Amanah merupakan satu perkara yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Ia menentukan masa hadapan sesebuah masyarakat. Semua peranan yang dimainkan oleh setiap individu berkisar di sekitar dengan amanah yang telah diletakkan ke atas dirinya. Manusia tidak boleh melepaskan dirinya dari menunaikan amanah yang telah dibebankan kepadanya oleh kehendak-kehendak kehidupan. Salah satu daripadanya ialah urusan-urusan pentadbiran yang merupakan satu urusan yang mesti dipelihara dan dikawal tanpa dicemari oleh unsure-unsur yang merosakkan. Setiap orang adalah bertanggungjawab untuk memperbaiki sebarang kerosakan yang berlaku dalam urusan pentadbiran kerana ia merupakan satu amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Setiap orang mesti menunaikan amanah kepada tuhan, diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Pengertian
Amanah berasal daripada perkataan arab - amanah, yang bermaksud tenteram, aman, selamat dan harmoni. Dalam pengertian nilai dan akhlak, amanah ialah menghargai kepercayaan orang lain terhadap diri seseorang dengan melaksanakan tuntutan yang terdapat dalam kepercayaan itu. Amanah dengan erti kata lain ialah tanggungjawab yang diterima oloh seseorang yang kepadanya diberikan kepercayaan bahawa ia dapat melaksanakannya sebagaimana yang dituntut, tanpa mengabaikannya. Apabila tanggungjawab itu ditunaikan dan kepercayaan yang diberikan itu dihargai, maka orang yang menerima dan melaksanakannya mendapati dirinya tenteram, aman, selamat dan harmoni. Amanah meliputi pelbagai lapangan, antaranya :
1. Amanah Terhadap Allah Dan Rasul
2. Amanah Terhadap Diri Sendiri
3. Amanah Terhadap Masyarakat Dan Perkhidmatan
1. Amanah Terhadap Allah Dan Rasul
Ia bermula daripada kedudukan manusia sebagai hamba Allah SWT. Dan fungsi sebagai khalifahNya. Tanggungjawab manusia sebagai hamba Allah ialah patuh, taat dan tunduk kepadaNya. Tanggungjawab manusia sebagai khalifah pula ialah membangun, memakmur dan melaksanakan islah di bumi ini mengikut kehendak dan tuntutan yang terkandung dalam syariat dan ajaranNya seperti yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Kedudukan manusia sebagai hamba dan khalifah Allah dengan fungsinya untuk taat, patuh dan mengimarahkan bumi Allah ini ialah satu amanah yang mesti dilaksanakan sepenuhnya. Segala tuntutan agama dan kewajipan yang ditetapkan hendaklah dipikul dan dilaksanakan seperti yang dikehendaki tanpa lalai, ragu dan sambil lewa. Jika ini dilaksanakan, maka seseorang itu telah menunaikan amanahnya kepada Allah SWT sepertimana firmanNya :
Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RsulNya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui (salahnya).
(Al-Anfal : 27)
Segala pemberian dan nikmat Allah SWT hendaklah dimanfaatkan untuk kebaikan dan digunakan mengikut peraturan dan hukum yang telah ditetapkan. Apabila amanah Allah ini ditunaikan, maka manusia akan merasai ketenangan, kedamaian dan keselamatan jiwa yang tidak terhingga. Hilanglah kegelisahan dan kekacauan dalam dirinya. Sebuah organisasi dan masyarakat yang anggotanya menjaga, memelihara dan menghargai amanah Allah akan berada dalam suasana aman, tenteram dan penuh harmoni. Dengan itu produktiviti akan bertambah dan kebaikan akan berkembang.
Amanah terhadap Rasul ialah cabang daripada amanah terhadap Allah. Rasul menyampaikan segala ajaran Allah SWT dan menunjukkan bagaimana ajaran itu dilaksanakan. Rasulullah SAW telah menyediakan as-Sunnah dan Qudwah (ikutan). Ia merupakan amanah Rasulullah SAW kepada umatnya yang perlu dipelihara, dihargai serta dipatuhi.
Perkataan Rasulullah dalam bentuk perintah, nasihat dan saranan menjadi sunnahnya. Begitu juga perbuatan dan pengakuannya merupakan sunnah yang menjadi amanah untuk diterima dan dilaksanakan sebagai tanggungjawab yang dituntut. Patuh dan taat kepada Rasulullah SAW merupakan sebahagian daripada ketaatan dan kepatuhan kepada Allah SWT. Seseorang dianggap mengkhianati amanah Allah dan RasulNya jika kewajipan yang telah ditentukan, diabaikan. Begitu juga jika ia tidak memelihara ketinggian dan maruah agama Allah, tidak berjuang menegakkannya dan tidak berusaha untuk menghayatinya dengan penuh keimanan dan keyakinan.
2. Amanah Terhadap Diri Sendiri
Manusia dan segala anggotanya menjadi amanah Allah SWT. Akal, mata, telinga, kaki, tangan dan lain-lain anggota merupakan amanah Allah. Setiap diri kita mempunyai tanggungjawab dan kewajipan dari segi rohaniah dan juga lahiriah. Menjaga kebersihan , kesihatan diri dan memberikan hak-hak anggota tubuh badan merupakan sebahagian daripada amanah terhadap diri yang telah ditetapkan oleh Islam.
Kebersihan rohaniah dan memelihara anggota daripada digunakan untuk perkara yang dilarang oleh Allah SWT menjadi tanggungjawab dan tuntutan yang terkandung dalam pengertian amanah. Mata yang dikurniakan oleh Allah adalah amanah. Ia hendaklah digunakan untuk tujuan yang diredhai Allah dengan menghindarkannya daripada melihat perkara yang dilarang. Telinga hendaklah digunakan untuk tujuan yang baik dengan menghindarkannya daripada mendengar perkataan yang terlarang seperti mendengar umpatan.
Lidah menjadi amanah Allah. Ia hendaklah dijaga dan dipelihara daripada segala kejahatan. Lidah adalah lebih tajam daripada mata pedang. Jika disalahgunakan ia amat berbahaya kepada diri dan masyarakat. Lidah yang tidak dijaga akan menjadi pembawa fitnah yang boleh merosakkan hidup dan membinasakan diri sendiri. Oleh itu, semua anggota tubuh badan dan pancaindera merupakan amanah Allah kepada manusia yang perlu dijaga dan dipelihara dengan cara memanfaatkannya untuk tujuan yang diredhai Allah.
3. Amanah Terhadap Masyarakat Dan Perkhidmatan
Manusia merupakan makhluk bermasyarakat yang saling bergantung dan memerlukan antara satu sama lain. Tiada sesiapapun yang dapat memenuhi semua keperluannya tanpa pengantungan kepada orang lain. Penduduk kota yang memiliki pelbagai kemudahan memerlukan khidmat para petani dan nelayan untuk mendapatkan keperluannya seperti beras, sayuran dan ikan. Mereka memerlukan khidmat para penternak untuk mendapatkan daging.
Para peniaga memerlukan pelanggan manakala pengguna memerlukan khidmat peniaga. Para pemimpin memerlukan pengikut. Pengikut memerlukan bimbingan dan kepimpinan para pemimpin. Tegasnya, tiada siapa yang mampu hidup bersendirian, kerana manusia itu makhluk bermasyarakat. Setiap orang memerlukan perkhidmatan orang lain dan setiap yang dimiliki oleh seseorang bukanlah pemilikan yang mutlak, tetapi menjadi amanah yang terpaksa diserahkan kepada orang lain apabila tiba masanya. Penyerahan yang berlaku itu merupakan perkhidmatan dalam hubungan kemasyarakatan dan kehidupan yang memerlukan pergantungan antara satu dengan yang lain.
Apabila pergantungan itu diterjemahkan kepada perkhidmatan, bermakna setiap orang dipertanggungjawabkan untuk memberikan perkhidmatan kepada yang lain mengikut susunan dan kepentingan yang ditetapkandalam kehidupan bermasyarakat. Perkhidmatan yang dilaksanakan dengan jujur dan ikhlas dalam hubungan manusia bermasyarakat merupakan penghayatan amanah yang besar ertinya dalam hidup dan penghayatan beragama. Msyarakat bermula dengan perhubungan dan komunikasi antara manusia. Perhubungan dan komunikasi yang membentuk keluarga, kelompok, unit-unit masyarakat dan seterusnya ummah, bangsa dan negara.
Penutup
Oleh yang demikian, setiap yang bergelar manusia harus mengetahui, memahami seterusnya mengamalkan segala bentuk amanah yang telah diberikan dengan sebaik-baiknya samada amanah terhadap Allah dan Rasul, diri sendiri mahupun kepada masyarakat dan perkhidmatan kerana ia telah dipertanggungjawabkan, setiap tanggungjawab perlu dilunaskan agar tidak merosakkan penghidupan kita di dunia ini.
Kisah Dan Teladan
KHALIFAH Umar bin Abdul Aziz adalah selah seorang daripada khalifah kerajaan Bani Umayyah yang terkenal dengan sifat amanahnya. Pada suatu malam ketika neliau sedang tekun menyiapkan kerja rasminya delam bilik istana, tiba-tiba salah seorang puteranya telah masuk untuk membincangkan suatu hal yang berhubung dengan urusan keluarga. Setelah puteranya duduk, beliau pun memadamkan lampu yang berada di atas mejanya, yang digunakan ketika bekerja pada malam itu. Puteranya merasa hairan lalu bertanya.
" Kenapa ayahanda padamkan lampu ini? Bukankah lebih baik kita berbincang di bawah cahaya lampu yang terang ?"
Khalidah Umar menjawab, " Benar katamu wahai anakkku, tetapi engkau harus ingat, lampu yang sedang ayahanda gunakan untuk bekerja sebantar tadi adalah kepunyaan Kerajaan, minyak yang digunakan itu dibeli dengan wang Kerajaan, sedangkan perkara yang hendak kita bincangkan ini adalah urusan keluarga "
Kemudian beliau menyuruh seorang pelayan supaya membawa lampu yang lain dari dalam biliknya. Setelah lampu itu dinyalakan maka ia pun berkata kepada puteranya:
" Sekarang lampu yang baru kita nyalakan ini adalah kepunyaan keluarga kita, minyaknya pun kita beli dengan wang kita sendiri. Sila kemukan apa yang anakanda hendak bincangkan dengan ayahanda.