http://www.zaharuddin.net/
"Ustaz mengapa kami kaum wanita kena tutup aurat banyak dan sukar, tapi lelaki sikit aja. Adil ke begitu ustaz?" Tanya seorang wanita yang bertitle PhD dalam bidang ekonomi kepada saya.
"Dr tahu tak berapa jarak matahari ke bumi? " Tanya saya membalas.
"Emm, tak ingat la ustaz, kenapa pulak? Bagaimana soalan saya tadi" Pakar ekonomi ini cuba mengingatkan saya.
"Cuba Dr bayangkan, kalau jarak antara matahari dan bumi ini tiba-tiba berubah jadi seinchi rapat, apa agaknya akan jadi kat kita?" Soal saya mengajaknya berfikir.
"Rasanya jika ikut teorinya, mesti hancur lebur dan cair penduduk bumi kot, ustaz" katanya.
"Jadinya, Dr setuju tak kalau saya kata bahawa Allah SWT begitu mahir dan amat tepat dalam seluruh urusannya, jika tidak..sudah tentu kita tak boleh hidup di dunia ni, bumi asyik berlaga, siang malam tak tentu hala dan tumbuhan semuanya kelam kabut tumbuhnya" Jelas saya sedikit panjang.
"Benar ustaz, saya amat bersetuju tentang Allah maha mengetahui dan berkuasa" katanya sambil mengangguk.
"Jika demikian, mengapa Dr boleh timbul rasa sangsi tentang keadilan dan kebijaksanaan Allah dalam mengarahkan wanita menutup aurat begini, dan lelaki begitu?" Saya cuba membawa semula kepada topik awalnya.
"Hmmm, ye tak ye jugak ustaz kan, betul-betul tak patut saya rasa begitu, astahgfirullahah azim " sambil menggeleng kepalanya perlahan.
Bagi sesetengah orang yang bijak, mungkin fakta ringkas saya tadi sudah cukup untuk memberi faham kepada jiwa dan hati. Walau bagaimanapun, ia mungkin sekali tidak berkesan buat setengah yang lain.
Jawapan lazim yang kerap digunakan oleh rakan-rakan saya apabila ditanya soalan sebegini adalah kembali kepada pengertian adil dalam Islam. Iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Contohnya ‘favorite'nya pula, menyebut "adil tak meletakkan kupiah di atas kepala lutut?."
Benar dan saya bersetuju itulah takrif adil tersebut, iaitu "meletakkan seseuatu pada tempatnya", lalu tak semua benda patut kita letakkan pada tahap yang sama, seperti kita mengharapkan anak kita berumur 14 bulan untuk mengerti bahayanya memakan semua benda kecil yang dijumpainya di atas lantai.
"EEee, budak ni tak reti ke benda-benda ni kotor? " tempik seorang ibu kepada anaknya kerana memasukkan dalam mulutnya kotoran di lantai dapur rumahnya.
Saya yakin, kita semua faham bahawa tidak adil untuk kita memarahinya kerana ia baru berusia 14 bulan. Berbeza jika ia berusia 14 tahun dan cergas aqalnya tetapi masih memungut dan makan semua yang dijumpainya di atas lantai. Itu sememangnya patut dikesali.
Dari sudut Islam, kita harus memahami bahawa Allah SWT maha bijak dalam mengatur hukum di atas dunia ini. Apa yang memudaratkan manusia secara tersurat dan tersirat akan diletakkan had dan batasan untuk dikurangi atau dijauhi. Apa yang bermanfaat dan baik sahaja yang akan digalakkan dan dibenarkan.
Firman Allah SWT :
يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ
Ertinya : "Mereka menanyakan kepadamu: ""Apakah yang dihalalkan bagi mereka?"" Katakanlah: ""Dihalalkan bagimu yang baik-baik" ( Al-Maidah : 4)
Justeru, apa yang ‘neutral' atau ‘harus' hukumnya akan dibiarkan terbuka (tanpa sebarang larangan) sebagai rahmat dan kemudahan kepada umat manusia. Fakta ini datang dari sabda Nabi SAW :