 42
4. Selain daripada itu, kita hendaklah juga memelihara kaki dari melakukan perbuatan-perbuatan dosa kepada Allah seperti pergaduhan dan perbalahan serta kita tidak membalas kejahatan dengan kejahatan demi menjaga kesucian bulan Ramadan. Jauhkanlah diri dari berkunjung ke tempat-tempat maksiat dan pusat-pusat membeli belah untuk tujuan melepak bersama-sama kawan.
5. Seterusnya kita juga mestilah memeihara tangan kita dari melakukan perbuatan yang tidak baik seperti mencuri, menyentuh seseorang yang bukan mahram, memukul, bergaduh dan mengambil barang-barang yang bukan milik kita.
6. Akhirnya kita juga perlu menegah dan menahan perut kita dari memakan makanan yang syubhah (yang diragui) ketika berbuka puasa seperti memakan makanan ringan yang mudah didapati di kedai tetapi diragui status halalnya. Sebaliknya berbukalah dengan makanan yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w seperti kurma, kismis dan buah-buahan segar.
Oleh itu, marilah sama-sama kita berusaha menjaga seluruh pancaindera semasa berpuasa agar puasa kita menjadi sempurna dan mendapat pahala. Ini kerana punca hilangnya pahala disebabkan kegagalan menjaga pancaindera ketika berpuasa. Oleh itu marilah sama-sama kita berdoa: “Ya Allah, jadikanlah puasaku, puasa orang yang benar-benar berpuasa. segala dosa." Amin Ya Rabbal Alamin.
0 comments:
Post a Comment