Ramadan adalah bulan istimewa berbanding bulan-bulan lain. Pada bulan itu diturunkan al-Quran, terdapat lailatulqadar, digandakan amalan, syaitan-syaitan dirantai dan pelbagai keistimewaan lain yang tidak terdapat pada bulan-bulan lain.
Antara amalanpaling utama yang patut dilakukan oleh setiap muslim di bulan Ramadan yang diberkati ini ialah mengkhatamkan al-Quran. Tsabit perbuatan nabi SAW mengkhatamkan al-Quran sebanyak dua kali bersama Jibril a.s pada tahun baginda diwafatkan.
Ini bermakna, sunnah membaca al-Quran dan mengkhatamnya sambil menghayati makna ayat bukan sekadar membaca sahaja. Ini kerana, tujuan membaca al-Quran akan hilang tanpa menghayati isinya.
Menurut Ibrahim al- Nakha'i, al-Aswad mengkhatam al-Quran dua malam sekali pada bulan Ramadan.
Qatadah pula mengkhatam al-Quran setiap minggu. Pada bulan Ramadan, dia mengkhatam al-Quran sebanyak tiga kali. Apabila tiba sepuluh hari terakhir Ramadan, dia akan mengkhatam pada setiap malam.
Mujahid pula mengkhatam al-Quran setiap malam pada bulan Ramadan.
Menurut Mujahid, Ali bin al-Azdiy mengkhatam al-Quran setiap malam pada bulan Ramadan.
Menurut al-Rabi' bin Sulaiman, Imam Syafie mengkhatam al-Quran sebanyak 60 kali pada bulan Ramadan.