Islam mewajibkan kerja untuk tujuan mendapatkan mata pencarian hidup dan pendapatan secara langsung mendorong kepada kemajuan sosio ekonomi.
Islam mengambil perhatian yang bersungguh-sungguh terhadap kemajuan ummah kerana itu ia sangat menekankan kemajuan di peringkat masyarakat dengan menggalakkan berbagai kegiatan ekonomi sama ada di sektor pertanian, perusahaan dan perniagaan.
Dalam hadith-hadith Rasulullah s.a.w. sangat ketara dorongan ke arah kemajuan ekonomi di sektor tersebut sebagai contohnya:
1. Di bidang pertanian.
Hadith bermaksud: "Tiadalah seseorang mukmin itu menyamai akan semaian akan menanam tanaman lalu dimakan oleh burung atau manusia melainkan ianya adalah menjadi sedekah." (Riwayat Muslim).
2. Di bidang perusahaan.
Hadith bermaksud: "Sebaik-baik usaha ialah usaha seseorang pengusaha apabila ia bersifat jujur dan nasihat menasihati." (Riwayat Ahmad).
3. Di bidang perniagaan.
Rasulullah s.a.w. pernah meletakkan para peniaga kepada kedudukan yang sejajar dengan para nabi, orang-orang yang benar, para syuhada' dan orang-orang soleh dengan sabdanya yang bermaksud: "Peniaga yang jujur adalah bersama para nabi, orang-orang sadiqin, para syuhada' dan orang-orang soleh."
Baginda juga menyatakan bahawa sembilan persepuluh daripada rezeki itu adalah pada perniagaan. (Riwayat At-Tirmizi dan Hakim).