Diriwayatkan ada seorang lelaki yang ingin mengadu perilaku isterinya kepada Amirul Mukminin Saiyidina ‘Umar al-Khattab r.a., lelaki itu terpegun kerana mendengar isteri ‘Umar r.a. sedang marah-marah. Tidak terdengar sama sekali jawapan ‘Umar r.a. Setelah mengetahui keadaan itu, dalam hatinya ia berkata: “Jika ‘Umar saja sebagai orang kuat, tegas bahkan… Amirul Mukminin, tidak bertindak sedemikian, maka apalah ertinya aku ini?”. Orang itu lalu bergegas ingin kembali ke rumahnya dan tak jadi mengadu akhlak isterinya kepada Khalifah ‘Umar.
Sebelum melangkah jauh, ‘Umar telah menyedari kedatangannya lalu memanggilnya dan bertanyakan tentang keperluan dia datang ke rumah beliau. Lelaki itu menjawab: “Wahai Amirul Mukminin, kedatanganku sebenarnya adalah untuk mengadu tentang perilaku isteriku yang buruk. Tetapi setelah aku mendengar tadi akan isterimu melakukan hal yang sama, aku berkata dalam hati: “Jika keadaan Amirul Mukminin pun sedemikian, maka apalah ertinya aku ini?”.
“Wahai sahabatku, aku menahan diri daripadanya kerana ada beberapa hak yang telah ia tunaikan yang seharusnya menjadi kewajipan ku. Ia telah memasak, membuat roti, mencuci pakaian, menyusukan anak aku. Di mana tugas itu sebenarnya bukanlah kewajipan baginya. Aku diam sahaja, kerana memang aku yang bersalah.” Jawab ‘Umar r.a.
“Wahai Amirul Mukminin, isteriku juga berbuat begitu.” Kata lelaki tersebut. “Bersabarlah wahai sahabatku, kerana yang demikian itu takkan berjalan lama.” Jawab ‘Umar.
Dari peristiwa di atas, jelas menunjukkan betapa Saiyidina ‘Umar r.a. amat menghargai jerih payah isterinya melaksanakan tugas-tugas rutin urusan rumahtangga. Lebih-lebih lagi apabila tugas itu bukannya merupakan kewajipan seorang isteri, tetapi hanyalah khidmat bakti yang dicurahkannya kepada suami dan anak-anak tercinta demi untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T. Menyedari pengorbanan isterinya dan kekurangan dirinya, maka amak bijaklah Saiyidina ‘Umar berdiam dan bersabar menghadapi kemarahan isterinya yang kepenatan. Nasihatnya supaya lelaki itu ‘bersabar kerana ia takkan lama’, menunjukkan ia memahami tabiat marah wanita, cepat nak marah tetapi hanya sekejap sahaja.
Dalam menghadapi masalah rumahtangga, kisah Saiyidina ‘Umar ini wajar sekali diteladani. Ingatlah kita akan pesanan Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya: “Berwasiatlah kebaikan kepada para wanita, kerana mereka itu diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok, padahal tulang rusuk yang bengkok adalah yang paling atas, yang jika kau luruskan dengan keras, maka ia akan patah. Tetapi jika tidak diluruskan ia akan terus bengkok. Oleh sebabitu, nasihatilah para wanita secara baik.” (HR Bukhari)
0 comments:
Post a Comment