Pendapat yang mengatakan bahawa era kejatuhan agama di kalangan masyarakat Islam hari ini agak kurang tepat. Islam sebenarnya agama yang akan terus bangkit. Islam adalah agama Allah s.w.t, sama ada hamba-hamba-Nya membantu menyebarkan Islam atau tidak, ia tetap akan bangkit, kerana itu adalah janji Allah s.w.t. di dalam al-Quran.
Perkara ini boleh kita kaji suatu masa dulu, kira-kira 30 ke 40 tahun dahulu, hanya orang-orang yang digelar ustaz atau lebai sahaja yang tekun memelihara solat lima waktu. Solat lima waktu bagi orang awam yang bukan ustaz dan lebai ketika itu, bagaikan 'gigi rongak', jarang-jarang untuk dikerjakan.
Sebagai contoh lagi, di zaman 30 ke 40 tahun dahulu, ustazah-ustazah yang mengajar agama hanya memakai tudung yang ala kadar, sekadar menutup sebahagian kepala sahaja. Namun sekarang sudah banyak perubahan, sehinggakan ustazah dengan orang awam pun seakan sama sahaja cara pemakaian tudungnya. Ada yang labuh, ada yang tudung besar dan tidak ketinggalan tudung-tudung kecil. Apa penting ialah mereka sudah memakai tudung yang sempurna, kalau tidak pun sudah hampir-hampir sempurna.
Satu ketika dahulu, di kampung-kampung terdapat banyak telaga mandi. Anak-anak dara dan makcik-makcik pada waktu itu, mandi-manda dengan hanya berkemban tanpa segan silu. Tetapi situasi seperti itu tidak lagi wujud pada hari ini. Ini membuktikan kesedaran agama yang semakin meningkat berbanding satu waktu dulu. Jika dibandingkan beberapa tahun dulu, ia amat berbeza sekali.
Keadaan dunia sentiasa berubah. Manusia secara keseluruhannya, perlu peka kepada perubahan yang berlaku. perubahan dunia tidak akan menunggu sesiapa. Ia akan terus berubah dan manusialah yang perlu mengejarnya.
Oleh sebab itulah, di samping kejayaan yang membangkitkan nilai-nilai murni, masyarakat Islam diserang pula oleh ideologi-ideologi barat terdiri daripada golongan Zionis dan Nasrani. Dengan bersenjatakan media, golongan Zionis dan nasrani ini berjaya menumpulkan pemikiran masyarakat serta menerapkan budaya dan ideologi mereka kepada masyarakat dunia.
Generasi Islam masa kini perlu berubah. Umat Islam perlu lebih moden dan advance dari segi ilmu. Tetapi malangnya, apa yang difahami oleh masyarakat Melayu hari ini adalah meniru apa saja yang datang dari Barat. Berpakaian seksi dan beranting-anting, dianggap sebagai moden dan terkini.
Bukanlah yang dimaksud advance itu dengan cara berpakaian dan berakhlak seperti ikon atau penghibur seperti apa yang ditonjolkan oleh media Barat pada hari ini. Itu bukan advance atau moden, tetapi itu adalah perangai dan aksi manusia jahiliah abad ini.
Islam sebenarnya agama yang moden. Islam menggalakkan kebersihan, cantik dan kemas. Banyak hadis dan ayat-ayat al-Quran mengatakan tentang keindahan dan kecantikan. Bahkan dalam satu hadis, baginda Rasulullah s.a.w. memberi kiasan, bahawa Allah s.w.t. itu indah dan Dia menyukai keindahan.
Di samping itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang begitu penting dalam mencorakkan masa depan generasi Islam. Pendidikan itu bermula dari rumah dan itu adalah satu kenyataan yang tidak dapat tidak, mesti diterima oleh setiap ibu bapa. Hari ini kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah, menyalahkan guru-guru apabila anak mereka gagal dalam pelajaran, berakhlak buruk dan sebagainya. Tetapi tidakkah mereka sedar, guru-guru yang mereka salahkan itu adalah sekadar faktor sampingan dalam perkembangan anak-anak mereka.
Apa yang pasti, jika anak itu gagal dalam pelajaran atau sebagainya. ibu bapa perlu melihat diri sendiri dan perlu merenung kembali kaedah yang digunakan untuk mendidik dan memelihara anak mereka. Kebanyakan ibu bapa hari ini tidak lagi mendidik anak dengan pendekatan Islam. Ramai ibu bapa yang tidak lagi menerapkan nilai-nilai agama dalam pendidikan di rumah, bagaimana pula mahu mengharapkan anak-anak atau generasi pewaris agar menjadi lebih islamik.
Umat Islam perlu tahu, bahawa golongan Yahudi dan Nasrani, mendidik anak-anak mereka dengan ideologi kepercayaan mereka. Dalam erti kata lain, mereka mendidik anak-anak dengan kepercayaan agama. Begitu juga dengan Yahudi. Anak-anak dididik dengan ideologi dan fahaman agama Yahudi dan apabila besar kelak, anak-anak tadi akan menjadi penyambung warisan agama dan ideologi mereka.
Adalah sesuatu yang malang, apabila ada segelintir umat Islam sendiri beranggapan, bahawa berpegang pada agama bermakna berundur ke belakang. Ini adalah satu pandangan yang silap dan sebenarnya, pendapat seperti itulah pendapat yang berundur ke belakang.
Yahudi dan Nasrani mendidik anak-anak mereka dengan agama untuk menguasai masa depan, sebaliknya orang-orang Islam pula, menganggap agama adalah punca kemunduran. Ini adalah satu kesilapan yang besar dan boleh menjahanamkan institusi komuniti Muslim pada satu hari nanti.
Marilah menuju ke arah menegakkan syiar Islam seluruhnya semoga Islam di Malaysia sentiasa maju ke hadapan.
0 comments:
Post a Comment