Anda lihat anak-anak anda, anda lihat kelakuan mereka, ada kelakuan mereka yang anda tidak suka. Apa tanggapan anda? Salahkan mereka? Salahkan pergaulan mereka? Anda jangan cepat melatah. Apa yang anda lihat adalah diri anda sendiri, seperti memandang pada cermin.
Anak kita produk kita. Kitalah yang menentukan hala tuju anak-anak kita. Sudah tiba masanya kita membuang tanggapan nanti anak kita besar, tahulah mereka menentukan mana yang elok, mana yang tidak. Maaf, ini tidak semestinya berlaku. Malah ramai di kalangan anak-anak, apabila sudah besar, masih tidak dapat membezakan antara baik dan buruk. Tidak kurang juga yang dimarahi, dileteri atau dipukul sekiranya melakukan kesalahan. Padahal sejak kecil lagi si ibu atau bapa tidak pernah memberitahu tentang baik buruk sesuatu perkara.
Sebenarnya, mereka perlu diberitahu tentang baik dan buruk sesuatu perkara atau benda semasa di dalam alam rahim lagi. Benar kata bijak pandai sejak zaman berzaman, bahawa tugas yang paling mencabar adalah untuk membina seorang insan. Sangat mudah untuk membesarkan bayi menjadi orang dewasa tetapi sangat susah untuk membesarkan bayi menjadi manusia dewasa yang mempunyai sifat insan.
Memang ramai di kalangan ibu bapa yang membiarkan sahaja anak-anak kecil berusia satu hingga lima tahun berkelakuan tidak elok seperti menendang kucing atau berebut barang permainan dengan rakan sebaya. Alasan mereka sambil tersenyum, biarlah, budak-budak memang begitu. Kanak-kanak berusia satu tahun memang kelihatan comel apabila bermain dengan kucing dalam gaya agak lasak atau berebut barang permainan dengan kanak-kanak lain. Namun, jika tidak ditegur dan dinasihati, dikhuatiri ia akan kekal dalam minda sehingga menjadi seorang dewasa yang kasar dan suka bergaduh.
Berikut adalah kata-kata yang sering kita dengar daripada mulut ibu bapa:
Biarlah anak kita yang tentukan masa depannya sendiri kerana dia yang punya diri.
Manalah kita tahu apa kehendak anak bila dia besar nanti.
Zaman sekarang bukan macam zaman dahulu, ibu bapa boleh tentukan masa depan anak.
Saya bimbang untuk tentukan masa depan anak, nanti mereka sangka kita mengongkong.
Saya serahkan kepada anak-anak untuk berfikir dan menentukan masa depan mereka sendiri.
Menurut pendakwah terkenal, Dr Sharifah Hayati Syed Ismail Al-Qudsy, tanggapan yang tersebut adalah salah sama sekali. Katanya setiap ibu bapa perlu membentuk anak-anak ke arah akhlak, ibadat, pendidikan dan seterusnya profesion yang berkualiti.
Keempat-empat perkara ini akan membawa kepada matlamat akhir iaitu kebahagiaan dunia dan akhirat. Bukan mudah untuk memperoleh matlamat ini.