Oleh; Rumaizi Ahmad
Disiarkan untuk Buletin Masjid Jamik al-Solehin, Kanchong Darat.
Solat adalah tiang agama dan ia merupakan salah satu rukun Islam yang mesti ditunaikan oleh setiap orang yang mengaku muslim lelaki atau perempuan. Majoriti ulama menghukumkan fasiq sesiapa yang tidak melakukan solat fardhu asalkan masih menganggapnya wajib dan kafir bagi yang ingkar akan kewajipannya.
Sebahagian ulama yang lain menganggap munafik bahkan kafir orang yang tidak mengerjakan solat samada malas atau ingkar akan kewajipannya. Kesemua pendapat ini disandarkan kepada hadis-hadis menurut penilaian masing-masing. Apa yang penting, meninggalkan solat adalah satu kesalahan besar.
Demikian halnya solat Jumaat, ia merupakan fardhu kepada semua lelaki muslim merdeka yang beraqal, cukup umur (baligh), pemastautin dan tidak ada uzur syar’ie seperti sakit yang berat. Kalau mengaku sakit tetapi mampu melakukan kerja ketika orang sibuk ke masjid, ia bukanlah uzur syar’ie.
Kewajipan solat Jumaat jelas dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran;
“ Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid ) untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah urusan jual beli ( dan urusan lain ).” – al-Jum’ah:9
Demikian hadis riwayat Abu Daud yang menyatakan bahawa solat Jumaat adalah tanggungjawab yang wajib kepada semua orang Islam, manakala dalam riwayat Muslim dan lainnya menyifatkan mereka meninggalkan solat Jumaat akan dimeteri hatinya oleh Allah dan menjadi orang yang lalai.
Selain itu, kefarduan solat Jumaat juga merupakan ittifaq ( kesepakatan ) para ulama dan diketahui secara dharuri oleh umat Islam bahawa ia adalah fardhu ain yang tidak boleh dimungkiri. Justeru itulah, meninggalkan solat Jumaat merupakan salah satu kesalahan berat dan dosa sedangkan dosa itu jika tidak diampunkan akan menempati neraka layaknya.
Ibnu Abbas r.a. menyatakan, apabila azan (Jumaat ) telah diserukan, maka haram hukumnya segala urusan jual-beli, segala jenis aqad seperti upah-mengupah, serah-terima kekuasaan, sewa-menyewa dan lain-lain lagi. ‘Atha’ mengatakan haram segala jenis pekerjaan setelah diserukan azan Jumaat.
Haram ialah segala pekerjaan yang jika dilakukan akan mendapat dosa dan siksa dari Allah manakala meninggalkannya akan mendapat pahala daripada Allah.
Ancaman meninggalkan solat Jumaat
Diriwayatkan daripada Rasulallah SAW dari Ibnu Hibban bahawa orang yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa uzur syar’ie dihukumkan sebagai munafik ( wal-‘iyazubillah ), sedangkan munafik itu lebih dahsyat siksanya daripada orang kafir.
“ Sesungguhnya orang-orang munafik ditingkat paling bawah di dalam neraka, sedangkan engkau tidak mendapati penolong bagi mereka “ – al-Nisa : 145
Demikian riwayat oleh Abu Ya’la yang menyatakan mereka yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut adalah melemparkan agamanya ke belakangnya ( membelakangi agama ). Membelakangi agama bukan sifat orang muslim dan mukmin.
Ancaman Undang-undang
Menurut enakmen no.9 tahun 1995, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, Seksyen 20 ; Mana-mana orang lelaki, yang baligh, yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid dalam kariahnya tiga kali berturut-turut tanpa uzur syar’ie atau tanpa sebab yang munasabah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Walau apa pun jumlah hukumannya, fikirkanlah hukuman yang disediakan oleh Allah SWT yang sudah tentu lebih dahsyat daripada sekadar membayar wang ringgit atau duduk berehat dalam penjara.
Uzur Syar’ie
Uzur syar’ie yang membolehkan kita meninggalkan solat Jumaat adalah sesuatu yang bukan boleh dibuat-buat, berpura-pura atau menipu diri sendiri dan Allah SWT. Alangkah besarnya dosa menipu Allah SWT.
1. Bencana alam dan fenomena cuaca – seperti hujan lebat yang menimbulkan kesukaran untuk keluar rumah (kecuali mempunyai kenderaan yang menghilangkan kesukaran tersebut ) (HR Bukhari dan Muslim ). Angin ribut dan taufan.Kedinginan yang amat sangat ( di Malaysia belum berlaku) (HR Bukhari dan Muslim).Banjir, tsunami, gempa bumi dan lain-lain bentuk bencana.
2. Berlakunya ketakutan kerana huru-hara, peperangan, kacau-bilau, keganasan, ancaman orang jahat, kemelaratan umum dan sebagainya yang merupakan ancaman terhadap kelangsungan hidup.
3. Keluar bermusafir lebih-lebih lagi sebelum subuh pada hari Jumaat yang mengharuskannya untuk solat qasar dan jamak.
4. Terlupa kerana tertidur akibat keletihan yang amat sangat ataupun mabuk, pitam, pengsan dan seumpamanya. ( Takkan tiap-tiap minggu lupa ? Kerana itu fikah mensyaratkan tiga kali berturut-turut)
5. Sakit yang menghalangnya daripada berangkat ke masjid atau ahli keluarga sakit yang tidak ada orang lain menjaga selain dirinya.
6. Sebab-sebab dharurah yang lain yang menghalangnya dari mengerjakan solat Jumaat dan dalam perbicaraan, Hakim akan menentukan dharurah tersebut.
Kita bolehlah fikirkan sendiri berdasarkan iman dan akal yang waras, uzur manakah yang boleh menjadi rukhsah (keringanan) kepada kita, atau kita memang sengaja mengabaikan perintah agama yang satu ini.
Sukar sangatkah menghadiri solat Jumaat di masjid yang tidak mengenakan harga tiket untuk memasukinya. Lupakah kita kepada nikmat yang Allah berikan kepada kita sehingga kita begitu berat dan culas untuk mengerjakan solat Jumaat ? Tepuklah dada, tanyalah iman kita.
WalLahu A’lam.
0 comments:
Post a Comment