KAHERAH: Presiden Mesir, Hosni Mubarak akhirnya meletak jawatan, selepas 18 hari tunjuk perasaan besar-besaran menentang pemerintahan 30 tahunnya.
Sehubungan itu, Naib Presiden, Omar Suleiman yang mengumumkan perletakan jawatan itu menerusi televisyen, menamakan sebuah majlis tentera untuk mentadbir sementara negara berkenaan.
“Presiden mengambil keputusan untuk menyerahkan kedudukannya,” kata Omar.
Seorang pegawai parti pemerintah sebelum ini berkata Hosni dan keluarganya meninggalkan Kaherah, berlepas ke kawasan peranginan di Laut Mati di Sharm el-Sheikh, tempat dia mempunyai istana.
Tentera Mesir sebelum itu berusaha mengurangkan kemarahan rakyat dengan memberi jaminan, pembaharuan yang dijanjikan akan dilaksanakan. Tetapi, beratus ribu penunjuk perasaan menjadi semakin berang, memenuhi dataran di sekurang-kurangnya tiga bandar besar negara itu semalam dan berarak menuju istana presiden dan bangunan televisyen milik negara, simbol penting rejim Hosni.
“Apa yang kamu tunggu lagi,” jerit seorang lelaki ke arah seorang pegawai tentera di luar istana Hosni di Kaherah. Lebih 5,000 orang menunjuk perasaan di depan istana itu yang dilindungi empat kereta kebal.
Tunjuk perasaan di depan istana itu adalah yang pertama dilakukan selepas tiga minggu tertumpu di Dataran Tahrir.
Ketika khutbah Jumaat di dataran berkenaan, penunjuk perasaan melaungkan slogan ‘Pergi! Pergi!’ setiap kali khatib menyebut nama Hosni.
Dalam pada itu, lebih 10,000 orang merempuh sekatan tentera di depan bangunan Radio Dan Televisyen Mesir.
Sambil memukul gendang, mereka menjerit ‘Pergi! Pergi!’ Tentera dalam kereta kebal depan bangunan itu tidak berbuat apa-apa. - AFP
0 comments:
Post a Comment