Dekan Kolej Kesihatan Sains Awam, Universiti Chulalongkorn di Bangkok, Profesor Surasak Taneepanichskul mendedahkan selepas lima tahun pendidikan seks diperkenalkan, masyarakat Thai kini lebih terbuka.
KEBELAKANGAN ini kes-kes pembuangan bayi sekali lagi kembali mewarnai dada-dada akhbar. Bayi-bayi comel yang tidak berdosa menjadi mangsa orang dewasa yang cetek imannya.
Terbaru, seorang bayi seberat 2.14 kilogram ditemui tanpa seurat benang dalam keadaan masih hidup di Kampung Sungai Kerayong, Cheras, Kuala Lumpur. Nasib bayi yang masih hidup ini mungkin agak baik jika dibandingkan dengan ratusan mahupun ribuan bayi terbuang yang ditemui mati.
Apabila berlakunya ‘malapetaka’ yang disengajakan atau sebaliknya ini, tidak timbul lagi soal siapa yang harus bertanggungjawab atau dipersalahkan. Si ibu ataupun si bapa?
Jika direnung sejenak, mungkin kita boleh cuba tanya diri sendiri. Adakah masih sempat untuk kita memperbetulkan keadaan ataupun nasi sudah menjadi bubur?
Mungkinkah juga pendidikan seks sepatutnya bermula seawal Tahun 1,2,3? Keperluan dilengkapi maklumat tepat tentang seks pada usia awal di kalangan wanita khasnya penting bagi membantu mereka membuat pilihan yang betul apabila dewasa kelak.
Dekan Kolej Kesihatan Sains Awam, Universiti Chulalongkorn di Bangkok, Profesor Surasak Taneepanichskul berkata, pendedahan awal kepada pendidikan seks sejak di bangku sekolah mampu menangani masalah kehamilan dan keguguran anak di kalangan remaja Asia yang kian meningkat.
|
|
“Sikap yang betul terhadap kontraseptif boleh dibentuk sejak awal usia. Ini kerana pemahaman yang luas terhadap pencegah kehamilan lebih-lebih lagi yang melibatkan mitos kontraseptif oral adalah kunci kepada wanita dalam membuat pilihan ke atas kesihatan dan perancangan keluarga,” katanya kepada KOSMO! pada Simposium Saintifik Majlis Kontraseptif Asia Pasifik (APCOC) yang diadakan di Shanghai, China pada bulan November lalu.
APCOC ditubuhkan oleh barisan pakar perancang keluarga dan kontrasepsi serantau bagi menggariskan kepentingan merancang keluarga menerusi kaedah yang selamat dan boleh diharap di rantau Asia Pasifik.
Berfungsi memperkukuhkan wanita-wanita Asia Pasifik dengan maklumat yang betul, pendidikan dan komunikasi, APCOC turut menyediakan peluang kepada wanita memilih kaedah kontraseptif terbaik untuk diri.
Menurut Surasak, pendidikan seks di Thailand bermula kira-kira lima tahun lalu. Beliau berkata, inisiatif itu ‘agak memberangsangkan’ turut tidak menafikan bahawa seperti juga negara jirannya, Malaysia, pendidikan seks suatu ketika dahulu adalah tabu di kalangan masyarakat Thai.
“Masyarakat Thai kini berfikiran lebih terbuka dalam soal pendidikan seks. Jika dibandingkan dengan zaman dahulu, sukar untuk bercakap tentang seks dan ia dianggap tidak sesuai biarpun hanya disebut secara ringan,” katanya.
Seperkara yang sering dirisaukan oleh ibu bapa ialah ‘Apakah anak saya akan terdorong untuk mencuba hubungan seks apabila didedahkan dengan pendidikan seks sejak awal usia?’
Ini jawapan Surasak: “Memang tidak dinafikan terdapat sesetengah remaja yang pernah diberi kaunseling, melahirkan rasa dan kecenderungan untuk ‘bereksperimen’ selepas menghadiri sesi pendidikan seks. Tetapi satu kaji selidik yang dijalankan oleh sekumpulan pelajar ijazah sarjana (Master) dalam program kita mendapati biarpun tanpa pendidikan seks, antara 20 peratus hingga 30 peratus wanita mengaku telah mempunyai pengalaman hubungan seks sebelum berkahwin.”
Terang Surasak lagi, selebihnya 70 peratus hingga 80 peratus lelaki yang disoal selidik turut mengakui telah mengadakan hubungan intim sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
Bercerita lanjut, Surasak memberitahu, kajian menunjukkan kebanyakan wanita Thai pernah mengadakan hubungan intim dengan teman lelaki. Namun, senario yang berbeza pula berlaku kepada kaum lelaki di negara tersebut.
“Lelaki-lelaki di Thailand pula memiliki ‘pengalaman istimewa’ hanya dengan pekerja seks atau teman wanita tanpa sebarang perlindungan. Ini sangat berbahaya kerana risiko mendapat penyakit kelamin atau Sexually Transmitted Disease (STD) adalah amat tinggi,” katanya.
Maka, dalam situasi seumpama ini, kita perlu melengkapkan generasi muda dengan pengetahuan dan pendidikan seks sewajarnya iaitu sebaik-baiknya sebelum mereka mencubanya.
Tekan Surasak, ironinya manusia boleh mengadakan hubungan intim dengan jantina berlainan tanpa mendalami isi hati masing-masing terlebih dahulu.
Jika pendidikan seks perlu diterapkan dalam minda generasi muda seawal mungkin, bilakah masa yang paling sesuai untuk berbuat demikian?
Seperkara yang ingin dijelaskan oleh Surasak ialah pendidikan seks berbeza daripada hubungan seksual. Pendidikan seks katanya merupakan satu subjek yang meliputi konteks yang luas.
“Sebaik-baiknya, pendidikan seks boleh dimulakan seawal di sekolah menengah. Inilah masanya mereka bercerita tentang proses natural yang berubah pada diri dan kehidupan secara am. Pada peringkat ini, perubahan fisiologi yang berlaku membolehkan mereka lebih mengenali diri dan belajar menjaga diri sendiri,” tambah Surasak.
Apabila memasuki sekolah tinggi atau sekolah vokasional, fokus pendidikan seks boleh dilanjutkan kepada pengetahuan lebih mendalam. Antaranya termasuk apakah kesan hubungan seks, apakah itu kehamilan, tindak balas seksual dan bagaimana membuat perancangan keluarga.
Pada peringkat ini, pengaruh rakan sebaya memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seseorang remaja. Jadi, sesetengah pelajar katanya akan dipilih sebagai pembantu kepada kaunselor.
“Jika anda perasan, kebanyakan remaja pada peringkat ini lebih rapat dengan rakan sebaya berbanding ahli keluarga atau ibu bapa sendiri. Apabila mereka berdepan dengan masalah, mereka akan rujuk kepada rakan. Jadi, remaja boleh direkrut dan dilatih menjadi kaunselor rakan sebaya,” tambahnya.
Setakat ini katanya, seramai 150 kaunselor telah dilatih di peringkat sekolah-sekolah vokasional.
Di peringkat universiti, misalnya di Thailand, kursus musim panas iaitu pendidikan seksual am untuk pelajar ijazah sarjana muda turut disediakan. Kursus ini antaranya meliputi kesan pengguguran anak, hubungan seksual sesama manusia, akibat dan sebagainya.
“Bagi pelajar peringkatijazah sarjana pula, kami lazimnya akan melatih guru dan jururawat untuk menjadi pendidik seks. Ada ketikanya doktor yang datang untuk kursus ijazah sarjana selama dua tahun juga akan direkrut sebagai tenaga pendidik seks,” jelasnya.
Menurut Surasak, modul-modul kursus pendidikan seks akan direka mengikut kesesuaian sesebuah budaya dan masyarakat.
Tambah Surasak lagi, program yang dilaksanakan memperlihatkan keberkesanan antaranya dari aspek pengetahuan yang lebih mendalam tentang sistem pembiakan, ketelitian penjagaan kesihatan dan peningkatan kaedah pencegah kehamilan.
Dari aspek pemilihan kaedah kontraseptif, Surasak berkata, pil oral (OC) kini lebih popular di kalangan orang muda Thai.
“Berbanding dahulu, OC masih tidak begitu popular kerana pengambilan OC dianggap satu perbuatan yang memalukan. Misalnya orang akan kata ‘Dia mesti perempuan yang tidak baik’..Jadi, stigma itu masih ada. Kondom bagi lelaki pula seakan satu ‘halangan untuk cinta’ yang tidak menyelesakan.
“Thailand adalah antara negara di Asia Pasifik yang masih menghalalkan pengguguran anak. Jadi, usaha mempromosikan pentingnya pendidikan seks dan perancangan keluarga yang betul berada dalam landasan yang tepat,” katanya.