Seperti yang kita tahu, tanpa permintaan tidak akan wujud penawaran. Begitu juga dengan konsep berbelanja.
Perbelanjaan memotivasi masyarakat pengeluar untuk menghasilkan barangan dan perkhidmatan bagi memenuhi keperluan atau permintaan pengguna. Jika masyarakat pengguna berhenti berbelanja, tentu pertumbuhan ekonomi negara akan terbantut. Perkara sedemikian kerana ketiadaan kuasa beli yang menjadi pemangkin kepada sektor pengeluaran.
Islam tidak menghalang kita membelanjakan wang atau harta yang dimiliki. Ada nas al-Quran yang memerintahkan kita membelanjakan harta seperti firman Allah bermaksud: “Apakah bahayanya bagi mereka, kalau mereka beriman dengan Allah dan hari akhirat dan membelanjakan sebahagian rezeki yang sudah diberikan oleh Allah kepada mereka. (Surah an-Nisa, ayat 39)
Membelanjakan harta seperti ditunjukkan oleh lunas Islam juga adalah sifat utama orang yang beriman dalam surah al-Baqarah, ayat 3.
Apa yang menjadi masalah kepada masyarakat kini ialah sikap boros dan suka bermewah ketika berbelanja. Sikap ini seolah-olah menjadi amalan masyarakat. Jika tidak bermewah-mewah, seseorang dipandang rendah oleh masyarakat sekeliling, lebih-lebih lagi dalam suasana masyarakat sekarang yang lebih bersifat kebendaan.
Islam tidak menganjurkan umatnya untuk bermewah secara berlebihan. Kemewahan menyebabkan kita menjadi makhluk yang mengikut hawa nafsu serta hilang keluhuran budi pekerti.
Kisah Qarun yang asalnya miskin kemudian dilimpahi kemewahan adalah contoh terbaik bagaimana kekayaan boleh melalaikan manusia dan menyebabkan dia lupa asal usul kejadiannya yang sebenar.
Kemewahan yang melimpah ruah itu juga menjadi faktor utama kepada kehancuran Qarun. Begitu halnya dengan Firaun. Kekayaan dan kemewahan menyebabkan Firaun enggan mengakui keesaan Allah dan mendakwa dirinya adalah tuhan yang perlu disembah oleh orang Mesir.
Di samping bermewah, kita perlu menjauhi tabiat membazir. Kemewahan biasanya diiringi sifat berlebih-lebihan. Bagaimanapun, sikap suka ini tidak semestinya menggambarkan seseorang hidup dalam kemewahan.
Contoh mudah sikap berlebih-lebihan tetapi tidak menggambarkan kemewahan, malah boleh merugikan ialah tabiat merokok atau meminum arak atau mengambil dadah. Pembaziran di sini merujuk kepada perbelanjaan tanpa sebarang maslahat diperoleh, malah boleh memudaratkan orang itu.
Tabiat merokok, misalnya, bukan satu amalan baik. Ia seperti membakar wang dan boleh mendatangkan pelbagai komplikasi buruk kepada si perokok. Perkara sedemikian kerana asap rokok, bukan saja mengandungi tar dan nikotin, malah lebih 4,000 jenis bahan kimia beracun yang dikaitkan dengan pelbagai penyakit. Jika kita dilarang oleh Rasulullah saw untuk membazirkan air ketika mengambil wuduk walaupun dalam sungai yang mengalir, tentu pembaziran sumber yang bukan diperoleh secara percuma sesuatu yang dilarang oleh Islam.
Juga dikategorikan sebagai membazir jika kita berbelanja terhadap perkara yang tidak diperlukan. Mungkin keperluan itu ada, tetapi disebabkan promosi secara berlebihan daripada peniaga, kita terdorong untuk membelinya. Inilah juga punca timbulnya tabiat suka berhutang di kalangan masyarakat. Keseronokan berbelanja mendorong pengguna untuk berhutang. Dalam kepesatan industri perbankan sekarang, masyarakat ditawarkan dengan pelbagai jenis instrumen kemudahan pembiayaan hutang peribadi seperti penggunaan kad kredit.
Justeru, sebagai pengguna, kita perlu berbelanja mengikut kemampuan bukan perasaan. Keadaan itu disebabkan hutang hanya meresahkan jiwa dan melahirkan pelbagai sifat keji lain.
Rasulullah pernah bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim bermaksud: “Sesungguhnya, apabila seseorang itu berhutang, maka dia akan berbicara, lalu berbohong atau berjanji, lalu mengingkari janjinya.”
Hutang juga boleh menafikan seseorang daripada masuk syurga kerana Imam Muslim ada meriwayatkan satu hadis bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Diampunkan semua dosa orang mati syahid kecuali hutang.”
Dalam Islam sebarang perbelanjaan perlu ditumpukan kepada dua objektif utama iaitu berbelanja di jalan Allah (al-infaq fi sabilillah) seperti mengeluarkan perbelanjaan untuk zakat. Kedua, perbelanjaan untuk diri sendiri dan keluarga seperti perbelanjaan penyediaan makan, minum, tempat tinggal, pendidikan dan sebagainya.
Sebaik-baik corak perbelanjaan ialah bersederhana iaitu tidak terlalu bermewah dan tidak terlalu kedekut atau bakhil. Inilah yang disarankan oleh al-Quran menerusi firman Allah bermaksud: “Dan orang yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak pula kikir, dan dia berada di tengah-tengah antara yang demikian.” (Surah al-Furqan)
Di samping bersederhana ketika berbelanja, pengguna perlu memastikan barangan atau perkhidmatan yang dibeli adalah barang keperluan yang bersesuaian dengan syariah Islam. Mutu barangan perlu diambil kira dalam proses pembelian. Perkara itu bagi memastikan setiap sen yang kita belanjakan mendapat pulangan setimpal dengan apa yang dibayar.