Oleh yang demikian, sebagai umat Islam yang mampu seharusnyalah mengambil iktibar terhadap galakan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam kepada sahabat-sahabat Baginda untuk berbuat demikian.
Korban dari segi bahasa bererti dekat dan dari segi istilah syarak pula korban bererti mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wataala dengan jalan menyembelih binatang dengan niat yang tertentu dan dalam waktu yang tertentu pula.
Ibadat korban dilakukan pada Hari Raya Adha atau pada hari-hari tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijah. Menurut Mazhab Al-Imam As-Syafie hukum ibadat korban ialah sunat muakadah dan binatang-binatang yang hendak dikorbankan itu hendaklah terdiri daripada unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri dengan syarat binatang yang hendak dikorbankan itu hendaklah selamat daripada aib yakni kecacatan mengikut hukum syarak.
Ibadat korban terbahagi kepada dua: korban nazar dan korban sunat. Menurut hukum syarak daging korban nazar wajib disedekahkan keseluruhannya, sementara daging korban sunat dilakukan seperti berikut:
Pertama : Kesemua daging korban tersebut disedekahkan kepada fakir dan miskin dan bagi orang yang berkorban bolehlah mengambil sedikit sekadar beberapa suap untuk mengambil berkat dari korban tersebut.
Kedua : Daging korban tersebut dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu satu pertiga disedekahkan kepada fakir miskin, satu pertiga dihadiahkan kepada umat Islam dan satu pertiga lagi untuk orang yang berkorban.
Sesugguhnya amalan ibadat korban itu mengandungi banyak hikmah dan fadilat antaranya:
Pertama : Supaya kita sentiasa ingat terhadap kisah Nabi Ibrahim Alaihissalam yang telah diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wataala supaya menyembelih anaknya Nabi Ismail Alaihissalam sebagai korban dan Allah menggantikan dengan seekor kibas.
Kedua : Memupuk semangat prihatin dan pemedulian terhadap masyarakat sesama Islam khususnya golongan yang tidak berkemampuan iaitu fakir dan miskin dengan memberikan daging korban tersebut kepada mereka.
Ketiga : Sebagai tanda syukur kepada Allah Subhanahu Wataala terhadap nikmat-nikmat yang dikurniakan-Nya kepada kita.
Keempat : Menanamkan nilai-nilai murni yang digalakkan oleh Islam ke dalam jiwa seperti sifat belas kasihan, sikap penyayang, bekerjasama, suka menolong, bersedekah dan sebagainya.
Keutamaan ibadat korban banyak diceritakan dalam hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di antaranya ialah sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya:
"Dari Aisyah Radiallahuanha bahawasanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Tiada sesuatu amalan yang dikerjakan oleh anak Adam pada Hari Raya Haji yang lebih disukai oleh Allah Subhanahu Wataala dari menumpahkan darah. Bahawasanya ia (korban itu) datang pada Hari Kiamat dengan tanduk-tanduknya dan bulu-bulunya dan kukunya, dan bahawasanya darah (korban itu) mendapat tempat yang mulia di sisi Allah Subhanahu Wataala sebelum darah itu tumpah ke bumi, oleh kerana itu hendaklah kamu berkorban dengan hati yang bersih.'' (Riwayat Al-Imam At-Tarmizi).
Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana kita di Negara kita telah sedar dan peka akan kelebihan ibadat korban di mana setiap kali kedatangan Hari Raya Adha, amalan korban diadakan di sana sini seperti di masjid-masjid, di sektor-sektor awam dan swasta dan tidak kurang juga yang mengadakan ibadat korban secara persendirian di rumah masing-masing, dengan adanya amalan ibadat korban sedemikian jelas membuktikan wujudnya suasana kerjasama dan bantu-membantu di antara semua pihak.
Di samping kita mengharapkan ibadat korban kita diterima oleh Allah Subhanahu Wataala maka dalam keghairahan kita melakukan amalan berkorban itu perlu juga diingat supaya anggota-anggota yang tidak berguna dan tidak diperlukan seperti tulang, perut dan sebagainya hendaklah disempurnakan dengan cara menanamnya. Dan tempat majlis korban diadakan jika terdapat sisa-sisa dan darah binatang korban yang masih ada, hendaklah dibersihkan bagi mengelakkan bau busuk dan didatangi oleh binatang-binatang.
Akhirnya marilah kita sama-sama berdoa semoga setiap amalan kebajikan yang kita lakukan termasuklah amalan korban kita akan diterima dan mendapat ganjaran pahala yang besar dari Allah Subhanahu Wataala jua, Amin.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Hajj ayat 37 yang tafsirnya:
"Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai keredaan Allah, tetapi ketaqwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hadiah-Nya kepada kamu. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.''
0 comments:
Post a Comment