Oh Tuhan! Mengapa aku dilahirkan begini? Mengapa aku begitu susah untuk makan dan minum? Mengapa orang lain lebih senang daripada aku? Beginilah orang miskin merintih kerana kesusahan dan penderitaan yang dialaminya. Mengapa mereka merintih? Hanya mereka sahaja yang mengalaminya seperti rumah mereka kecil. Perbelanjaan hidup yang sentiasa tidak mencukupi. Pakaiannya lusuh dan kumal. Makanan kurang zat dan vitamin. Anak sekolah kurang sempurna dan banyak lagi.
Oh My God! Stress betul hari ini. Kerja tak settle-settle lagi. Banyaknya urusan hari ini. Ini pula keluhan orang kaya kerana kesibukan tugas dan urusan yang banyak. Bekerja keras untuk mengekalkan atau meningkatkan lagi prestasi hidup. Kereta perlu yang latest dan prestij. Rumah perlu diperbesarkan atau tambah lagi beberapa rumah.
Orang kaya juga hidupnya tertekan sama seperti orang miskin. Orang miskin sentiasa mengharapkan satu keajaiban berlaku dalam hidup agar memperolehi sedikit kelegaan. Orang kaya juga mengharapkan satu penyelesaian kepada kehendaknya yang tidak terbatas.
Orang kaya juga sering berada dalam kebimbangan mengenai keuntungan perniagaan yang merosot atau pasaran saham jatuh menjunam. Hutang bank pula perlu dilunaskan mengikut jadual. Jadi ramai di kalangan orang kaya yang bergelut dengan penyakit 'orang kaya-kaya' seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis, buah pinggang dan sebagainya.
Inilah di antara senario lumrah kehidupan manusia. Si miskin merintih di atas kesusahan, si kaya mengeluh di atas segala natijah urusan kekayaan.
0 comments:
Post a Comment