Dalam hal meminum air zam zam ada tatacara yang harus dipenuhi oleh setiap Muslim. Ia harus memenuhi ketentuan-ketentuan yang ada jika hendak minum air yang penuh berkah ini.
Ada sebuah riwayat yang diceritakan oleh Muhammad bin 'Abdu 'r-Rahman bin Abu Bakar, dia bercerita: Saya sedang berada di hadapan sahabat 'Abdu 'l-Lah bin 'Abbas ra., tiba-tiba datang seorang lelaki. Sahabat Ibnu 'Abbas bertanya, "Dari mana engkau datang?" Dia menjawab, "Dari telaga zam zam." lbnu 'Abbas bertanya, "Apakah engkau meminumnya sebagaimana mestinya?" Dia bertanya, "Bagaimana caranya?" Ibnu 'Abbas berkata, "Apabila engkau meminum air zamzam, menghadaplah ke arah kiblat, sebutlah nama Allah, bernafaslah tiga kali padanya dan minumlah hingga kenyang. Jika telah selesai bersyukurlah kepada Allah dengan memuji-Nya, kerana Rasulullah saw. pernah bersabda:"Tanda antara kita dengan orang-orang munafik ialah, baahwa mereka tidak pernah minum air zamzam sekenyang-kenyangnya."
Sesungguhnya tata cara yang paling baik ialah mengikuti etika yang baik lagi suci seperti telah disebutkan tadi, apabila seseorang hendak meminum air zam zam. Yakni, etika yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW secara lengkap. Sebab, sunnah Rasulullah SAW adalah bagaikan mutiara paling berharga yang di dalamnya terkandung akhlak mulia dan utama, yang dapat mengangkat jiwa seseorang ke arah kesempurnaan dan mengantarkannya meraih apa yang dicita-citakannya. Kami memohon taufik kepada Allah dan kami berserah diri kepada-Nya. Hanya kepada-Nya-lah kami memohon perlindungan.
Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:
"Barangsiapa yang mentaati Rasul itu, sesungguhnya ia telah mentaati Allah. Dan barangsiapa yang berpaling (dari ketaatan itu), maka kami tidak mengutusmu untuk menjadi pemelihara bagi mereka."
(Q. S. An-Nisa': 80).
Artikel lain dari web www.suhaimy.org
Kelebihan air zam-zam
AIR zamzam mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan berbanding air lain. Perkara ini diperakui oleh banyak kajian saintifik, termasuk sarjana Barat. Air zamzam mempunyai banyak khasiat dan kelebihan seperti sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud: “Sebaik-baik air di permukaan bumi adalah air zamzam. Padanya ada makanan yang menyegarkan dan penawar bagi segala penyakit.”
Ia juga mempunyai beberapa keistimewaan antaranya tidak pernah kering walaupun berjuta-juta manusia memanfaatkannya setiap hari, terutama pada musim haji. Air zamzam tidak akan kering hingga hari kiamat. Hal itu, adalah bukti keagungan dan kebesaran Allah.
Ulama sepakat bahawa sunat bagi orang yang mengerjakan ibadah haji dan umrah, minum air zamzam. Ini disebabkan Nabi Muhammad SAW minum air zamzam. Berdasarkan nas asy-Syafi’eyah, bahawa air zamzam itu sunat diminum dalam apa keadaan sekali pun. Hukum sunat itu tidak hanya khusus selepas mengerjakan tawaf, bahkan sunat diminum bagi setiap orang walaupun bukan pada waktu mengerjakan ibadah haji atau umrah.
Disebutkan dalam hadis, Jabir bin `Abdullah, katanya: “Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: “Air zamzam itu diminum untuk keperluan apa saja.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Dalam erti kata lain, jika meminumnya dengan maksud menghilangkan rasa haus, maka Allah akan menghilangkan rasa hausnya. Jika meminumnya untuk menghilangkan rasa lapar, maka Allah akan mengenyangkannya. Sekiranya, meminumnya untuk menyembuhkan penyakit, maka Allah akan menyembuhkan penyakitnya.
Diriwayatkan Rasulullah gemar meminumnya dan tangan Baginda yang mulia dan penuh barkah pernah dicelupkan ke dalam perigi zamzam. Rasulullah pernah bersabda: “Air zamzam itu diminum mengikut apa yang diniatkan atau dikehendaki. ” (Hadis riwayat Jabir, lbnu Abbas, lbnu Umar dan Muawiyah)
Ahli ilmu meluaskan huraian mereka terhadap hadis di atas. Al-Munawa berkata: “Air zamzam adalah penghulu segala air, paling mulia, berharga dan disukai. “Allah memberi minum dan menolong putera kekasihnya, Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim dengan air zamzam. Maka, pertolongan seperti itu juga boleh diperoleh oleh orang selepas baginda iaitu bagi sesiapa saja yang meminumnya dengan niat ikhlas, termasuk kita.
“Ramai ulama meminumnya kerana sesuatu hajat dan mereka berhasil memperolehnya.”
Disebut pengarang kitab al-’Aqdus Sameen bahawa Ahmad bin Abdillah Asy-Syarifee, seorang khadam di Tanah Haram Makkah meminum air zamzam dengan niat dan tujuan untuk berubat daripada buta. Lalu, dengan izin Allah, beliau sembuh. Menurut pengarang kitab ini lagi, bahawa kejadian itu dikhabarkan sendiri gurunya, al-Fufti Abdul Rahman bin Abil Khair alFasi. Al-lmam an-Nawawi sebagai mengulas hadis di atas berkata: “Maknanya, barang siapa minum kerana sesuatu hajat, nescaya memperoleh hajatnya itu.
“Hal ini, dicuba ulama dan orang soleh bagi segala hajat mereka, sama ada hajat akhirat mahupun dunia. Alhamdulillah, semuanya memperolehnya. ” (Lihat Tahzibul Asma Wal-Lughat 3/139).
Al-’Allamah lbnul Qayyim al-Jauziah pula berkata: “Saya dan juga orang lain mencuba berubat dengan air zamzam. “Saya berubat dengannya dalam banyak penyakit dan sembuh dengan izin Allah. Demikian juga saya menyaksikan orang yang menggantikan makanan biasa dengan air zamzam hampir setengah bulan atau lebih, tetapi tidak lapar. Bahkan dia juga tawaf bersama orang ramai, mampu menggauli isterinya dan berpuasa.”
Al-’Allamah seterusnya berkata: “Sudah berlaku kepada diri saya sewaktu di Makkah, saya sakit. Pada masa itu, saya benar-benar ketiadaan ubat dan doktor. “Maka, saya pun berubat sendiri dengan al-Fatihah. Saya ambil air zamzam dan bacakan di atasnya berulang kali. Kemudian, saya minum lalu mendapati kesembuhan yang sempurna.
“Sejak itu saya melakukannya atas banyak penyakit dan semuanya memberi sebesar-besar manfaat.” (Lihat Zadul Ma’ad 4/718)
Berkata pula Al-Hakim: “Bahawa Abu Bakar Muhammad bin Jaafar bercerita mengenai Ibnu Khuzaimah (Ibnu Khuzaimah ialah seorang ilmuwan besar), katanya: “Saya mendengar orang bertanya kepada lbnu Khuzaimah: “Daripada manakah tuan memperoleh ilmu?” Jawab lbnu Khuzaimah: “(Bukankah) Rasulullah pernah bersabda: “Air zamzam itu diminum mengikut apa yang diniatkan?” (Lihat Sairul A’Iam an-Nubala 14/370).
AI-Jalal as-Suyuti juga menceritakan mengenai dirinya, katanya: “Dengan memuji Allah, saya sudah musafir ke negeri Syam, Hijaz, Yaman, India dan Maghribi. “Apabila saya menunaikan haji, saya minum air zamzam bagi beberapa perkara yang berikut, antaranya: Agar saya mahir dalam ilmu fiqah hingga mencapai martabat Asy-Syeikh Sirajuddin al-Bulqini.
“Dalam ilmu hadis hingga saya mencapai martabat al-Hafiz lbnu Hajar. Ada pun, semua ini saya sebutkan demi mengingati nikmat Allah ke atas diri saya, bukannya untuk bermegah-megah.
“Apalah yang ada untuk dimegahkan di dunia ini, sedangkan saat kembali semakin dekat dan uban pun mulai subur.” (Lihat Husnul Muhadharah 1/215 dan 2/296).
Jika diperhatikan dengan sehalus-halusnya keterangan di atas, maka nyata, yang amat mustahak itu adalah niat dan keimanan yang seikhlas- ikhlasnya untuk mengiringi perbuatan minum itu.
FAKTA Rahsia kelebihan air zamzam
• Boleh menyembuhkan pelbagai penyakit dengan izin Allah.
• Diberkati dan mengeyangkan peminumnya.
• Mampu menyempurnakan hajat peminumnya dengan izin Allah.
• Allah menjadikan air zamzam sebagai penyebab kepada pembangunan dan kemajuan bumi Makkah. Seterusnya, kewujudan Baitullah di bumi itu.
• Antara mata air syurga.
• Antara tanda kekuasaan Allah di bumi Makkah.
• Antara nikmat besar dan manfaat yang dapat dilihat di Tanah Haram Makkah.
• Ia keluar dari kawasan paling mulia di muka bumi ini.
• Air dipilih untuk membersihkan hati Rasulullah SAW beberapa kali.
• Minuman orang mulia (al-abrar).
• Menambah kekuatan badan.