Islam begitu menitikberatkan etika kerja cemerlang. Etika kerja cemerlang sebenarnya bukanlah milik atau hak seseorang individu atau mana-mana kelompok masyarakat, sebaliknya ia meliputi keseluruhan pegawai dan kakitangan kerajaan dalam sesebuah organisasi. Kesan daripada etika atau budaya kerja cemerlang ini akan menjadikan sesebuah organisasi itu maju dan berjaya, kerana mempunyai pegawai dan kakitangan yang berkeupayaan tinggi.
Budaya kerja cemerlang sebenarnya adalah hak setiap individu di dalam setiap organisasi, bermula dari peringkat atasan hinggalah di peringkat bawahan seperti buruh, tukang kebun, pelayan pejabat dan jawatan-jawatan seumpamanya. Apabila budaya kerja cemerlang ini dapat diserapkan dalam minda setiap pegawai dan kakitangan kerajaan itu, maka hasilnya akan tinggilah kualiti dan kuantiti kerja setiap individu itu dan seterusnya peringkatan produktiviti.
Islam sebagai agama yang syumul, begitu menggalakkan umatnya bekerja keras, dan berusaha meningkatkan taraf hidup agar mereka bebas daripada belenggu kemiskinan, kerana kemiskinan adalah musuh manusia.
Dengan kata lain, apabila budaya kerja cemerlang itu ada pada setiap individu, sudah pasti ia akan mendapat keuntungan, bukan sahaja selama hidup di dalam duani ini, tetapi juga di akhirat kelak. Ini kerana setiap yang kita kerjakan dapat memberi sumbangan bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga keluarga, bangsa dan seterusnya negara. Dan ini adalah dikira sebagai satu amalan ataupun ibadah yang dituntut oleh Islam.
Apa jua yang kita buat atau lakukan, ia hendaklah disertai dengan niat kerana Allah SWT sama juga seperti kita menunaikan solat fardu lima waktu sehari semalam. Tanpa niat yang baik, sudah pasti amalan kita tidak akan diterima. Demikian juga dalam mencari kerja atau mencari rezeki, tentu ada matlamat dan disertai dengan niatnya sekali.
Tujuan kita bekerja sebenarnya adalah untuk menyara diri sendiri, keluarga dam seterusnya memberikan sumbangan bakti kepada agama, bangsa dan negara. Justeru, setiap pekerjaan yang kita lakukan, termasuk makan gaji sama ada dengan pihak kerajaan ataupun swasta hendaklah seimbang.
Jika kita mendapat gaji penuh, maka waktu bekerja pula hendaklah cukup atau menepati waktunya kerana jika kita bekerja sambil lewa atau sering ponteng daripada menjalankan tugas dan kewajipan, sudah pasti ia akan ditanya Allah di akhirat nanti.
sumber: Al Islam - Mei 2008 oleh: Wan Marzuki Wan Ramli
1 comments:
dpt klik HP..
Post a Comment