Islam menuntut umatnya bekerja secara yang disyariatkan atau dibenarkan menurut syarak bagi menjamin kebaikan bersama dan mengelak dari meminta-minta dan sebaliknya hendaklah berdikari.
Islam adalah sentiasa memandang berat dan menyeru umatnya untuk bekerja dan terus mencari rezeki melalui dua pendekatan berikut:
a. Islam melarang dan mencegah umatnya meminta-minta.Islam melarang dan mencegah umatnya meminta-minta dan menganggur. Banyak hadith-hadith Nabi s.a.w. mengenai larangan berusaha dengan cara meminta-minta.
Baginda Rasulullah s.a.w. sering benar mengarahkan orang yang datang meminta-minta supaya mereka bekerja.
Umpamanya suatu ketika seorang fakir datang meminta-minta kepada baginda, lalu baginda bertanya: "Adakah anda memiliki sesuatu?" "Tidak," kata lelaki itu.
Baginda bertanya lagi dengan bersungguh-sungguh, lalu lelaki itu menjawab: "Saya ada sehelai hamparan yang separuhnya kami jadikan alas duduk dan separuh lagi kami buat selimut dan ada sebuah mangkuk yang kami gunakan untuk minum.
"Maka baginda bersabda kepadanya: "Bawa kedua-duanya benda itu kepada saya."
Lalu dibawanya kedua-dua barang itu kemudian Nabi tunjukkan barang-barang itu kepada orang yang berada di sisi baginda kalau ada sesiapa yang hendak membelinya.
Akhirnya baginda dapat menjualnya dengan harga dua dirham dan diberikannya wang tersebut kepada lelaki itu sambil baginda berkata: "Belilah makanan untuk keluargamu dengan satu dirham manakala satu dirham lagi belikanlah sebilah kapak."
Kemudian Rasulullah meminta lelaki itu datang lagi, lalu lelaki itu pun datang dan baginda telah membubuhkan hulu kapak itu dan menyuruh lelaki itu pergi mencari kayu api sambil baginda mengatakan supaya lelaki itu tidak akan berjumpanya lagi dalam masa 15 hari.
Lelaki itu pergi dan kembali lagi kemudian selepas 15 hari sambil membawa 10 dirham, lalu ia berkata:
"Wahai Rasulullah, Allah SWT telah memberkati saya pada kerja yang tuan suruh saya itu."
Maka baginda Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ini adalah lebih baik daripada anda datang pada hari kiamat kelak sedang pada muka anda bertanda-tanda kerana meminta-minta."
b. Dengan cara menggalakkan dan mendorong seseorang Islam bekerja dengan berbagai-bagai galakan, sebagaimana hadis yang telah disebutkan mengenai pertanian, perniagaan, perusahaan dan sebagainya.
0 comments:
Post a Comment