Ertinya:
Daripada Abdullah bin Amr bin 'ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Bahawasanya Allah swt. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah swt. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain."
H.R. Muslim
Namun sekarang kalau kita lihat senario yang berlaku dimana alim ulamak dipinggirkan, dicerca, dihina oleh orang-orang yang sememangnya jahil tentang agama. Tetapi mereka tidak mahu ditegur, tidak sanggup diperbetulkan dan sombong untuk berubah dari kurang baik menjadi lebih baik. Maka tepatlah apa yang disebutkan oleh Rasulullah SAW 1400 tahun yang dulu. Cuma sekarang bagi kita yang ada akal, cubalah fikir-fikirkan apa yang perlu dan patut kita buat supaya ramai orang menjadi alim. Alim itu maknanya tahu tentang agama. Jangan kita terus menjadi jahil iaitu tidak tahu tentang agama kita.
Semua orang wajib menjadi alim. Ini kerana Nabi pernah bersabda yang bermaksud: "Menuntut ilmu itu wajib bagi orang Islam yang lelaki dan perempuan". Jadi bukan hanya alim itu terletak kepada ustaz-ustaz atau tok lebai-tok lebai tetapi kita semua wajib menjadi alim. Sekurang-kurangnya dapat memberi ilmu kepada ahli keluarga sendiri terutama isteri, suami dan anak-anak kita.
Jadilah imam kepada isteri kita dan anak-anak kita. Jangan sampai kata tidak tahu kepada anak sekiranya anak meminta kita mengajarnya mengaji atau mengajar solat. Jangan kita kata tidak tahu apabila anak meminta kita mengajarnya azan dan iqamat. Sedarlah bahawa setiap kita adalah ketua yang akan ditanya oleh Allah di hari Akhirat nanti mengenai apa yang kita ajarkan kepada ahli atau rakyat di bawah kita. Suami, ketua dalam keluarga. Ketua kampung, ketua dalam kampung. Menteri, ketua dalam Negeri dan seterusnya. jadi tidak ada sebab untuk kita lari dari menjadi alim kepada diri sendiri dan kepada keluarga serta kepada Negara kita.
Ayuh semua. Marilah sama-sama kita menjadi alim dan menjadi orang menyampaikan apa yang kita tahu. "Kun Aliman au Muta'alliman, au Mustami'an au Muhibban". Iaitu jadilah kamu orang yang alim (tahu), atau orang belajar (ingin tahu), atau orang mendengar (ilmu) atau orang yang mencintai ilmu." Jangan kita jadi orang yang kelima iaitu tidak mahu jadi alim, tidak mahu belajar, tidak mendengar ilmu dan membenci ilmu. Maka binasalah hidup kita.
Fikir-fikirkanlah. Hanya kita yang dapat mengubah diri kita.