Maksiat menurut Islam ialah meninggalkan kewajipan- kewajipan dan mengerjakan segala yang dilarang atau yang diharamkan. Berusaha memalingkan kaedah-kaedah kebaikan kepada sikap permusuhan dan kerosakan di samping memilih sikap yang berlawanan dengan eksestensi manusia yang cinta kebenaran dan keselamatan itu.
Maksiat juga merupakan sikap perosak dari aturan kebenaran dan keluar dari prinsip kebaikan, keadilan dan melewati batas yang telah digariskan oleh Allah SWT.
Orang yang condong kepada perbuatan maksiat tidak memperhatikan nilai-nilai kebenaran dalam Islam itu disebabkan mereka tak mampu membezakan hakikat kebenaran yang sesungguhnya. Walau secara lahiriah mereka tergolong orang yang berilmu pengetahuan, dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, namun secara keyakinan dan kewajipan pengetahuan mereka itu tidak memberikan bekas sama sekali. Malah mereka yang tahu tentang bahayanya lebih sering melakukan pelanggaran-pelanggaran dan berbuat dosa.
Mereka menghancurkan dinding pemisah antara kebaikan dan kejahatan. Mencampur adukkan antara keduanya sehingga menjadi satu cara kehidupan mereka. Sulit untuk membezakan mana yang benar dan mana yang salah, kerana dalam segala aspek kehidupan mereka berupaya menghalalkan segala cara asalkan tujuan tercapai.
Orang yang cinta dengan perbuatan maksiat mereka akan jatuh ke lembah kehinaan yang amat dalam, mereka terlalu rendah di sisi Allah SWT lantaran mereka melalaikan segala yang telah ditetapkanNya. Mereka tidak suka segala aturan dan undang-undang Allah sekaligus mereka mempersekutukan Allah yang merupakan maksiat yang paling besar dosanya.
Sering kita lihat perbuatan maksiat itu selalu dilakukan oleh seseorang dengan jalan melakukannya berulang-ulang kali, padahal mereka tahu bahawa apa yang mereka kerjakan itu membawa kepada kemudaratan dan dosa. Apa sebabnya manusia suka mengulangi kesalahan-kesalahan yang sama, yang pernah merugikan dirinya sendiri, rumah tangganya dan yang lebih besar lagi negaranya? Contoh sederhana dalam kehidupan kita, umpamanya seseorang itu tahu bahawa dia berpenyakit kencing manis, tetapi diulanginya kembali memakan makanan yang mengandungi gula yang banyak. Lagi contoh, dia tahu bahawa berhutang itu merungsingkan pemikiran, namun setelah hutang habis dibayar, dia kembali mengulangi pekerjaan yang dia sendiri tidak menyukainya itu.