Contoh bagaimana Rasulullah memenangi hati Sayidina Bilal di peringkat awal Islam dengan cara membantu Bilal melakukan kerja-kerja di ladang. Sikap baginda itu berjaya memenangi hati Bilal hingga beliau mudah masuk Islam.
Kejayaan Rasulullah juga disebabkan niat murni baginda adalah untuk menarik orang kepada Allah dan agama-Nya, bukan kepada diri sendiri. Sejak belum menjadi rasul lagi, baginda memang memiliki watak suka ambil berat.
Selama 40 tahun baginda dididik dengan akhlak yang mulia. Baginda telah digelar al-Ameen dan dikenali sebagai orang yang suka menolong dan berbagai-bagai lagi kualiti yang baik walaupun ketika itu baginda belum bergelar seorang rasul.
Contoh lain yang berlaku semasa zaman kegemilangan Islam. Ketika itu seorang perisik Rom dihantar meninjau kehidupan umat Islam di Madinah tetapi tidak pulang-pulang semula. Perisik kedua yang dihantar dengan tugas yang sama, juga tidak pulang ke Rom. Giliran pula perisik yang ketiga dihantar dan perkara yang sama juga berlaku yakni tidak juga pulang ke Rom. Maka ketua perisik merasa hairan lalu dia sendiri pergi ke Madinah untuk melihat apa yang berlaku.
Di Madinah, ketua perisik ini singgah makan di sebuah gerai. Apabila dia hendak membayar, penjual gerai berkata, "Saya lihat saudara ini bukan orang Madinah. Nabi mengajar kami, tuan adalah tetamu kepada saya dan sudah menjadi kewajipan saya untuk menunaikan hak tuan sebagai tetamu. Tuan tidak perlu membayar untuk makanan ini."
Ketua perisik ini kemudian berjalan ke gerai-gerai jualan. Dia berkenan dengan satu barang dan ingin membelinya tetapi si penjual berkata, "Saya suka tuan beli barang ini, tapi ada satu kedai kawan saya yang juga menjual barang yang sama. Harga dan kualiti juga sama. Tetapi tiada orang yang membelinya. Saya punya ada juga pelanggan beli. Mari kita pergi ke kedai kawan saya."
Melihatkan peristiwa tadi barulah si ketua perisik faham mengapa anak buahnya tidak pulang-pulang ke Rom. Mereka bertiga telah tertawan dengan sikap peduli masyarakat di Madinah sehingga mereka sendiri memeluk Islam.
Berdasarkan kisah ini, amalan mengambil berat boleh diterapkan dalam kehidupan seharian terhadap siapa saja tanpa mengira agama.