Marilah kita sama-sama berfikir, mengapa bulan Ramadan menjadi bulan yang amat dinanti-nantikan oleh Nabi Muhammad s.a.w, para sahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’in. Mereka begitu merindui Ramadan bahkan mereka menanti-nanti kedatangan Ramadan sejak dari bulan Safar lagi. Jika Ramadan bukan bulan yang amat istimewa, sudah tentulah mereka tidak akan menanti-nanti kedatangannya.
Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan dan mendapat pahala yang berlipat ganda dari Allah SWT sebanyak 70 kali ganda. Malah kita sebagai pekerja sudah tentu kita akan melakukan kerja bersungguh-sungguh jika upahnya lumayan. Begitu juga dengan melakukan ibadah di bulan puasa ini. Ubadah bin Samit r.a meriwayatkan bahawa pada suatu hari ketika Ramadan hampir tiba Rasulullah s.a.w. bersabda:
حَضَرَنَا رَمَضَانُ اَتَاكُمْ رَمَضَانُ شَهْرُ بَرَكَةٍ يَغْشَاكُمُ الله فِيْهِ فَيُنْزِلُ الرَّحْمَةَ وَيَحُطُّ الْخَطَايَا وَيَسْتَجِيْبُ فِيْهِ الدُّعَاءَ
“Telah datang kepadamu bulan Ramadan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu.
(HR Tabrani)
Demikianlah sekiranya manusia tahu akan kelebihan bulan Ramadan ini, sudah tentulah umat manusia akan mengharapkan sepanjang tahun adalah Ramadan.
Inilah bulan untuk mengaut keuntungan pahala yang berlipat ganda, bulan untuk meningkatkan lagi amal ibadah. Oleh itu, jauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa. Jagalah penglihatan, pendengaran dan peliharalah lidah daripada melakukan perkara-perkara keji dan haram.
Oleh itu, rebutlah keberkatan dan kemuliaan Ramadan Begitulah di antara kelebihan orang berpuasa. Malahan ganjaran di akhirat adalah lebih besar jika hendak dibandingkan dengan nikmat dunia yang hanya sementara.
Maka hendaklah anda berpuasa dengan penuh kesabaran, dan keikhlasan. Amalan tanpa disertai keikhlasan tidak di terima oleh Allah.
Oleh itu, marilah kita bersama-sama meningkatkan amal ibadah dengan penuh keikhlasan dan kesabaran. Perbaikilah akhlak dan tingkahlaku kita di bulan puasa. Jangan pula nanti ada yang makan di khalayak ramai di bulan Ramadan. Sedangkan bangsa lain (Cina & India) lebih tahu dan menghormati bulan Ramadan.