Tanpa disedari, waktu berjalan pantas. Hari mula suram kerana petang semakin tua. Mereka memutuskan untuk bermalam di situ sebelum meneruskan pengembaraan keesokan hari.
Sewaktu berehat di situ, tiba-tiba mereka terdengar bunyi binatang menjerit-jerit. Semua ahli rombongan tertanya-tanya dari mana datangnya bunyi itu. "Bunyi apakah itu?" tanya seorang daripada mereka. Semuanya menggelengkan kepala.
Tiba-tiba seorang lelaki bersuara: "Mahukah kalian aku ceritakan asal-usul bunyi itu?"
Mereka mengangguk kepala. Bunyi haiwan itu memang mengganggu dan mengundang rasa ingin tahu yang tinggi. "Suara itu sebenarnya datangnya dari sebuah kubur tidak jauh dari sini. Arwah itu mempunyai pertalian persaudaraan dengan aku," cerita lelaki berkenaan.
Semua ahli rombongan mendengar dengan khusyuk. "Ketika hidupnya dulu, lelaki itu suka membantah cakap ibunya. Ia berpendapat segala yang dilakukannya adalah betul, manakala nasihat ibunya tidak pernah diendahkan.
"Pada suatu hari kerana tidak tahan dengan leteran ibunya, dia membalas kata-kata si ibu dengan suara himar (keldai). Dia berkata demikian tanpa menyedari si ibu itulah yang bersusah payah mengadung dan melahirkannya. Si ibu itulah yang membesarkannya dengan penuh kesulitan dan keperitan tanpa mempedulikan diri sendiri semata-mata kerana kasih dan sayang kepadanya.
"Kata-kata itu sangat melukakan hati si ibu. Dengan kekecewaan, si ibu yang terguris perasaaannya berdoa kepada Allah semoga anaknya dijadikan himar. Akhirnya selepas meninggal dunia, suara seperti itulah yang selalu kedengaran dari kubur anak derhaka itu," cerita lelaki berkenaan.
Semua ahli rombongan mendengar dan mengeluh keinsafan. Mereka lalu beristighfar dan berdoa kepada Allah semoga kejadian itu dapat diteladani. Sesungguhnya doa seorang ibu sangat mustajab.
0 comments:
Post a Comment