Di antara perkara yang boleh dilakukan untuk terus mengekalkan hubungan mesra di antara sesama Muslim ialah dengan memberi salam di antara satu sama lain.
Dalam sahih Muslim, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Kamu tidak akan dapat masuk Syurga sehinggalah kamu beriman, dan kamu tidak dianggap beriman selagi tidak menjalinkan kasih sayang sesama kamu. Mahukah kamu aku ajarkan satu perkara yang sekiranya kamu lakukan, akan dapat menjalinkan kasih sayang sesama kamu? Tebarkanlah ucapan salam di antara kamu."
Marilah sama-sama kita renungkan betapa besarnya fadhilat mengucapkan salam. Mengucapkan salam merupakan di antara sebab yang memungkinkan seseorang itu memasuki Syurga Allah Taala yang diimpi-impikan. Akan tetapi, amat malang sekali apabila kita dapati dewasa ini ramai di antara umat Islam yang memandang remeh tentang ucapan salam ini lantas meringan-ringankannya, sedangkan pahala di sisi Allah Taala bagi orang yang mengucapkan salam amatlah besar.
Justeru, janganlah kita tergolong dalam orang yang rugi. Sebaliknya sama-samalah kita berusaha untuk merebut peluang yang disediakan oleh Allah Taala inin dengan mengucapkan salam kepada sesiapa sahaja sama ada kepada orang yang kita kenali atau pun tidak, dan kepada orang kaya mahu pun miskin. Ucapkanlah salam dengan penuh keikhlasan dan dengan ucapan yang betul agar kita benar-benar dapat mengambil manfaat daripada salam yang diucapkan.
Janganlah kita menjadi seperti sesetengah orang yang juga mengucapkan salam tetapi sekadar mengucapkannya ibarat melepaskan batuk di tangga iaitu dengan tiada kesungguhan, tiada keikhlasan dan ucapan salam yang tidak betul dan tepat mengikut makhrajnya. Oleh kerana ingin cepat, ada yang sekadar menyatakan 'samaikum', 'samakum', 'haikum', 'hakum' dan sebagainya.
Apa ertinya ucapan-ucapan ini yang langsung tidak mengandungi ucapan salam sebagaimana yang dikehendaki oleh syara'. Bukannya susah untuk kita mengucapkannya dengan betul iaitu sekurang-kurangnya 'assalamu'alaikum'. Oleh kerana ucapan salam yang telah diucapkan sebelum ini tidak bertepatan dengan kehendak syara', maka kita dapati ucapan tersebut tidak membawa apa-apa makna, serta tidak dapat menjalinkan kasih sayang di antara sesama Muslim.