Allah mengarahkan kepada para wanita yang beriman dalam surah al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud, "Hendaklah kamu semua kekal berada di dalam rumah kamu serta janganlah kamu berhias seperti orang-orang jahiliah berhias."
Ayat ini menjadi asas kepada hukum tentang hubungan wanita dan rumah iaitu wanita pada asasnya dituntut berada di dalam rumah. Kita tidak dibenarkan keluar daripada rumah kecuali kerana sebab yang dibenarkan oleh syarak. Ibnu Kathir berkata dalam buku tafsirnya ketika mentafsirkan ayat 33 surah al-Ahzab, "Hendaklah kamu wahai kaum wanita, sentiasa berada dalam rumah kamu. Kamu tidak dibenarkan keluar rumah kecuali jika ada keperluan yang dibenarkan oleh syarak. Antara sebab kamu dibenarkan keluar ialah untuk bersembahyang di masjid dengan menjaga syarat-syarat yang sudah ditetapkan oleh syarak."
Abdullah bin Umar meriwayatkan, Rasulullah pernah berkata, "Kaum wanita itu adalah aurat yang perlu dipelihara. Apabila mereka keluar dari rumah maka syaitan akan menghiasi mereka di mata lelaki agar mereka tergoda. Wanita itu lebih dekat dengan Allah apabila wanita itu berada di dalam rumahnya." (Hadith diriwayatkan oleh Tabarani dan Tirmizi.
Panduan yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW ini adalah bertujuan menjaga fitnah daripada berlaku. Jika masa wanita lebih banyak berada di luar rumah, maka kebarangkalian meningkatnya fitnah adalah tinggi. Ini disebabkan, sebagaimana yang dinyatakan oleh baginda, apabila lelaki bukan mahram melihat seseorang wanita di luar rumahnya, maka syaitan akan menghiasi mata lelaki itu dengan kecantikan wanita itu sehingga lelaki itu tergoda dengan kecantikan palsu yang dipertontonkan oleh syaitan itu. Oleh itu, bagi mengelakkan fitnah berlaku, baginda menggalakkan berada di dalam rumah dan hanya keluar rumah apabila ada keperluan penting sahaja.