Perhatikan firman Allah Subhanahu wataala dalam surah Al-Baqarah :
" مثل الدين ينفقون أموالهم في سبيل الله كمثل حبة أنبتت سبع سنابل في كل سنبلة مائة حبة والله يضاعف لمن يشاء والله واسع عليم "
Maksudnya “ bandingan mereka yang memberikan sedeqah harta bendanya di jalan Allah umpama menanam sebutir benih, ia menumbuhkan tujuh untaian dan pada setiap untaian itu terdapat seratus butir. Dan Allah akan melipatgandakan pahala bagi orang yang dikehendaki, dan Allah itu maha luas lagi Maha Mengetahui” .
Ibnu Abbas (R.A) meriwayatkan :
" كان رسول الله (ص) أجود الناس وكان أجود ما يكون في رمضان "
“ Rasulullah S.A.W merupakan manusia paling pemurah. Sifat pemurahnya paling ketara dapat dilihat pada bulan Ramadhan “. (Riwayat Bukhari & Muslim).
Selain menyahut seruan Allah dan Rasulnya, bersedeqah terutamanya pada bulan Ramadhan menghimpunkan kebaikan-kebaikan berikut :
1) Sedeqah Menawarkan Ruang Penyucian Jiwa
Allah S.W.T menjanjikan bentuk penyucian jiwa dengan cara paling mudah iaitu melalui bersedeqah. Firman Allah :
"خد من أموالهم صدقة تطهرهم وتزكيهم بها وصل عليهم , إن صلوتك سكن لهم والله سميع عليم" Lafaz تطهرهم mengunjurkan bahawa sedeqah mampu menyucikan jiwa manusia dari karat noda dan dosa yang telah dikumpulkannya, sementara وتزكيهم memberi isyarat sampai kepada maqam pembersihan jiwa dengan mengamalkan sifat-sifat terpuji .
2) Sedeqah Manjadi Lembayung Pelindung Panas Akhirat
Tidak ada sesiapapun dapat meramalkan nasibnya ketika berada di hari akhirat nanti. Hari di mana matahari menjarak sejengkal di atas kepala, titis peluh mengalir sederas aliran sungai dek panasnya hari tersebut. Detik inilah akan mara ‘ sedeqah’ menjadi lembayung penahan panas buat tuannya. Ibnu Khuzaimah meriwayatkan daripada Aqbah b, ‘Amir (R.A):
" كل امرئ في ظل صدقته حتى يفصل بين الناس أو قال حتى يحكم بين الناس "
“ setiap individu (di akhirat kelak) pasti akan berada di bawah lindungan sedeqahnya sehinggalah selesai pengadilan dijalankan di antara manusia ” . ( Disahihkan oleh Muslim)
Usah dipandang ringan amalan ‘sedeqah’ ini. Hiasilah Ramadhan dengan menggandakan sedeqah kita walau dengan secarik buah kurma, meski hanya seteguk air atau semanis bicara, dan jika tidak mampu bersedeqahlah dengan sepotong ayat Al-Quran, sebarang bentuk bantuan waktu diperlukan, jika itupun tidak berdaya dilunasi maka berdoalah mohon ampunan dan rahmat untuk diri serta mereka yang meminta. Sesungguhnya Allah telah menjanjikan doa tersebut untuk dikabulkan.
Nah besar sekali rahmat Allah bagi si pemberi sedeqah sehingga seorang para solehin diriwayatkan pernah berkata “ tika aku didatangi faqir miskin memohon sedeqah aku mengalu-alukannya..selamat datang orang yang akan membawa bekalan kami untuk disampaikan kepada Allah tuhan kami”.