Saban hari, kita didedahkan dengan cerita yang menyayat hati tatkala membaca berita yang terpampang di dada surat khabar tempatan mahupun luar negara. Berita yang begitu menyentuh perasaan selaku insan atau manusia yang inginkan kedamaian dan ketenangan serta mempunyai perasaan kasih sayang. Namun begitu, apabila membaca kisah-kisah dan menatap wajah insan-insan yang lemah diperlakukan seperti tiada hati dan perasaan, maka terfikir juga di benak kalbu, mengapa ada insan yang sebegitu rupa? Adakah mereka ini sudah bersifat dengan sifat binatang liar atau buas? Tetapi binatang buas pun sayang anak-anaknya, walaupun dirinya liar dan buas tetapi anak-anaknya tetap dijaga dan dididik dengan rapi.
Bila difikir-fikirkan memang begitulah adat kehidupan ini. Ada manusia yang baik dan ada manusia yang jahat. Barulah ada hamba Allah SWT yang mana akan masuk neraka dan akan masuk syurga. Itu merupakan sebab dan musabab mengapa Allah SWT menjadikan sesuatu perkara itu. Ada hikmah disebaliknya. Sebab itulah, bila Allah SWT berkata kepada para Malaikat-Nya, yang mana Allah ingin menjadikan Khalifah muka bumi yang terdiri daripada manusia iaitu Nabi Adam. Maka Malaikat berkata, mengapa Allah ingin jadikan manusia yang suka membuat kerosakan dan suka membunuh sesama sendiri ini menjadi khalifah?, bukannya Malaikat yang suci yang sentiasa menyembah dan sujud serta patuh kepada Allah? Tetapi Allah berfirman bahawasanya Allah lebih tahu apa yang inginkan dilakukan-Nya.
Berbalik kepada cerita terkini dan sensasi yang mana sebelum ini pun pernah terjadi iaitu penderaan dan penyeksaan terhadap anak-anak dan kanak-kanak yang sudah berleluasa di negara kita. Bagaimana kita didedahkan dengan berita seorang bayi yang dibakar di dalam tong sampah sehingga melecur habis tubuhnya sehingga menemui ajal. Bagaimana entah perasaan ibu atau bapa atau sesiapa sahaja yang melakukan kerja terkutuk ini? Sebenarnya mereka tidak tahu bahawa bayi yang mereka bunuh itu sebenarnya bayi yang bakal masuk syurga. Kerana manusia yang mati sebelum akil baligh dijanjikan syurga. Walaupun mereka malu di dunia kerana melahirkan bayi dari hasil perbuatan terkutuk mereka sendiri. Namun di akhirat mereka perlu tahu di mana kedudukan mereka. Maka bertaubatlah segera. Pintu taubat masih terbuka.
Mengapa perlu mendera dan menyeksa kanak-kanak yang masih tidak tahu apa-apa lagi tentang kehidupan. Mereka nakal? Mereka menyusahkan? Mengapa seksa mereka? Binatang pun tidak menyeksa anaknya yang nakal. Anak-anak ini ibarat pengubat luka dan kesedihan kita. Bila kita sedih dan kecewa maka anak-anak kecil inilah menjadi pengubat duka lara kita. Dengan keletah dan gelagat mereka yang ikhlas tanpa dibuat-buat serta terbit daripada hati yang suci dan tulus ikhlas. Mengapa perlu kita merasa benci dan marah kepada mereka? Merekalah nanti yang akan menjadi penolong kita di dunia dan mungkin juga dengan didikan yang betul, mereka juga pasti menjadi penolong kita di akhirat.
Ingatlah, apa-apa sahaja yang kita lakukan di dunia ini, pasti akan dibalas di akhirat nanti. Tunggulah pembalasan yang akan dikenakan kepada kita. Kita akan ditanya apa yang kita lakukan di dunia yang sementara ini. Jadi, sebelum terlambat. Sebelum nyawa kita diambil, marilah sama-sama kita ubah diri kita. Ubah sikap kita. Ubah keadaan kita dari yang tidak baik kepada yang baik. Dari yang baik kepada yang lebih baik. Semoga kita sentiasa diberkati-Nya sentiasa. Jangan menganiaya lagi makhluk Allah. Makhluk Allah adalah milik Allah, bukan milik kita.