
 
Sidang Jumaat rahimakumullaah,
 
Di dalam sebuah rumah di Madinah, ‘Umar al-Khattab radhiyallaahu  ‘anhu duduk bersama dengan sekumpulan sahabat. Beliau berkata kepada  mereka, “nyatakan harapan kamu!” Salah seorang daripada mereka berkata,  “impianku adalah untuk memiliki emas yang dapat memenuhi rumah ini, agar  aku dapat membelanjakannya di jalan jihad.”
 
Kemudian ‘Umar berkata lagi, “nyatakan harapan kamu!” Seorang lagi  sahabat berkata, “impianku adalah agar rumah ini penuh dengan permata  dan mutiara agar semuanya dapat kubelanjakan untuk jihad dan kebajikan  fi sabilillah.”
 
‘Umar berkata lagi buat kali yang ketiga, “nyatakan harapan kamu!”  Lalu sahabat-sahabat yang ada berkata, “kami sudah tidak tahu apa yang  patut diperkatakan wahai Amirul Mu’minin.”
 
Lalu ‘Umar berkata, “harapanku ialah agar rumah ini penuh dengan  lelaki-lelaki seperti Abu ‘Ubaydah ibn al-Jarrah, Muaz ibn Jabal dan  Salim budak suruhan Abu Huzaifah, agar mereka semua dapat digunakan bagi  meninggikan kalimah Allah!”
 
 
Benar.
 
Semoga Allah mencucurkan redha dan rahmat-Nya kepada ‘Umar. Beliau  sesungguhnya tahu apakah sebenarnya tunggak sebuah tamadun, bagaimana  misi yang besar boleh Berjaya dan bagaimanakah ummah yang mati boleh  dibangkitkan semula.
 
Walaupun sebuah negara dengan wawasannya memerlukan sumber untuk  berjaya, mereka terlebih dahulu memerlukan manusia yang merancang dan  menguruskan sumber-sumber itu. Malah di antara segala keperluan sebuah  negara, keperluan tertinggi ialah pada lelaki-lelaki sejati, tunggak  ummah berdiri.
 
Sidang Jamaah yang dirahmati Allah,
 
Sesungguhnya lelaki-lelaki tulen itu amat sukar untuk dicari,  sebagaimana sukarnya mencari intan dan permata. Kerana itu, Rasulullah  sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda:
 

 
“Manusia adalah seperti unta, daripada seratus unta hanya seekor sahaja daripadanya yang dapat digunakan dalam perjalanan jauh.” [Hadith riwayat al-Bukhari]
 
Sejarah membuktikannya.
 
Catatan-catatan hebat di sepanjang sejarah itu berlaku bukan ketika  umat bertemu permata berharga yang tidak pernah ditemui sebelumnya.  Tetapi umat akan mencapai kegemilangan seiringian dengan kemunculan  manusia-manusia hebat seperti Salahuddin al-Ayyubi dan Muhammad al-Fatih  pembebas Constantinople.
 
Impian ‘Umar al-Khattab itu adalah sebenar-benar impian yang juga diimpikan oleh lelaki tulen yang hebat sepertinya.
 
Sidang Jamaah rahimakumullaah,
 
Lelaki tulen yang bagaimanakah yang kita impikan?
 
Apakah yang bermisai lintang atau muka dihias jambang?
 
Pelanggan tongkat ali atau penagih kopi keras malam dan siang?
 
Jika itulah ukuran ketulenan seorang lelaki, kita sudah memiliki cukup ramai  lelaki yang sedemikian itu.
 
Sesungguhnya kehebatan seorang lelaki, tidaklah ditentukan oleh usia.  Di sana terdapat ramai sahaja lelaki yang berusia 60 tahun tetapi  memiliki jiwa dan pemikiran berusia 6 tahun. Mereka ini masih tenggelam  dalam keseronokan dan hal-hal yang tidak bermakna dalam hidup ini.  Sebagaimana mereka begitu mudah dirangsang keseronokan, begitu jugalah  mereka ini begitu mudah dikalahkan oleh ujian. Sedikit cubaan hidup  menumbangkan kekuatan dirinya.
 
Mereka ini tidak lebih daripada sekumpulan kanak-kanak yang terperangkap di dalam tubuh manusia dewsa.
 
Sedangkan di satu sudut yang lain, kita bertemu dengan orang muda  yang kata-katanya, tingkah lakunya dan pemikirannya menyerlahkan  kematangan dan kejantanan hakiki.
 
Di dalam satu peristiwa, ‘Umar al-Khattab radhiyallaahu ‘anhu telah  lalu berdekatan dengan sekumpulan kanak-kanak lelaki yang sedang  bermain. Mereka bertempiaran lari semasa melihat kelibat ‘Umar kecuali  seorang iaitu ‘Abdullah Ibn al-Zubayr radhiyallaahu ‘anhu. Lalu ‘Umar  bertanya kepadanya, “mengapakah kamu tidak lari bersama kawan-kawanmu?”  Beliau berkata, “Wahai Amir al-Mu’minin, aku tidak melakukan apa-apa  kesalahan untuk aku takut kepadamu dan jalan ini juga tidak sempit.  Ruang yang ada cukup untuk engkau lalu!”
 
Begitu juga di dalam suatu peristiwa, seorang anak remaja masuk ke  istana mengadap salah seorang Khalifah Bani Umayyah, untuk bercakap  mewakili kaum kabilahnya. Khalifah berkata, “carikan lelaki yang lebih  dewasa untuk mewakili kaummu!” Budak lelaki itu berkata, “wahai Amir  al-Mu’minin, seandainya kepimpinan ditentukan oleh faktor usia, maka di  sana ada lebih ramai orang lain yang layak menjadi Khalifah selain  engkau.”
 
Ini adalah sebahagian daripada catatan sejarah yang memaparkan  tentang kualiti jati diri dan kejantanan sebenar yang ditonjolkan oleh  manusia yang hebat biar pun pada usia yang masih muda.
 
Sesungguhnya ketokohan seseorang itu tidak pernah ditentukan semata-mata oleh tubuh yang besar dan sasa.
 
Allah SWT mengungkapkan tentang perspektif orang-orang Munafiq di dalam firman-Nya:
 

 
“Apabila engkau melihat mereka, engkau akan berasa takjub dengan penampilan tubuh badan mereka” [al-Munafiqun : 4]
 
Abdullah ibn Ubai ibn Salul, ketua kaum Munafiq ini mempunyai tubuh  badan yang hebat dan berpakaian dengan pakaian yang mengagumkan. Beliau  dan kaumnya berasa bahawa penampilan itu mampu menyembunyikan kejelekan  diri mereka yang sebenar.
 
Tetapi di dalam sambungan ayat ini, Allah memberikan ungkapan yang sangat tepat tentang hakikat mereka ini:
 

 
“Sedangkan mereka itu tidak ubah seperti kayu reput yang tersandar di dinding” (Al-Munaafiqoon: 4)
 
Ada manusia yang tersalah memandang,  menyangkakan bahawa kayu itulah yang menampung tegaknya dinding.  Hakikatnya kayu itu langsung tidak mempunyai sebarang makna. Tersandar  menunggu reput dimamah hari.
 
Di dalam sepotong hadith Sahih yang lain, Rasulullah sallallaahu  ‘alayhi wa sallam bersabda, “seorang lelaki berdosa yang bertubuh sasa  di dalam hidup, tidak mempunyai sebarang nilai pada timbangan Akhirat  walaupun pada kadar seekor nyamuk.”
 
Lalu Baginda membacakan firman Allah:
 

 
“ Mereka orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan  mereka dan akan pertemuan dengan-Nya; oleh itu gugurlah amal-amal  mereka; maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang nilai di Akhirat  nanti pada timbangannya” [al-Kahf : 105]
 
‘Abdullah ibn Mas’oud merupakan seorang lelaki yang ‘dhaif pada tubuh  badan. Pada suatu hari salah satu kakinya tersingkap hingga kelihatan  betapa kurusnya kaki itu. Sebahagian sahabat yang melihatnya ketawa.  Lalu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda, “Kamu  mentertawakan kakinya yang kurus, tetapi aku bersumpah demi Allah yang  jiwaku berada di tangan-Nya, kaki-kaki itu lebih berat di Akhirat nanti  berbanding Gunung Uhud!”
 
Sidang Jemaah sekalian,
 
Usaha untuk melahirkan manusia yang memiliki jati diri sejati di era  ini adalah suatu cabaran yang sangat besar. Setiap anak yang lahir,  mereka memiliki fitrah dan potensi yang sama. Akan tetapi ramai yang  terjebak ke kancah kesilapan apabila membiarkan kemewahan dan kesenangan  hidup merosakkan potensi ini hingga menjejaskan personaliti mereka.
 
Kembali kepada persoalan utama, apakah tindak tanduk kita yang  membunuh potensi itu, dan apakah tindak tanduk kita yang boleh  membangunkan potensi berkenaan?
 
Di mimbar Jumaat ini, kita rumuskan beberapa amalan yang terdapat di  dalam Islam, khusus untuk membina jati diri anak-anak kita agar mereka  membesar dengan nilai peribadi dan kematangan yang optimum:
 
Pertama: Gelaran
 
Di dalam Sunnah, banyak dipaparkan contoh bagaimana anak-anak  diberikan gelaran Abu oleh Rasulullah sallaahu ‘alayhi wa sallam. Biar  pun kanak-kanak ini masih kecil, tetapi gelaran Abu itu menyuntik nilai  kedewasaan pada anak-anak ini.
 
Anas bin Malik radhiyallaahu ‘anhu menceritakan bagaimana beliau  mempunyai seorang adik yang masih kecil, baru sahaja belajar menjamah  makanan pejal. Dia digelar Abu ‘Umair. Apabila adiknya ini ada bersama  Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam akan berkata, “Wahai Abu  ‘Umair, apa yang Nughair sedang lakukan?” (Nughair itu adalah seekor  burung kecil yang sering menjadi permainan Abu ‘Umair itu). [Hadith  riwayat al-Bukhari]
 
Di dalam amalan kita yang mungkin penggunaan gelaran Abu atau Ummu  itu agak janggal, terdapat amalan yang biasa dilakukan dengan motif yang  sama. Anak-anak diberikan gelaran Abang Long atau Yop, Uda, Alang dan  lain-lain, yang mana penggunaan gelaran ini kepada anak-anak membantu  mereka untuk cepat berasa dewasa dengan sifat keabangan dan  tanggungjawab.
 
Amalan seperti ini harus diteruskan dan hindarkanlah memberi gelaran  yang membantutkan rasa kedewasaan anak-anak ini seperti Anje, Bucu,  Boboi atau Adik kepada anak yang sudah sepatutnya dewasa dan menggalas  tanggungjawab kehidupan.
 
Kedua: Membawa Anak-anak ke Majlis Orang Dewasa
 
Amalan ini juga membantu mendedahkan anak-anak kepada alam dewasa dan  meningkatkan daya fikiran mereka. Ini merupakan amalan Sahabat-sahabat  Nabi. Mereka sering membawa anak untuk hadir bersama di dalam majlis  mereka bersama dengan Rasulullah  sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
 
Muawiyah ibn Qarrah meriwayatkan daripada bapanya bahawa Rasulullah  sallallaahu ‘alayhi wa sallam apabila duduk bersama para sahabat, setiap  seorang mereka akan membawa anak masing-masing yang mana anak-anak itu  akan berdiri di belakang  bapa mereka, lalu si bapa akan mendudukkan si  anak di hadapannya. [Hadith riwayat al-Nasaa’ie]
 
Di dalam kehidupan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan para  Sahabat, kehadiran anak-anak di dalam majlis mereka tidak pernah  dianggap sebagai gangguan, malah anak-anak itu dibawa oleh ibu bapa  dengan matlamat yang sama, mendedahkan anak dengan majlis orang dewasa  untuk mendewasakan mereka.
 
Ketiga: Mengiktiraf Anak-anak di Khalayak
 
Sahl ibn Sa’id menceritakan bagaimana Rasulullah sallallaahu ‘alayhi  wa sallam di dalam satu majlis, baginda dibawakan cawan untuk minum. Di  kanan baginda ada seorang kanak-kanak manakala yang dewasa berada di  sebelah kiri. Selepas Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam minum,  baginda bertanya kepada kanak-kanak itu, “apakah kamu benarkan aku beri  cawan ini kepada orang-orang dewasa sebelum aku berikannya kepada kamu?”  Kanak-kanak itu menjawab, “aku tidak akan mengalah dengan hakku untuk  minum sejurus selepasmu.” Lalu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam  memberikan cawan itu kepadanya. [Hadith riwayat al-Bukhari]
 
Kita sebagai ibu bapa dan orang yang dewasa harus menggalakkan  perbuatan-perbuatan seperti ini, melayan anak-anak ini sesekali sebagai  manusia dewasa untuk menimbulkan rasa tinggi harga diri pada diri  mereka.
 
Di dalam sebuah hadith, Anas bin Malik radhiyallaahu ‘anhu  menceritakan bagaimana Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam melalui  sekumpulan kanak-kanak lalu baginda memberi salam kepada mereka. [Hadith  riwayat Muslim]
 
Jangan sekali-kali memalukan anak-anak dengan memarahi atau menghina  mereka di hadapan orang ramai kerana ia akan membunuh keyakinan diri dan  menimbulkan dendam yang merosakkan emosi. Anak-anak, biar pun pada usia  yang kecil sudah mempunyai harga diri yang mesti dihargai, khususnya  oleh ibu bapa mereka sendiri.
 
Keempat: Mengajar Mereka Sukan Lasak
 
Abu Umamah ibn Sahl radhiyallaahu ‘anhu  meriwayatkan bahawa ‘Umar  al-Khattab radhiyallaahu ‘anhu menulis kepada Abu ‘Ubaidah al-Jarrah  radhiyallaahu ‘anhu mengarahkan kepadanya, “ajarkanlah anak-anak kamu  berenang” [riwayat Ahmad  di awal Musnad 'Umar al-Khattab]
 
Anak-anak perlu didedahkan dengan sukan-sukan yang boleh meningkatkan  semangat, kekuatan jiwa dan daya survival diri mereka. Malah dalam  kehidupan seharian, anak-anak yang lelaki harus diajar membuat kerja  yang kasar sesuai dengan kemampuan mereka seperti membasuh kereta,  berkebun, mengecat, bertukang dan lain-lain aktiviti di bawah matahari  untuk meningkatkan kelasakan mereka.
 
Kelima: Menghindarkan Anak-anak Lelaki Daripada Elemen Keperempuanan
 
Anak-anak lelaki wajar dihindarkan daripada aktiviti-aktiviti yang  lazimnya dekat dengan naluri dan jiwa perempuan. Memakaikan anak-anak  dengan pakaian yang berwarna atau bercorak seperti perempuan, memakai  sutera dan barang kemas, bergelumang dengan muzik yang lembik biar pun  ia nasyid dan hal-hal lain yang mengurangkan kelasakan anak-anak ini  hendaklah dihindarkan
 
Keenam: Memberikan Tugasan dan Berkongsi Rahsia Dengan Kanak-kanak
 
Anas bin Malik radhiyallaahu ‘anhu menceritakan, “Rasulullah  sallallaahu ‘alayhi wa sallam datang kepadaku ketika aku sedang bermain  dengan kanak-kanak yang lain, baginda memberi salam kepadaku dan  menghantar aku ke suatu tugasan pendek. Ia telah melewatkan aku pulang  kepada ibu. Apabila aku tiba di rumah, ibuku bertanya, “apakah yang  telah melewatkan kamu?” Aku menjawab, “Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa  sallam telah menghantar aku ke suatu tugasan.” Ibuku bertanya, “Tugasan  apakah itu?” Aku menjawab, “Ia adalah rahsia!” Ibuku berkata, “jangan  ceritakan rahsia Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada sesiapa”  [Hadith riwayat Muslim]
 
Ketujuh: Menghindarkan Anak-anak Daripada Tenggelam Dengan Kemewahan
 
Ibu bapa biar pun berada dan hidup mewah, mestilah mengenakan  beberapa kesusahan kepada anak-anak sebagai latihan untuk membentuk jati  diri mereka. Jika anak mahukan basikal, biar pun ibu bapa mampu  membelikannya, anak wajar disuruh mengumpul duit sendiri agar mereka  belajar menghargainya dan belajar berusaha.
 
‘Umar al-Khattab radhiyallaahu ‘anhu pernah berkata,
 

 
“Kuatkan semangat. Kesenangan dan kemewahan tidak kekal selama-lamanya”
 
Demikianlah sebahagian daripada pendekatan Islam dalam mendidik  anak-anak agar mereka membesar dengan jati diri dan nilai kejantanan  yang besar. Buku seperti Pendidikan Anak-anak di Dalam Islam  karangan Sheikh Abdullah Nasih ‘Ulwan dan yang seumpama dengannya harus  berada di tangan ibu bapa untuk mereka membesarkan anak-anak hebat,  sebagaimana Allah mengurniakan mereka di permulaan kehidupan dengan  kehebatan yang sama.
 
Sesungguhnya masa depan ummah ini bermula daripada apa yang berlaku di setiap rumah.
 
Berperananlah, seperti yang telah diperintahkan Allah.
 
