Rasulullah SAW telah menegaskan bahawa di dalam diri manusia ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah manusia tersebut. Sebaliknya jika jahat daging itu, maka jahat pulalah orang tersebut. Daging itu ialah hati.
Itulah peranan utama hati. Ia umpama raja di dalam kerajaan diri manusia. Jika raja baik, rakyat akan baik. Maka begitulah bila hati baik, secara automatik tangan, kaki, mulut, hidung dan lain-lain pancaindera akan melahirkan kebaikan.
Al-Quran memberikan informasi yang sangat banyak tentang hati ini. Tidak kurang daripada 188 kali informasi tentang hati ini diulang-ulang oleh Allah dalam al-Quran.
Justeru, usaha untuk melahirkan diri, keluarga, masyarakat, negara bahkan dunia yang lebih baik mestilah dimulakan dengan membersihkan hati manusia.