KAHERAH – Sekumpulan aktivis menggunakan rangkaian sosial di Internet bagi meminta tunjuk perasaan diadakan lagi selepas ptotes terbesar diadakan kelmarin sehingga awal pagi semalam.
Tunjuk perasaan itu diadakan bagi mendesak supaya Presiden Mesir, Hosni Mubarak meletakkan jawatan selepas memerintah selama 30 tahun atas dakwaan rasuah, penindasan dan pengangguran.
Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri memberi amaran bahawa polis tidak akan berlembut dengan tunjuk perasaan itu.
Ribuan anggota polis ditempatkan semalam di bandar raya ini bagi berdepan dengan tunjuk perasaan yang diilhamkan daripada gerakan demonstrasi di Tunisia sehingga menyebabkan bekas Presidennya, Zine El Abidine Ben Ali melarikan diri.
Protes di Tunisia itu memuncak selepas seorang peniaga sayur-sayuran membakar dirinya bagi memprotes rasuah yang berlaku di negaranya.
Zine El Abidine dibenci rakyatnya kerana amalan rasuah yang berleluasa dan pembolotan harta oleh kaum keluarga dalam perniagaan manakala kadar pengangguran meningkat di Tunisia.
Protes di Mesir turut berlaku disebabkan kematian seorang lelaki, Khaled Saad yang menurut saksi-saksi dan keluarganya dipukul oleh dua anggota polis di Iskandariah pada tahun lalu.
Polis menyatakan kira-kira 200 anggota penunjuk perasaan ditahan awal semalam dalam pertempuran dengan anggota-anggota pihak berkuasa di sini dan di beberapa lokasi di Mesir.
– Agensi