Pendahuluan:
Tidak ada siapa yang akan mempertikaikan jika ada
yang mengatakan bahawa setiap orang mahu bekerja atau mendapatkan
pekerjaan untuk menjamin kehidupannya. Kalau kita ambil contoh dari
golongan belia, baik yang berpelajaran menengath atau tinggi sama ada
mereka yang gagal dan tidak pernah bersekolah langsung, semuanya
bercita-cita untuk mendapat pekerjaan atau boleh bekerja bagi menampung
keperluan hidupnya sendiri atau keluarganya.
Adakah bekerja itu boleh dipandang sebagai suatu
kewajipan atau tanggungjawab yang mempunyai tujuan yang lebih luas?
Tetapi apakah yang bekerja itu hanya sekadar untuk menampung dan
menjamin kehidupan di dunia ini. Soalan ini perlulah kita jawab dengan
memahami konsep kerja menurut pandangan Islam.
Pengertian Kerja:
Kerja atau amal menurut Islam dapat diertikan
dengan makna yang umum dan makna yang khusus. Amal dengan makna umum
ialah melakukan atau meninggalkan apa jua perbuatan yang disuruh atau
dilarang oleh agama yang meliputi perbuatan baik atau jahat. Perbuatan
baik dinamakan amal soleh dan perbuatan jahat dinamakan maksiat.
Adapun kerja atau amal dengan maknanya yang khusus
iaitu melakukan pekerjaan atau usaha yang menjadi salah satu unsur
terpenting dan titik tolak bagi proses kegiatan ekonomi seluruhnya.
Kerja dalam makna yang khusus menurut Islam terbahagi kepada:
1. Kerja yang bercorak jasmani (fizikal)
2. Kerja yang bercorak aqli/fikiran (mental)
Dari keterangan hadis-hadis Rasulullah (s.a.w),
terdapat kesimpulan bahawa konsep kerja menurut Islam adalah meliputi
segala bidang ekonomi yang dibolehkan oleh syarak sebagai balasan kepada
upah atau bayaran, sama ada kerja itu bercorak jasmani (flzikal)
seperti kerja buruh, pertanian, pertukangan tangan dan sebagainya atau
kerja bercorak aqli (mental) seperti jawatan pegawai, baik yang berupa
perguruan, iktisas atau jawatan perkeranian dan teknikal dengan kerajaan
atau swasta. Antara hadis-hadis tersebut ialah:
"Tidaklah ada makanan seseorang itu yang lebih baik daripada apa yang dimakannya dari hasil usaha tangannya sendiri". (Riwayat al-Bukhari)
Selain daripada itu para sahabat menggunakan
perkataan pekerja (amil) untuk jawatan orang yang ditugaskan menjadi
petugas pemerintahan umpamanva kadi, gabenor dan sebagainya. Oleh yang
demikian segala kerja dan usaha yang dibolehkan oleh syarak baik yang
bersifat kebendaan atau abstrak atau gabungan dan kedua-duanya adalah
dianggap oleh Islam sebaga "kerja". Segala kerja yang bermanfaat Islam
dan yang sekecil-kecilnya seperti menyapu longkang hingga kepada yang
sebesar-besarnya seperti menjadi menteri atau kepala negara adalah
merupakan kerja atau amal sekalipun ianya berlainan peringkat dan
kelayakan yang diperlukan untuknya. Berdasarkan konsep ini maka menurut
pandangan Islam, masyarakat seluruhnya dan semua peringkat adalah
pekerja.
Oleh yang demikian konsep kerja seperti ini membawa implikasi sosial yang penting, antaranya:
1. Bahawa asal manusia adalah sama sebagai manusia
dan pekerja yang mempunyai kemuliaan dan kehormatan sekalipun perbezaan
itu tidaklah merupakan keistimewaan satu pihak terhadap yang lain.
2. Para pekerja bukanlah hanya satu kelompok dari
masyarakat, bahkan mereka adalah semua anggota masyarakat. Jadi mengikut
konsep Islam bahawa masyarakat itu adalah tersusun atau terbentuk dari
kerjasama antara sesama para pekerja di dalamnya, bukan terdiri dari
kumpulan para pekerja dan para majikan seperti yang difahami menurut
sistem ekonomi komunis atau kapitalis.
Kerja Menurut Tuntutan Islam:
Islam menjadikan kerja sebagai tuntutan fardu
atas semua umatnya selaras dengan dasar persamaan yang diisytiharkan
oleh Islam bagi menghapuskan sistem yang membeza-bezakan manusia
mengikut darjat atau kasta dan warna kulit. Firman Allah yang bermaksud:
"Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami
menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu
berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supava kamu berkenal-kenalan.
Sesungguhnya orang yang termulia di antara kamu di sisi Allah ialah
orang yang taqwa." (al-Hujurat: 13)
Dengan menggunakan segala unsur-unsur perbezaan
darjat atau warna kulit itu maka jadilah kerja menurut Islam suatu
tuntutan kewajipan yang menyeluruh atas setiap orang yang mampu bekerja
untuk mencapai kebahagiaan individu dan juga masyarakat. Jadi tidaklah
kerja itu hanya khusus untuk golongan hamba abdi seperti sebelumnya.
Firman Allah bermaksud:
"Dan katakanlah wahai Muhammad, beramallah
kamu akan segala apa yang diperintahkan, maka Allah dan Rasul-Nya serta
orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan." (al-Taubah: 105)
Islam juga meningkatkan tuntutan kerja itu hingga ke
tahap kewajipan agama. Oleh itu tahap iman sentiasa dikaitkan oleh
al-Quran dengan amal soleh atau perbuatan baik. Ini bererti Islam itu
adalah akidah yang mesti diamalkan dan amalan yang mesti berakidah
secara tidak terpisah. Seperti firman Allah bermaksud:
"Demi masa, sesungguhnya sekalian manusia dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh". (al-Asr: 1-3)
Kerja Sebagai Sumber Nilai:
Islam menjadikan kerja sebagai sumber nilai insan dan ukuran yang tanggungjawab berbeza. Firman Allah bermaksud:
"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang itu melainkan balasan apa yang diusahakan". (al-Najm: 39)
Firman-Nya lagi bermaksud:
"Dan bagi tiap-tiap seseorang beberapa
darjat tingkatan balasan disebabkan amal yang mereka kerjakan dan
ingatlah Tuhan itu tidak lalai dari apa yang mereka lakukan". (al-An'am: 132)
Kerja sebagai sumber nilai manusia bererti manusia
itu sendiri menentukan nilai atau harga ke atas sesuatu perkara itu.
Sesuatu perkara itu pada zatnya tidak ada apa-apa nilai kecuali kerana
nisbahnya kepada apa yang dikerjakan oleh manusia bagi menghasil,
membuat, mengedar atau menggunakannya. Kerja juga merupakan sumber yang
objektif bagi penilai prestasi manusia berasaskan segi kelayakan. Oleh
yang demikian Islam menentukan ukuran dan syarat-syarat kelayakan dan
juga syarat-syarat kegiatan bagi menentukan suatu pekerjaan atau jawatan
itu supaya dapat dinilai prestasi kerja seseorang itu. Dengan cara ini,
Islam dapat menyingkirkan perasaan pilih kasih dalam menilai prestasi
seseorang sama ada segi sosial, ekonomi dan politik.
Kerja Sebagai Sumber Pencarian:
Islam mewajibkan setiap umatnya bekerja untuk
mencari rezeki dan pendapatan bagi menyara hidupnya. Islam memberi
berbagai-bagai kemudahan hidup dan jalan-jalan mendapatkan rezeki di
bumi Allah yang penuh dengan segala nikmat ini. Firman-Nya bermaksud:
"Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan
kamu (dan memberi kuasa) di bumi dan Kami jadikan untuk kamu padanya
(berbagai-bagai jalan) penghidupan." (al-A'raf: 168)
Dan firman-Nya lagi bermaksud:
"Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu
mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunnya, serta
makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah dan kepada-Nya jualah
dibangkitkan hidup semula." (al-Mulk: 15)
Islam memerintahkan umatnya mencari rezeki yang halal
kerana pekerjaan itu adalah bagi memelihara maruah dan kehormatan
manusia. Firman Allah bermaksud:
"Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di muka bumi yang halal lagi baik". (al-Baqarah: 168)
Sabda Nabi (s.a.w) bermaksud:
"Mencari kerja halal itu wajib atas setiap orang Islam."
Oleh yang demikian Islam mencela kerja
meminta-minta atau mengharapkan pertolongan orang lain kerana ianya
boleh merendahkan harga diri atau maruah. Dalam sebuah hadis Rasulullah
(s.a.w) bermaksud:
"Bahawa sesungguhnya seseorang kamu pergi
mengambil seutas tali kemudian mengikat seberkas kayu api lalu
menjualnya hingga dengan sebab itu ia dapat memelihara harga dirinya,
adalah lebih baik daripada ia pergi meminta-minta kepada orang sama ada
mereka rnemberinya atau menolaknya."
Kerja Sebagai Asas Kemajuan Umat:
Islam mewajibkan kerja untuk tujuan mendapatkan
mata pencarian hidup dan secara langsung mendorongkan kepada kemajuan
sosioekonomi. Islam mengambil perhatian yang bersungguh-sungguh terhadap
kemajuan umat kerana itu ia sangat menekankan kemajuan di peringkat
masyarakat dengan menggalakkan berbagai kegiatan ekonomi sama ada di
sekitar pertanian, perusahaan dan perniagaan. Dalam hadis Rasulullah
(s.a.w) sangat ketara dorongan ke arah kemajuan ekonomi di sektor
tersebut, sebagai contoh:
1. Di bidang Pertanian
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
"Tidaklah seseorang mukmin itu menyemai akan
semaian atau menanam tanaman lalu dimakan oleh burung atau manusia
melainkan ianya adalah menjadi sedekah".
2. Di bidang Perusahaan
Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
"Sebaik usaha ialah usaha seorang pengusaha apabila ia bersifat jujur dan nasihat- menasihati.
3. Di bidang Perniagaan
Rasulullah (s.a.w) pernah meletakkan para peniaga
yang jujur dan amanah kepada kedudukan yang sejajar dengan para wali,
orang-orang yang benar, para syuhada' dan orang-orang soleh dengan sabda
bermaksud:
"Peniaga yang jujur adalah bersama para wali, orang-orang siddiqin, para syuhada' dan orang-orang soleh".
Baginda juga menyatakan bahawa sembilan persepuluh daripada rezeki itu adalah pada perniagaan.
Islam Menolak Pengangguran:
Islam menuntut umatnya bekerja secara yang
disyariatkan atau dibenarkan menurut syarak bagi menjamin kebaikan
bersama dengan mengelakkan dari meminta-minta dan sebaliknya hendaklah
berdikari. Islam sentiasa memandang berat dan menyeru umatnya untuk
bekerja dan berusaha mencari rezeki melalui dua pendekatan berikut:
Islam melarang dan mencegah umatnya meminta-minta dan
menganggur. Banyak hadis Nabi (s.a.w) mengenai larangan berusaha cara
meminta. Baginda sering benar mengarahkan orang yang datang meminta,
supaya mereka bekerja umpamanya, suatu ketika seorang fakir datang
meminta-minta kepada baginda lalu baginda bertanya: "Adakah anda
memiliki sesuatu?" "Tidak", kata lelaki itu. Baginda bertanya lagi
dengan bersungguh-sungguh, lalu lelaki itu menjawab: "Saya ada sehelai
hamparan yang separuhnya kami jadikan alas duduk dan separuhnya lagi
kami buat selimut dan ada sebuah mangkuk yang kami gunakan untuk
minum".Maka baginda bersabda kepadanya: "Bawakan kedua-dua benda itu
kepada saya". Lalu dibawanya kedua-dua barang itu, kemudian Nabi
tunjukkan barang itu kepada orang yang berada di sisi baginda kalau ada
sesiapa yang hendak membelinya. Akhirnya baginda dapat menjualnya dengan
harga dua dirham dan diberikan wang tersebut kepada lelaki itu sambil
baginda berkata: "Belilah makanan untuk keluargamu dengan satu dirham
manakala satu dirham lagi belikanlah sebilah kapak". Kemudian Rasulullah
(s.a.w) meminta lelaki itu datang lagi, lalu lelaki itupun datang dan
baginda telah membubuhkan hulu kapak itu dan menyuruh lelaki itu pergi
mencari kayu api sambil baginda mengatakan kepada lelaki itu supaya
lelaki itu tidak akan berjumpa lagi dalam masa 15 hari. Lelaki itu pergi
dan kembali lagi selepas 15 hari sambil membawa datang 10 dirham, lalu
ia berkata: "Wahai Rasulullah, Allah telah memberkati saya pada kerja
yang tuan suruh saya itu." Maka baginda Rasulullah (s.a.w) bersabda:
"Itu adalah lebih baik daripada anda datang pada hari kiamat kelak
sedang pada muka anda bertanda kerana meminta-minta.
Berdasarkan kepada banyak hadis mengenai perkara ini,
para ulama membuat kesimpulan bahawa larangan meminta-minta itu
bukanlah sekadar perintah bersifat akhlak sahaja bahkan orang yang
menjadikan kerja meminta-minta itu sebagai "profesion", hendaklah
dikenakan hukuman yang berpatutan.
Kesimpulan:
Berdasarkan kepada keterangan ayat-ayat al-Quran
dan hadis Rasulullah (s.a.w) dengan huraian-huraian seperti yang
disebutkan dapatlah dibuat kesimpulan bahawa Islam sangat mengambil
berat terhadap "kerja" dengan menjelaskan konsep kerja itu dan
kedudukannya yang tinggi dalam ajaran Islam. Ringkasnya, kita dapat
simpulkan seperti berikut:-
- Kerja menurut konsep Islam adalah segala yang dilakukan oleh manusia yang meliputi kerja untuk dunia dan kerja untuk akhirat.
- Kerja untuk kehidupan dunia sama ada yang bercorak aqli/mental
(white collar job) atau bercorak jasmani (blue collar job) adalah
dipandang sama penting dan mulia di sisi Islam asal sahaja dibolehkan
oleh syarak.
- Islam mewajibkan kerja ke atas seluruh umatnya tanpa mengira darjat,
keturunan atau warna kulit, kerana seluruh umat manusia adalah sama di
sisi Allah, melainkan kerana taqwanya.
- Masyarakat Islam adalah sama-sama bertanggungjawab dan bekerjasama
melalui kerja masing-masing. Berdasarkan kebolehan dan kelayakan serta
kelayakan bidang masing-masing kerana segala kerja mereka adalah
bersumberkan iman dan bertujuan melaksanakan amal soleh.
- Kerja adalah asas penilaian manusia dan tanggungjawab yang diberikan
kepadanya sebagai khalifah Allah dan hamba-Nya untuk memakmurkan bumi
ini dan sekaligus pula beribadat kepada Allah, Tuhan Pencipta alam.
- Kerja merupakan cara yang tabi'i untuk manusia mencari nafkah bagi
menyara hidup dan keluarga melalui berbagai sektor pekerjaan dan
perusahaan yang sedia terbuka peluangnya dengan persediaan dan kemudahan
alam yang Allah sediakan di atas muka bumi ini.
- Islam melarang/menolak pengangguran kerana ia akan mendedahkan
kepada kelemahan dan kefakiran dan jatuhnya maruah diri/ummah, kerana
Islam menghendaki setiap umatnya bermaruah dan berdikari, tidak
meminta-minta dan berharap kepada bantuan dan belas kasihan orang lain,
bahkan sebaliknya hendaklah menjadi umat yang kuat dan mampu membela
mereka yang lemah dan tertindas agar seluruh manusia menikmati keadilan
dan rahmat yang dibawa oleh Islam sebagai agama atau "ad-Din" yang
tertinggi dan mengatasi seluruh kepercayaan dan ideologi manusia. Firman
Allah S.W.T bermaksud: "Dialah Allah yang mengutuskan Rasul-Nya
(Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (Islam) supaya
ia meninggikan atas segala agama yang lain, walaupun orang musyrik
membencinya".
0 comments:
Post a Comment