NIAT IBADAH QURBAN
• Tidak memadai jika seseorang itu hanya membeli binatang dengan niat hendak diqurbankan tanpa dilafazkan niat itu.
• Disyaratkan berniat ketika menyembelih binatang qurban jika dilakukan sendiri. Adalah memadai jika orang yang berwakil itu berniat ketika wakilnya menyembelih korban berkenaan dengan disaksikan oleh orang yang berwakil tadi.
• Walaubagaimanapun adalah lebih baik orang berwakil itu, ketika menyerahkan korban, menyuruh wakilnya berniat bagi pihak dirinya ketika dia menyembelih korban tersebut.
• Tidak disyaratkan niat jika melakukan qurban nazar.
HUKUM QURBAN BAGI PIHAK ORANG LAIN
1. Tidak sah menyembelih korban bagi pihak orang lain yang hidup dengan tiada izinnya.
2. Begitu juga bagi pihak orang yang telah mati dengan tiada wasiat atau pesanan daripadanya.
3. Apabila qurban itu dilakukan kerana wasiat simati maka wajib disedekahkan kesemuanya.
PERKARA-PERKARA SUNAT KETIKA QURBAN
• Apabila menjelang 10 Zulhijjah, tidak digalakkan empunya qurban memotong rambut dan kukunya sehingga dia melaksanakan ibadah qurban.
• Semasa menyembelih binatang qurban disunatkan :
1. Membaca Bismillahirrohmanirrahim
2. Berselawat ke atas Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam.
3. Menghadapkan binatang itu ke arah kiblat di atas rusuk kirinya.
4. Bertakbir sebelum membaca Bismilah dan selepasnya.
5. Membaca doa : Maksudnya: "Ini adalah nikmat daripada Mu dan aku mendekatkan diri kepadaMu dengannya."
• Sebaik-baiknya ibadah qurban ini dilaksanakan sendiri tetapi harus diwakilkan kepada orang lain.
• Qurban Wajib dan Qurban Nazar :
Bagi daging korban kerana sembelihan wajib seperti nazar maka hukumnya Wajib disedekahkan kesemuanya. Haram ke atas orang yang berkorban itu memakan daging tersebut. Jika telah dimakan daging itu maka Wajib diganti kadar yang dimakan itu tetapi tidak wajib dia menyembelih semula yang lain.
• Qurban Sunat :
Bagi daging korban sunat pula, adalah Sunat bagi orang yang empunya korban memakan sebahagian daripadanya sebagaimana firman Allah Ta'ala dalam Surah al-Haj ayat 28:
Maksudnya : "….Maka makanlah daripadanya dan beri makanlah kepada orang-orang yang sangat fakir. Wajib disedekahkan sebahagian daripada daging-daging korban sunat itu kepada golongan fakir dan miskin yang beragama Islam dalam keadaan mentah lagi basah (belum dimasak).
Adalah Afdhal jika yang empunya korban itu hanya mengambil sedikit daripada daging korban berkenaan manakala sebahagian besar daripadanya disedekahkan. Daging yang disedekahkan akan menjadi milik penerima sepenuhnya di mana dia boleh menjual, melelong atau menghadiahkan daging tersebut kepada orang lain dan sebagainya.
• Jika daging korban itu ialah korban disebabkan wasiat dari seorang yang telah meninggal dunia, maka tidak boleh dimakan dagingnya oleh orang yang membuat korban untuknya dan tidak boleh dihadiahkan kepada orang kaya kecuali ada izinnya.
• Haram menyedekah atau menghadiahkan daging korban kepada orang kafir walaupun sedikit.
• Tidak harus memindahkan daging qurban ke daerah lain sebagaimana dalam hukum zakat.
• Haram ke atas orang yang terkorban atau warisnya menjual daging korban itu atau kulitnya atau bulunya atau sesuatu daripada binatang korban itu sebagaimana sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam : Maksudnya:
"Siapa yang menjual kulit korban (udhiyyah) itu maka tiada dikira korban baginya." (Hadis riwayat al-Hakim)
• Haram menjadikan kulit dan daging binatang korban itu sebagai upah kepada penyembelih, tetapi harus diberikan kepadanya dengan jalan sedekah atau hadiah.