Adakalanya manusia ini tidak dapat menerima sekiranya ada yang menegur dan menasihatinya. Lantaran itulah, mereka (yang bersikap seperti ini) harus ditegur secara batiniah iaitu dengan diniatkan dalam hati atau dengan kata lain mendoakan mereka agar menjadi lebih memahami dan mengerti. Doa yang ditujukan kepada saudara kita ini amatlah perlu dan penting supaya mereka menjadi lebih baik. Inilah langkah yang terakhir dan 'terbaik' sekiranya kita sudah menegur dan menasihati tetapi tidak diendahkan oleh mereka. Jangan pula kita tidak tahu bahawa Rasulullah SAW pun pernah ditegur akan tindakan baginda.
Untuk lebih terpimpin, mari kita terlebih dahulu perhatikan tiga petikan surah dan latar peristiwa di sekitar tiga kisah ini. Ia ada dirakamkan di dalam kitab suci al-Quran.
i). Dalam peristiwa Badar setelah perang berakhir yang memberi kemenangan kepada tentera Islam, terdapat sejumlah 70 tawanan perang. Apabila Nabi SAW membuka perbincangan, apa yang patut dibuat dengan tawanan-tawanan perang ini, Saidina Umar berpandangan, mereka semua perlu dibunuh manakala Saidina Abu Bakar pula berpendapat lebih baik mereka dibenarkan bebas setelah diambil wang tebusan.
Ditakdirkan Allah, keputusan yang ada di langit adalah selaras dengan syor yang dikemukakan oleh Saidina Umar. Ia berbunyi:
“Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu mengkehendaki harta benda duniawi sedangkan Allah mengkehendaki (pahala) akhirat (untuk mu) dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.” (Surah Al-Anfaal Ayat 67 – 68)
Dari sini, jelas bahawa tidak ada sesuatu yang pelik dalam tradisi menegur pemimpin di dalam Islam.
ii). Peristiwa kedua ialah sewaktu Nabi S.A.W. bersumpah tidak akan meminum sejenis madu dari bunga tertentu kerana menerima teguran dari salah seorang dari isteri baginda S.A.W. sewaktu berada di rumah salah seorang isterinya. Dalam peristiwa ini, sekali lagi Nabi S.A.W. di tegur dengan lafaz berbunyi:
“ Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi mu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri mu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah At-Tahriim Ayat 1)
iii). Dalam surah ‘Abasa, sekali lagi kita dapat saksikan teguran Allah S.W.T. ke atas Nabi S.A.W. yang dilihat tidak memberikan layanan kepada seorang buta ketika Baginda didatangi oleh pemimpin Quraish yang turut berada di dalam majlis yang sama pada waktu itu. Teguran Allah S.W.T. berbunyi:
“ Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya.” (Surah ‘Abasa Ayat 1 – 6)
Perhatikanlah dan renungkanlah setiap apa yang berlaku pada diri Rasulullah SAW supaya dijadikan teladan sepanjang zaman untuk kita sebagai pemimpin, ketua, bos mahupun rakyat jelata, orang bawahan, staff sokongan dan sebagainya.