ISLAM mewajibkan setiap umatnya bekerja untuk menjadikan mata pencarian sumber rezekinya dan menghasilkan pendapatan itu bagi menyara hidupnya.
Islam memberi berbagai-bagai kemudahan hidup dan jalan-jalan mendapatkan rezeki di bumi Allah yang penuh dengan segala nikmat ini.
FirmanNya yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai-bagai jalan) penghidupan..." (Al-A'raf:10).
Dan firmanNya lagi yang bermaksud:"Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah dan kepadaNya jualah dibangkitkan hidup semula." (Al-Mulk:15).
Islam memerintahkan umatnya mencari rezeki yang halal kerana pekerjaan itu adalah bagi memelihara maruah dan kehormatan manusia.
Firman Allah SWT, maksudnya:"Wahai sekelian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik..." (Al-Baqarah:168).
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Mencari kerja halal itu wajib atas setiap orang Islam."
Oleh yang demikian Islam mencela kerja meminta-minta atau mengharapkan pertolongan orang lain kerana ianya boleh merendahkan harga diri atau maruah.
Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:"Bahawa sesungguhnya seorang kamu yang pergi mengambil seutas tali, kemudian mengikat seberkas kayu api lalu menjualnya hingga dengan sebab itu ia dapat memelihara harga dirinya, adalah lebih baik daripada ia pergi meminta-minta kepada orang sama ada mereka memberinya atau menolaknya."
Sebuah hadith lagi bermaksud:Dilaporkan bahawa seorang lelaki yang cergas dan gagah sedang lalu di hadapan baginda menuju ke satu arah tertentu, lalu kedengaran para sahabat berkata: "Alangkah bagusnya kalau orang ini berjuang pada jalan Allah."
Maka baginda Rasulullah s.a.w. bersabda:"Sekiranya dia keluar berusaha untuk anaknya yang kecil, maka dia berjuang pada jalan Allah, kalau ia berusaha untuk kedua ibu bapanya yang telah tua itupun berjuang pada jalan Allah, kalau dia berusaha untuk menyara dirinya pun, maka itu pun berjuang pada jalan Allah."