Kemerdekaan bererti kebebasan, kelepasan dan keleluasaan. Ini semua erti dalam kamus kehidupan dan apa yang pernah dirasai oleh orang-orang dahulu. Apa yang ingin kita bincangkan di sini ialah bagaimana untuk mendefinisikan kemerdekaan di mana zamannya adalah zaman yang sudah lama meninggalkan kesan seperti zaman penjajahan dahulu. Remaja dan anak-anak muda sudah tidak merasai segalanya tentang zaman penjajahan dahulu. Sehinggakan mereka tidak tahu hendak merasai erti kemerdekaan seperti yang dirasai oleh orang-orang sezaman dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman Al-Hajj.
Sebenarnya kemerdekaan menurut Islam adalah merdekanya seseorang hamba daripada suruhan dan larangan Allah. Kalau mereka tahu apa yang disuruh Allah dan tahu apa yang dilarang Allah, ini merupakan satu kemerdekaan yang begitu besar yang mesti diingat oleh semua orang. Ini bermakna diri mereka sudah tidak dijajah lagi daripada anasir-anasir yang boleh merosakkan kepercayaan dan kefahaman mereka mengenai suruhan dan larangan Allah terhadap mereka.
Merdeka dan bebaslah diri kita daripada perkara-perkara yang melalaikan, yang merosakkan, yang membuatkan seluruh alam marah terutama sekali Pencipta kita yakni Allah Taala Yang Maha Agung. Merdekalah diri kita dari perkara kejahatan yang sering kita lakukan tanpa disedari atau disengajakan. Sekiranya kita dapat membebaskan diri kita daripada belenggu-belenggu kehancuran itu yakni kehancuran di Akhirat maka baharulah kita berada di dalam sebuah zaman atau negara yang merdeka.
Kemerdekaan bukan sahaja negara kita sudah tidak dijajah lagi oleh bangsa asing tetapi kita juga sudah tidak lagi dijajah minda dan fikiran oleh mereka. Namun begitu, kalau dilihat kepada keadaan negara kita sekarang seolah-olah kita masih lagi dijajah oleh mereka tanpa kita sedari. Cuba lihat kepada anak-anak melayu kita yang Islam katakan, mereka memakai pakaian yang melambangkan kebanggaan barat tanpa segan silu. Ada yang nampak belakang pinggul seakan-akan pakaian itu tidak cukup kainnya. Namun mereka kata inilah trend yang patut dibanggakan.
Kalau beginilah sebuah negara yang dikatakan merdeka, maka Islam datang untuk memerdekakan mereka dengan sebenar-benar erti kemerdekaan. Marilah sama-sama kita merdekakan diri kita, jiwa kita, dengan keimanan yang jitu kepada Allah. Dengan sentiasa memerhatikan apa yang berlaku di sekeliling kita ini. Banyak sekali petunjuk-petunjuk dan hikmah-hikmah yang Allah turunkan kepada kita untuk kita mengambil i'tibar dan pengajaran. Janganlah kita menunggu-nunggu lagi bala-bala Allah turun ke atas kita. Cukuplah dengan apa yang telah dan sedang berlaku kepada kita.
Ini semua adalah untuk memberikan kesedaran kepada ummat Islam yang semakin lupa dan lalai dengan perintah Allah. Semakin jauh dengan Allah sehinggakan semakin ramai orang-orang jahil di sekeliling kita. Jangan nanti Allah turunkan bala yang lebih besar dan hebat daripada H1N1 baharulah kita hendak bertindak. Bertindaklah sekarang bersempena dengan tarikh kemerdekaan negara kita yang ke 52 ini pada jam 12 tengah malam setiap bulan Ogos pada setiap tahun.
Merdekakah kita? Merdekakah mereka? Merdekakah negara kita? Kemerdekaan adalah kebebasan. Kebebasan adalah kenikmatan. Kenikmatan hendaklah sama-sama dirasainya. Jangan hanya segelintir sahaja yang merasai kenikmatan itu. Kita pun mahu, anak kita pun hendak, bangsa kita pun inginkan. Ayuh wahai saudara-saudara semua marilah sama-sama kita mengecapi erti kemerdekaan yang sebenar-benarnya.
MERDEKA!!! MERDEKA!!!
0 comments:
Post a Comment