Perkataan Bismillah (sebutan penuh dalam bahasa Arab) mempunyai 19 huruf yang menunjukkan bilangan Malaikat yang menjaga neraka (Saqar) seperti firman Allah Taala dalam surah al-Muddatthir: 27-30 yang bermaksud:
"Dan apa jalan engkau dapat mengetahui kedahsyatan nerala Saqar itu? Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa, dan tidak membiarkannya (binasa terus). Ia terus membakar kulit manusia! Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat)."
Alim ulama mengatakan bahawa mengucapkan Bismillah dalam setiap permulaan urusan seperti makan, minum, memakai pakaian dan bersuci adalah sunat. Hal ini selaras dengan firman Allah dalam surah al-An'am: 118 yang bermaksud:
"Maka makanlah daripada (sembelihan binatang yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatnya."
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:
"Tutuplah bekas kamu itu, ikatlah penutupnya (bekas minuman yang dibuat daripada kulit), kuncilah pintu dan padamkanlah lampu kerana dengan demikian syaitan tidak dapat lagi menguraikan tali penutupnya dan tidak dapat membuka pintu dan tidak dapat membuka bekas. Jika seseorang di antara kamu hanya dapat melintangkan sebatang kayu di atas bekasnya dan disertakan dengan membaca Basmalah, maka dia hendaklah melakukannya sebab seekor tikus dapat membakar rumah dan ahli rumah mereka." (Riwayat Muslim)
Sementara itu, Imam al-Qurtubi dalam kitabnya, tafsir al-Qurtubi, menyatakan, diriwayatkan daripada Waqi' daripada al-A'masy daripada Abu Wail daripada Ibn Mas'ud berkata:
"Sesiapa yang ingin melepaskan dirinya oleh Allah daripada malaikat Zabaniah yang menjaga neraka yang 19 orang semuanya, maka hendaklah dia membaca Bismillah, Allah akan menjadikan bagi setiap huruf itu sebagai pendinding bagi malaikat itu."
0 comments:
Post a Comment