Bagaimana hendak bertaubat daripada dosa?
1. tinggalkan perkara dosa yang pernah dilakukan dulu
2. rasa menyesal dengan dosa yang dilakukan itu
3. berjanji dengan bersungguh-sungguh tidak akan mengulangi dosa yang pernah dilakukan itu.
4. jangan lupa solat taubat, kalau boleh lakukanlah setiap hari dengan ikhlas.
5. sentiasa memohon doa dan keampunan dari Allah supaya Allah memaafkan segala dosa kita.
Ingat! Perkara ini mesti dilakukan dengan seberapa segera kerana setiap perkara yang baik tidak elok dilengah-lengahkan. Jangan tunggu dan tangguh untuk melakukan perkara yang baik terutama sekali tentang persoalan TAUBAT. Jangan tunggu bila sakit atau kesusahan atau dah terasa nyawa di kerongkong baru hendak insaf.
Sebenarnya kita mesti melakukan perkara baik dan kebajikan ini sewaktu tubuh kita masih sihat dan segar. Ini kerana ketika sihat segala amalan dapat dilakukan dengan baik dan akan mendapat hasil pulangan yang lebih berkesan dan bermakna.
Kita perlu sedar juga betapa Allah Taala sangat sukakan hambanya yang sentiasa sedar dan bertaubat di atas segala kesalahan dan dosa yang dilakukan. Namun taubat yang dilakukan itu mestilah dengan bersungguh-sungguh atau dipanggil TAUBAT NASUHA.
Ada tanda-tanda taubat kita diterima atau tidak oleh Allah Taala.
Pada yang diterima ada tandanya iaitu:
1. selepas bertaubat keadaannya lebih baik dari sebelumnya.
2. merasa takut dengan azab Allah.
3. menahan diri dari melakukan maksiat.
4. menyesal dengan dosa yang dilakukan dan
5. merasa hina diri dan tawadhuk.
Manakala tanda-tanda taubat tidak diterima ialah:
1. ia merasa lemah keazaman dalam bertaubat.
2. merasa seronok dalam kemaksiatan.
3. hati menjadi keras tidak mengalirkan air mata
4. tidak takut terhadap peristiwa-peristiwa kematian serta azab api neraka.
5. tidak melakukan amalan soleh selepas bertaubat.
Justeru itu, hendaklah kita sentiasa bertaubat kepada Allah di atas segala dosa yang dilakukan kerana manusia di atas muka bumi ini tidak pernah sunyi dari melakukan dosa. Pesan Luqman al-Hakim ”Wahai anakku, janganlah kamu melambatkan taubat kerana mati itu datang secara mengejut”.
0 comments:
Post a Comment