Hari Raya
Erti hari raya dan bila disyariatkan dalam Islam?
Hari raya adalah hari kebesaran, kegembiraan, kemuliaan dan sebagainya. Bagi setiap bangsa, agama dan kepercayaan di dunia ini, masing-masing mempunyai hari-hari kebesaran yang tersendiri. Umat Islam mempunyai dua hari kebesaran yang dikenali sebagai Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Korban yang disyariatkan dalam Islam pada tahun pertama Hijrah. Hadis berikut menerangkan berkenaan hari raya umat Islam:
“Anas melaporkan, Nabi Muhammad SAW datang ke Madinah, sedangkan orang Madinah masa itu merayakan dua hari kebesaran dan mereka bersuka ria pada kedua-dua hari itu, lantas beliau bertanya, ’Apakah dua hari itu?’ Jawab mereka, ‘Kami bermain dengan bersuka ria sejak zaman Jahiliah lagi.’ Lalu Nabi Muhammad SAW berkata, ‘Sesungguhnya Allah menukarkan untuk kamu dengan dua hari yang lebih baik daripada keduanya itu iaitu Hari Raya Korban dan Hari Raya Fitrah.’”
Tuntutan Islam pada hari raya
Terdapat beberapa tuntutan dalam Islam supaya dilakukan sebagai tanda syukur kepada Allah. Pada Hari Raya Korban, kita dituntut melakukan pengorbanan dengan menyembelih binatang ternakan. Nabi Muhammad SAW menjelaskan dalam hadisnya yang bermaksud:
“Tidak ada amalan oleh anak Adam yang lebih dikasihi di sisi Allah pada Hari Raya Korban selain daripada mengalirkan darah (berkorban). Binatang yang disembelih itu akan datang pada hari Kiamat berserta dengan tanduk dan kukunya, dan darah yang mengalir di tempat itu diterima oleh Allah sebelum ia jatuh ke bumi. Maka bergembiralah kamu dengannya.”
Pada Hari Raya Fitrah pula, kita dituntut mengeluarkan zakat fitrah bagi membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh golongan fakit miskin supaya mereka dapat sama-sama merayakan hari kemenangan itu. Selain itu, kita juga dituntut supaya menghayati hari yang baik dan mulia itu dengan bertakbir, bertahmid, bersolat sunat hari raya dan lain-lain lagi.
Tuntutan bertakbir dua hari raya
Pada Hari Raya Fitrah, kita dituntut bertakbir sebagai takbir mursal semata-mata bermula daripada jatuh matahari malam raya hingga solat sunat Hari Raya Fitrah dikerjakan. Bagi takbir pada Hari Raya Korban, selain daripada takbir mursal, ia juga mempunyai takbir muqayad iaitu takbir yang dibaca selepas solat sama ada solat fardu ataupun solat sunat, bermula daripada subuh hari Arafah hingga jatuh matahari hari akhir tasyriq.
Waktu dituntut bersolat dua hari raya
Waktu solat Hari Raya Fitrah adalah selepas terbit matahari pada 1 Syawal dan sunat dilewatkan sedikit lebih kurang antara pukul 8 hingga 9 pagi bagi memberi peluang kepada orang ramai menyelesaikan pembayaran zakat fitrah. Manakala solat Hari Raya Korban sunat dikerjakan awal sedikit daripada masa solat Hari Raya Fitrah. Ini bagi memberi peluang kepada kaum Muslimin melakukan penyembelihan korban lebih awal sebaik sahaja selesai mengerjakan solat Hari Raya Korban.