PENDAHULUAN
Keruntuhan moral dan akhlak remaja Islam pada hari ini sudah sampai ke satu tahap yang amat membimbangkan . Di merata tempat khususnya di bandar-bandar besar kita dapat saksikan gelagat dan aksi mereka yang boleh dikatakan keterlaluan dan tidak pernah kita fikirkan sebelum ini seperti minum minuman keras, pergaulan bebas, memukul guru dan sebagainya . Suatu perkara yang mengkhuatirkan kita adalah remaja Islam hari ini sudah berani meninggalkan kewajipan mereka yang seharusnya dilaksanakan oleh setiap muslim yang akil baligh . Kejadian-kejadian seperti ini mengajak kita berfikir di mana salahnya sehingga fenomena sebegini boleh terjadi .
PUNCA KEKELIRUAN REMAJA
Berbagai-bagai tindakan negatif remaja Islam pada hari ini sehingga meruntuhkan nilai-nilai akhlak mereka boleh dikatakan berpunca daripada kekeliruan mereka dalam memahami dan menyingkapi masa muda. Majoriti daripada mereka beranggapan bahawa masa muda adalah masa untuk bersuka ria, bebas tanpa sebarang ikatan peraturan dan bersenang-lenang. Justeru belum puas mengecapi nikmat kebebasan hidup, ada di kalangan mereka yang sanggup mengetepikan soal akidah dan syari’at kerana dikatakan belum sampai waktu untuk beramal ibadat atau pun ia bukan gaya hidup remaja moden.
Sebenarnya, masa muda merupakan titik mula yang paling sesuai seseorang itu memupuk dan memperbanyak amal kebajikan, beramal soleh dan menabur bakti sebanyak mungkin. Apabila seseorang itu sudah dibiasakan dengan perkara-perkara mahmudah sejak kecil, sudah pasti masa dewasanya adalah dicorakkan dengan perkara-perkara mahmudah atau amalan-amalan kebaikan juga. Keadaan ini amat bersesuaian dengan hadith Rasululllah SAW yang bermaksud :
“Setiap anak itu dilahirkan secara fitrah , maka ibu bapanyalah yang sama ada menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi”.
Berikut dikemukakan beberapa bentuk kebejatan moral di kalangan remaja Islam dan pandangan Islam mengenainya :
1. MEREMEHKAN KEWAJIPAN
Golongan remaja yang meremehkan kewajipan-kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. adalah mereka yang alpa dan tidak sedar bahawa tujuan Allah S.W.T. mencipta manusia ialah semata-mata untuk beribadat kepada-Nya. Kealpaan ini telah menyebabkan mereka gagal melaksanakan segala tuntutan dan kewajipan dirinya sebagai hamba Allah S.W.T, dan kewajipan terhadap hak dirinya serta terhadap masyarakat sekeliling.
Kewajipan yang paling ketara dilupakan atau diremehkan oleh kebanyakan remaja Islam adalah solat fardhu lima waktu yang merupakan ibadat paling agung setelah syahadatain. Bahkan terdapat juga kalangan mereka yang tidak mendirikan solat itu memberikan alasan tidak tahu mengerjakan solat . Jika ditinjau dari sudut syariat , sepatutnya mereka telah dididik dan dibimbing oleh ibu bapa mereka bagaimana cara mendirikan solat sejak umur tujuh tahun lagi selaras dengan hadis Nabi S.A.W.:
“Perintahkanlah anak-anak kamu supaya mendirikan solat ketika umurnya tujuh tahun dan pukullah dia apabila mencapai usia sepuluh tahun ( jika dia enggan melakukannya )” .
Apabila seseorang itu telah mengabaikan kewajipan solat maka kita akan dapati ia juga akan mengabaikan tanggungjawabnya yang lain dan akhlak dalam kehidupan sehariannya juga menggambarkan akhlak yang mazmumah . Ini adalah kerana solat merupakan benteng kepada seseorang itu daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar . Ia berdasarkan firman Allah yang bermaksud :
“Sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar…”
Surah Al-Ankabut : 45
Kita juga dapat melihat remaja Islam sering mengabaikan kewajipan dalam hal menuntut ilmu. Oleh sebab inginkan keseronokan dalam kehidupan, mereka tidak menghiraukan masa depannya sendiri. Ilmu yang sepatutnya ditimba dan dicari sebanyak mungkin dalam masa usia muda dibiarkan walaupun peluang untuk menimba ilmu sebanyak-banyaknya amat luas. Justeru itu, kita dapati timbul masalah-masalah disiplin di sekolah seperti ponteng kelas atau sekolah , tidak membuat kerjarumah yang diarahkan oleh guru jauh sekali membuat kajian sendiri atau ulangkaji .
2. MENSIA-SIAKAN WAKTU MUDA
Perkara ini berlaku disebabkan oleh tiada kesedaran mengenai hakikat usia muda dan hakikat realiti kehidupan manusia . Sekiranya remaja mengetahui hakikat masa muda itu adalah kehidupan sebenar manusia, maka mereka tidak akan membiarkan zaman remaja berlalu begitu sahaja. Masa muda adalah masa yang paling produktif dan medan yang subur untuk memperbanyak amal kebajikan, masa yang penuh semangat dan keinginan yang membara.
Cuba remaja perhatikan dan renungkan bagaimana seorang yang telah uzur menunaikan solat. Betapa kepayahan dan kesukaran untuk duduk dan bangkit semasa menunaikan kewajipan tersebut. Bayangkanlah sekiranya anda berada dalam situasi itu. Sebahagian ulamak salaf berkata:
“Wahai anak Adam! Kamu adalah hari-hari yang berputar, apabila berlalu satu hari, maka umur kamu telah berkurangan”.
3. TABIAT MEROKOK
Fenomena merokok di kalangan remaja terutama pelajar sekolah amat membimbangkan . Ini berdasarkan kepada sikap remaja hari ini yang tidak merasakan segan dan silu terhadap masyarakat sekitarnya semasa membeli rokok di kedai secara terbuka. Walaupun amaran tidak boleh menjual rokok kepada remaja di bawah umur 18 tahun terpampang di mana-mana, namun keghairahan remaja untuk mendapatkannya menggambarkan kepada kita betapa seriusnya masalah ini dan betapa remaja tidak dapat menahan dan mengekang rasa ketagih terhadap rokok.
Keburukan tabiat merokok sudah diketahui umum, sama ada dilihat dari aspek kesihatan, kejiwaan, sosial malah ekonomi. Oleh sebab itu, tidak hairanlah banyak ulamak yang menyatakan hukum merokok adalah haram berdasarkan dalil yang berkaitan dengan bahaya-bahaya tersebut.
4. SUKA MENIRU BUDAYA ORANG KAFIR
Naluri remaja yang belum mencapai tahap kematangan yang memadai mudah terikut dengan arus perdana sama ada positif atau negatif. Ini ditambah dengan keinginan mencuba perkara baru dalam kehidupan tanpa memikirkan kesan, risiko serta akibat daripada percubaan tersebut. Sementara dari aspek kesihatan pula, budaya mewarnakan rambut menurut kajian klinikal oleh doktor boleh menyebabkan penyakit barah otak atau barah kulit yang serius. Manakala dari aspek keagamaan, Islam melarang umatnya mewarnakan rambut kerana ia menjadi punca sesuatu amalan yang dilakukan tidak diterima.
Remaja lebih bangga apabila menjadikan seseorang artis sebagai idola mereka. Tidak cukup hanya membeli kaset atau cakera padat artis yang dipuja, malah sanggup menampal gambar artis tersebut di dinding bilik mereka. Lebih membanggakan lagi apabila remaja tersebut dapat menyanyikan lagu-lagu artis pujaan mereka seperti nyanyian dalam kaset.
Remaja kini merasa amat malu untuk menghiasi diri mereka dengan ketinggian akhlak yang dianjurkan oleh Islam sehingga mereka lupa sabda Rasulullah S.A.W:
“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk dalam golongan itu”.
(Riwayat Ahmad dan Abu Daud).
5. MENGGUNAKAN KATA-KATA KESAT DAN LUCAH
Fenomena ini amat ketara dalam masyarakat terutama di kalangan remaja. Sikap ini telah diberi penekanan oleh al-Qur’an di dalam surah al-hujurat ayat 11-12. Sikap suka memperlekehkan orang lain berpunca daripada keegoan yang tinggi dan sikap dengki yang tidak terkawal. Suka memandang orang lain dengan penuh rasa curiga dan syak wasangka. Bermula dari sinilah lahir sikap suka menggelar seseorang dengan gelaran yang tidak baik yang boleh menjatuhkan maruahnya.
Pengaruh media massa terutama media elektronik seperti televisyen, komputer dan radio menyajikan maklumat lucah dan kata-kata yang kesat menggalakkan penggunaan kata-kata tersebut di kalangan remaja. Dalam hal ini, marilah kita mengimbas sebuah hadith Rasulullah S.A.W. yang mengingatkan kita bahaya mencaci dan menghina orang lain :
“Di antara dosa besar adalah seseorang mencaci kedua ibu bapanya ?” Para sahabat bertanya:“Bagaimana seseorang mencaci orang tuanya?” Nabi bersabda: “Dia mencaci bapa seseorang maka orang itu mencaci bapanya”.
6. DERHAKA KEPADA KEDUA IBU BAPA
Ibu bapa adalah orang yang istimewa dalam kehidupan seorang insan. Tanpa mereka berdua , siapalah kita sebagai anak. Namun pada hari ini anak-anak kurang menghormati dan menghargai ibu bapa mereka, terutama anak-anak remaja.
Mereka sanggup menengking dan mengherdik ibu bapa mereka bagaikan orang gaji di rumah apabila permintaan mereka tidak dipenuhi . Lebih malang lagi terdapat di kalangan remaja yang berani mengugut ibu bapa dengan ugutan yang boleh mengancam keselamatan ibu bapa.
Kekadang anak remaja yang sedang meningkat dewasa , dilamun cinta dengan pasangan yang berlainan jantina. Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi memenuhi permintaan pasangan mereka , walaupun terpaksa menggunakan wang saku yang diberikan oleh ibu bapa mereka . Malah mereka tergamak mengenepikan harapan ibu bapa mereka demi menjaga hati pasangan mereka.
Adakah wajar tindakan anak remaja yang telah dididik dan dibesarkan dalam suasana kasih sayang sekian lama oleh ibu bapa , dengan tidak semena-mena mereka lebih mengutamakan orang lain yang baru dikenali dan tidak diketahui hati budi mereka?
Cukuplah maksud hadis Nabi S.A.W. sebagai amaran keras kepada remaja yang belum sedar dan insaf tentang keterlanjuran mereka menderhaka ibu bapa :
“ Terlaknatlah siapa saja yang menderhakai kedua ibu bapanya ”.
KESIMPULAN
Remaja adalah manusia muda yang sedang mengalami alam pancaroba secara biologikal dan psikologikal . Mereka memerlukan pendekatan tersendiri dalam membentuk tingkah laku dan pertumbuhan jiwa agar tidak terkeluar dari garis panduan yang ditetapkan oleh syariat . Di sinilah letaknya peranan golongan dewasa khususnya ibu bapa, para pendidik dan ahli cendekiawan yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perkembangan diri remaja . Mereka perlu memainkan peranan secara kolektif termasuklah mendidik , membimbing , melindungi dan mempersiap anak remaja untuk menjadi anggota masyarakat yang berkualiti . Mereka juga seharusnya bertindak sebagai penghubung antara kehidupan remaja dengan kehidupan sosial sehingga mereka dapat memahami matlamat kehidupan yang sebenar .
2 comments:
satu pentarbiyahan untuk remaja cam saya... well done..
nak tau tak, dr Lo'Lo' kata :Akhlak pelajar kolej komuniti membimbangkan....visit her blog
bagus la en3 awak....saya harap remaja macam saya nie tak tergolong dlm golongan yang disebutkan tu...
Post a Comment