Selain itu waktu yang diperuntukkan untuk menunaikan solat adalah mencukupi bahkan melebihi dan waktu-waktunya adalah sesuai dengan kehidupan manusia. Dengan ruang masa yang panjang kita boleh solat selagi ada waktunya akan tetapi untuk mendapat kesempurnaannya dan cara yang ditunjukkan oleh Nabi SAW adalah dengan berjemaah dan didirikan pada awal waktu. Keringanan diberikan bagi yang bermusafir dengan solat secara jamak iaitu mengumpulkan dua solat dalam satu waktu. Perintah ini adalah mengikut kemampuan masing-masing akan tetapi ianya tidak boleh diabaikan langsung.
Daripada Ali Ibnu Abi Talib, telah berkata rasulullah SAW tentang solat orang sakit: "Kalau kuasa sembahyanglah ia berdiri, kalau tidak sembahyanglah ia duduk, jika tidak kuat, sujud isyaratkan sahaja dengan kepalanya tetapi hendaklah sujudnya lebih rendah daripada rukuknya. Bagi melaksanakan perintah ini tidaklah khusus pada tempat-tempat tertentu bahkan ianya dibenarkan di mana-mana di atas bumi Allah dengan syarat ianya bersih daripada najis."