Umar bin Khattab sebelum masuk Islam termasuk musuh Islam yang sangat dikhuatiri oleh kaum muslimin. Dia sangat kejam terhadap pengikut-pengikut Rasulullah SAW. Dalam suatu kisah ada diceritakan bahawa Umar bin Khatab pernah menyeksa seorang wanita hamba sahaya dari keluarga Bani Muammal, sehingga hancur tubuh wanita tersebut, kerana dia memeluk Islam.
Rasulullah SAW pernah berdoa kepada Allah SWT tentang Umar bin Khattab.
Ertinya: “Ya Allah, tinggikanlah Islam dengan salah seorang di antara dua lelaki, iaitu Umar bin Hisyam (Abu Jahal) dan Umar bin Khattab.”
Doa baginda Rasulullah tersebut menggambarkan betapa kejamnya dan ganasnya kedua lelaki yang bernama Umar tersebut. Sehingga baginda bermohon kepada Allah, agar salah seorang di antara mereka memperoleh hidayah dan dapat bersama-sama berjuang menegakkan Islam. Pada suatu malam Umar bin Khattab berjalan-jalan dalam kota Mekkah dengan membawa sebilah pedang dengan tujuan ingin membunuh Rasulullah SAW. Ketika itu Umar berjumpa dengan seorang pemuka Quraisy bernama Na’im bin Abdullah.
Na’im bertanya kepada Umar, “Ke manakah engkau ingin pergi wahai Umar? Aku ingin mencari Muhammad dan ingin membunuhnya.” Jawab Umar. Kemudian Na’im berkata lagi, “Mengapa engkau harus membunuh Muhammad sedangkan adik iparmu Sa’id bin Zaid dan adik kandungmu Fatimah bin Khattab telah memeluk Islam.” Mendengar keterangan tersebut, darah Umar menjadi mendidih, kemarahannya semakin memuncak. Sekarang dia telah merubah niat asalnya daripada ingin membunuh Rasulullah, kepada membunuh kedua saudaranya yang sedang berada di rumah Khabbab.
Ketika Umar bin Khattab memasuki rumah Khabbab, Fatimah sedang membaca surah Thaha dari ayat 1 hingga 6. Mendengar itu Umar bertambah marah, kemudian memasuki rumah Khabbab lalu memukul Sa’id bin Zaid hingga berdarah. Fatimah pun ingin membantu suaminya daripada terus diseksa, maka Umar pun memukul adiknya Fatimah sehingga terjatuh. Pada saat yang singkat itu, melihat suasana Sa’d bin Zaid dan Fatimah yang baru dipukulnya, maka Allah SWT memberikan hidayah ke dalam hati Umar bin Khattab.
Umar merasa hairan, apa sesungguhnya yang terkandung di dalam Islam, sehingga fatimah adiknya sanggup berkorban membela suaminya daripada disiksa. Kemudian Umar meminta selembar naskah yang sedang dibaca oleh Fatimah tadi. Fatimah pun menjawab: “Wahai kandaku Umar, tidak akan aku berikan naskah ini sebelum engkau mengambil wuduk terlebih dahulu. Naskah ini hanya boleh dipegang oleh orang-orang yang bersih dan suci.
Kemudian Umar bin Khattab mengambil wuduk, setelah itu dia membaca naskah yang telah dibaca oleh Fatimah. Umar merasakan bahawa seharusnyalah manusia menyembah Zat Yang Maha Pencipta seperti yang dijelaskan dalam surah Thaha ayat 1 hingga 6 tersebut. Akhirnya Umar menyuruh adiknya membawanya menemui Rasulullah SAW untuk memeluk Islam. Ketika itu Rasulullah sedang berada di rumah Al-Arqam bersama dengan Saidina Hamzah. Di hadapan Rasulullah, Umar bin Khattab mengucapkan dua kalimah Syahadah, menyatakan diri bahawa ia telah memeluk agama yang suci itu.
Menurut satu riwayat, setelah Umar bin Khattab memeluk Islam pada malam hari, maka paginya ia pergi ke rumah Umar bin Hisyam (Abu Jahal) untuk memberitahukan kepadanya bahawa Umar bin Khattab telah memeluk Islam. Mendengar keterangan Umar bin Khattab tersebut, maka Abu Jahal pun menampar Umar bin Khattab, sehingga terjadilah perkelahian antara mereka. Begitulah dua insan yang sama-sama jahil, namun salah seorang memperoleh hidayah dariapda Allah SWT, sedangkan yang seorang lagi terus sesat mengikut langkah-langkah syaitan.
1 comments:
Post a Comment