"Barangsiapa yang tidak berpuasa sehari dalam bulan Ramadan tanpa keuzuran, dia tidak akan memperoleh ganjaran dan kelebihan Ramadan walaupun dia menggantikan puasa Ramadan tersebut sepanjang masa sehingga hari Kiamat ".
(HR at-Tirmidhi)
SIAPA YANG DIHARUSKAN BERBUKA PUASA?
1. Perempuan dalam keadaan haid atau nifas bahkan wajib berbuka.
2. Sakit yang membahayakan jika dia meneruskan puasa.
3. Tersangat lapar atau dahaga yang membahayakan – mencemaskan.
4. Ketika dalam musafir sejauh dua marhalah (kira-kira 90 km) atau lebih.
5. Orang tua yang tiada kuasa (daya) berpuasa.
6. Perempuan yang sedang mengandung.
7. Ibu yang menyusukan anak kecil.
Jangan kita melakukan ibadah puasa hanya kerana dipaksa oleh ibu bapa dan menganggapnya sebagai satu ibadah tradisi. Mereka melaksanakan puasa lantaran sejak kecil memang telah dibiasakan untuk melakukannya sebagaimana orang-orang lain yang berada di sekitarnya. Ibadah puasa mesti didukung oleh pengertian dan pemahaman.
Puasa ganti atau qadha itu wajib kepada mereka yang meninggalkan puasa sebaik sahaja bulan Ramadan berakhir. Puasa qadha tidak wajib dilaksanakan serta merta dan ia boleh dilakukan sepanjang tahun sehingga Ramadan berikutnya.
Apabila seseorang melambatkan qadha puasa sehingga bertemu Ramadan yang berikutnya tanpa uzur, dia wajib membayar fidyah dengan memberi makan kepada fakir atau miskin. Para ulama' bersependapat, orang yang meninggalkan puasa dan terlambat qadha kerana uzur, tiba-tiba dia meninggal dunia; qadha tidak wajib ke atasnya dan keluarganya. Berbeza bagi mereka yang mati tanpa sempat menggantikan puasa kerana kecuaiannya, sekiranya berlaku; ahli keluarga perlu membayar fidyah atau qadha puasa bagi pihaknya.
Di dalam al-Quran, Allah menyatakan tentang mereka yang diharuskan meninggalkan puasa Ramadan melalui surah al-Baqarah ayat 184:
Bermaksud:
…" Maka barang siapa di antara kamu sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa/qadha) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan bagi mereka yang keberatan (uzur) untuk menjalankan ibadat puasa (jika mereka tidak berpuasa) wajib membayar fidyah (iaitu memberi makan seorang miskin)"…
Kesimpulannya, puasa itu sama ada wajib ataupun sunat mempunyai nilai kelebihan pahala dan latihan diri bagi orang yang beriman dan menghayati amalannya dengan sempurna. Ramai yang menjadikan bulan Ramadan sebagai bulan untuk seseorang berubah ke arah kebaikan. Ramadan yang berlalu tiada gantinya dan kita pun tidak pasti adakah Ramadan yang akan datang ada ruang dan kesempatan untuk kita laluinya. Hargailah Ramadan kita yang tiada galang gantinya.
0 comments:
Post a Comment