Penggunaan barang mewah ini biasanya dikaitkan dengan kemahuan manusia itu sendiri. Ekonomi konvensional menganggap kemahuan dan kehendak manusia adalah tidak terhad sedangkan sumber-sumber yang ada di muka bumi ini adalah terhad sama sekali.
Pada dasarnya Islam menerima hakikat kemahuan manusia terhadap setiap barangan tetapi ia mempunyai cirri-cirinya yang tersendiri. Ini sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud:
1. "Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir" .
2. "Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak [l86] dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga)" .
3. "Dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan" .
4. "Dia mengira bahawa hartanya itu dapat mengkekalkannya" .
Gambaran di atas menunjukkan bahawa kehendak manusia mestilah tidak secara berlebih-lebihan atau tamak.
Di samping itu penggunaan barang-barang mewah seperti pakaian yang terlalu mahal, barang-barang daripada emas, perak dijadikan pinggan dan digunakan oleh kaum lelaki atau lain-lain adalah dilarang oleh Islam penggunaannya.
Islam melarang penggunaan barang-barang mewah kerana selain ia bertentangan dengan hukum Islam ia juga menggalakkan pertumbuhan industri yang tidak produktif dan tidak bermoral seperti berjudi, meminum arak, disko dan lain-lain lagi. Di samping itu, penggunaan barang-barang tersebut akan mengembangkan unsur-unsur yang boleh merosakkan masyarakat, yang akhirnya akan menghancurkan perpaduan seluruh masyarakat .
Kenyataan di atas ini telah dinyatakan dalam Surah al-Baqarah dengan firman Allah yang bermaksud:
"Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia".
(Terjemahan al-Qur'an Surah al-Baqarah 2:219)
"Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan".
(Terjemahan al-Qur'an Surah al-Baqarah 2:168)
Dan dalam surah al-MÉ´idah, yang bermaksud:
"Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepadaNya".
(Terjemahan al-Qur'an Surah al-MÉ´idah 5:88)
Dengan ini ternyatalah bahawa al-Quran membenarkan penggunaan benda-benda yang halal dan baik dalam kehidupan umat Islam. Mereka boleh makan makanan yang berkhasiat, memakai pakaian yang cantik serta tinggal dalam rumah-rumah yang indah yang membawa kepada kehidupan yang selesa dan menggembirakan.
Islam membenarkan manusia mengguna dan menikmati segala benda yang boleh memberi faedah dan kesenangan serta kemewahan kepada mereka selagi mereka tidak berlebih-lebihan sehingga melampaui had-had penggunaan yang ditetapkan .
Islam juga melarang manusia daripada menggunakan barangan yang boleh mengasyikkan seperti mendengar muzik sehingga menyebabkan berlakunya pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Melarang pemborosan dan hidup yang terlampau mengikut hawa nafsu keduniaan. Al-Qur'an menyatakan dengan jelas:
Dalam Surah al-A'rÉf, Allah Ta'ala berfirman yang bermaksud:
1. "Makanlah dan minumlah, tetapi jangan melampaui. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang melampaui batas" .
2. "Dan janganlah kamu membazirkan harta kamu itu sewenang-wenangnya. Sesungguhnya orang yang suka membazir itu adalah saudara syaitan" .
Oleh yang demikian penggunaan barang mewah antara lain akan menjadikan manusia lalai, suka membazir dan melampaui batas. Ia membentuk tabiat buruk seperti hilang kasih sayang, suka bergantung kepada orang lain, malas bekerja, tidak bertanggungjawab dan lain-lain lagi. Malahan demi untuk mengekalkan kehidupan yang mewah seseorang itu akan sentiasa bersedia melakukan perbuatan yang melampaui batas. Dia tidak akan dapat menghindari diri daripada mencabul hak-hak orang lain dan mengaut keuntungan melalui cara-cara yang haram .