PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kassim (gambar) disahkan meninggal dunia di hospital Temerloh, Pahang kira-kira pukul 6.30 petang tadi.
Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krau, Rodzuan Zaaba berkata, Allahyarham jatuh di bilik air di kediamannya di pekan Kerdau sebelum dikejarkan ke hospital sejurus selepas itu.
"Keadaan kesihatan Allahyarham sebelum ini memang kurang baik, berjalan pun perlu dipimpin.
"Saya dimaklumkan bahawa Allahyarham jatuh dalam bilik air dirumahnya," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Sabtu.
Sebelum ini Allahyarham beberapa kali dilaporkan kritikal dan pernah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).
Kematian Allahyarham Zaharuddin menyaksikan negara bakal menghadapi pilihan raya kecil ke-16 selepas pilihan raya umum 2008.
Terbaru ADUN Merlimau, Melaka, Allahyarham Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan meninggal dunia pada 20 Januari lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil kawasan berkenaan pada 26 Februari ini manakala pengundian akan diadakan pada 6 Mac depan.
Rodzuan yang ketika ini berada di bilik mayat Hospital Temerloh berkata, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan untuk menziarahi Allahyarham di Hospital Temerloh.
"InsyaAllah, Tuanku Sultan Pahang akan tiba menziarah Allahyarham sebentar lagi," katanya.
Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kerdau pagi Ahad.
0 comments:
Post a Comment