DARIPADA Abu Hurairah, katanya, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Orang mukmin yang kuat lebih baik kepada Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan tiap-tiap seorang ada kebaikannya (imannya); oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas; dan jika sekiranya engkau ditimpa sesuatu, maka janganlah engkau berkata: "Kalau aku lakukan anu anu, tentulah akan terjadi anu anu", tetapi katalah: "Allah telah takdirkan dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Dia lakukan', kerana perkataan "kalau" itu membuka jalan kepada hasutan syaitan." (Hadis riwayat Muslim)
· Orang mukmin masing-masing ada kebaikannya iaitu imannya. Setengahnya kuat semangat keagamaannya, tinggi hikmahnya, luas dan jauh pemandangannya serta tabah dan cekal hatinya. Ada juga yang kuat berusaha untuk kebaikan agama, diri, umat dan tanah airnya. Sementara, setengahnya adalah sebaliknya.
· Orang mukmin yang bersifat terpuji itu lebih baik dan dikasihi oleh Allah.
Setiap mukmin hendaklah bersungguh-sungguh berusaha memperoleh perkara yang mendatangkan manfaat, sambil meminta pertolongan kepada Allah supaya dengan ihsan-Nya memberi taufik dan menjayakannya. Hal ini kerana manusia sebijak dan kuat mana pun berhajat kepada pertolongan dan pimpinan Tuhan.
· Setiap mukmin tidak patut bersikap segan dan malas bekerja. Mereka tidak sepatutnya hanya berangan-angan bahawa Tuhan akan menyampaikan maksudnya dengan alasan: Tuhan amat berkuasa, pada hal Tuhan telah tentukan bahawa sesuatu yang boleh diusahakan oleh manusia tidak akan berhasil, melainkan selepas diusahakan sebab atau jalan untuk mencapainya.
· Selepas seseorang itu bersungguh-sungguh mencari jalan untuk mencapai maksudnya serta berusaha dengan sedaya upayanya menurut jalan yang diketahuinya, tiba-tiba perkara yang diusahakan itu tidak juga berhasil. Maka, pada saat itu, tidak ada jalan baginya untuk menghadapi qada takdir yang berlaku itu, melainkan menghadapinya dengan perasaan tenang tenteram. Mereka hendaklah berkata seperti yang diajar oleh Rasulullah dalam hadis di atas yang maksudnya: "Perkara ini telah ditakdirkan Tuhan dan apa yang telah ditentukan oleh kehendak kebijaksanaan-Nya tetap berlaku", sambil berusaha lagi mencari jalan untuk menjayakan maksudnya.
· Perkataan "kalau" jangan disebut oleh seseorang yang telah gagal daripada mencapai maksudnya atau mengalami kerugian. Hal ini kerana perkataan "kalau" seperti diterangkan oleh Rasulullah akan membuka jalan kepada hasutan syaitan. Ia akan menjadikan orang itu resah gelisah, berduka dan tidak reda kepada qada takdir Tuhan Yang Maha Bijaksana. – Petikan Mastika Hadis terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.