Hikmah beriman kepada takdir ialah supaya kekuatan dan kecekapan manusia itu dapat mencapai kepada pengertian untuk menyedari adanya peraturan dan ketentuan-ketentuan Tuhan, kemudian dilaksanakan untuk membina dan membangun dengan bersendikan itu, juga untuk mengeluarkan harta benda yang terdapat dalam perbendaharaan bumi agar dapat diambil manfaatnya. Selain itu agar dapat diolah pula segala kebaikan yang dapat digali dari benda-benda yang terdapat dalam alam semesta ini.
Dengan demikian maka keimanan kepada takdir itu adalah merupakan suatu kekuatan yang dapat membangkitkan giat bekerja dan gairah berusaha, malah dapat merupakan dorongan yang positif untuk memperoleh kehidupan yang layak dan pantas di dunia ini, sebagaimana juga halnya keimanan kepada takdir itu akan menghubungkan manusia ini dengan Tuhan Yang Maha Menguasai seluruh yang maujud ini. Demikianlah sehingga manusia itu akan dapat mengangkat dirinya kepada sifat-sifat yang luhur dan mulia. Akhirnya ia akan menjadi seorang yang enggan diperintah tabah menghadapi kesukaran, berani membela yang hak, berhati baja untuk merealisasikan hal-hal yang benar serta mengemban segala kewajiban yang dipikulkan kepadanya.
Beriman kepada takdir akan memberikan pelajaran kepada manusia bahawa segala sesuatu yang ada dalam alam semesta ini hanyalah berjalan sesuai dengan kebijaksanaan yang telah digariskan oleh Zat Yang Maha Tinggi. Oleh sebab itu, jika ia tertimpa kemudaratan, ia pun tidak akan menyesal, tetapi sebaliknya jika ia dilimpahi pertolongan dan keuntungan, ia pun tidak bergembira sehingga lupa daratan. Manakala seseorang itu sudah tidak bersifat kedua hal di atas yakni tidak menyesal, lemah atau lumpuh kerana timbulnya keburukan yang tidak diharapkan, juga tidak gembira yang melampaui batas kerana mendapat pertolongan dan keuntungan, maka itulah seorang manusia yang lurus, terpuji, dapat mencapai arah keluhuran dan ketinggian yang teratas sekali.
Inilah yang dituju dalam arti firman Allah SWT, “Tidak ada suatu musibah (bencana) yang terjadi di bumi atau yang mengenai dirimu semua itu melainkan telah tercantum dalam kitab catatan sebelum Kami laksanakan terjadinya. Sesungguhnya hal yang sedemikian itu bagi Allah adalah suatu hal yang mudah sekali. Perlunya ialah supaya kamu semua tidak berduka-cita terhadap apa yang lepas dari tanganmu dan tidak pula bangga terhadap apa yang diberikan oleh Allah padamu. Allah tidak mencintai setiap orang yang sombong serta membanggakan diri sendiri.” (Q.S. Al-Hadid:22-23)
Pengertian sebagaimana di atas itulah yang wajib kita insafi untuk memahami makna takdir itu. Itulah pengertian yang dikemukakan sesuai dengan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, juga seperti itulah yang dipahami oleh para sahabatnya.
Pada suatu hari Rasulullah SAW masuk ke rumah Ali r.a. selesai solat isyak. Saat itu dilihat menantunya sudah masuk tidur dan terlalu awal sekali. Beliau lalu bersabda, “Alangkah baiknya kalau kamu bangun dari sebahagian waktu malam (untuk solat sunah).” Ali r.a. menjawab, “Ya Rasulullah, diri kita semua ini adalah dalam genggaman kekuasaan Allah. Jika Tuhan menghendakinya tentu Dia limpahkan rahmat-Nya dan jika tidak, tentu Dia tarik kembali.” Mendengar jawaban itu Rasulullah SAW marah. Beliau lalu keluar sambil memukul-mukul pahanya dan bersabda, “Sungguh manusia itu amat banyak sekali membantah.”
Pernah pula terjadi di zaman pemerintahan Khalifah Umar r.a., suatu pencurian, setelah pencuri itu tertangkap dan dibawa ke hadapan Umar r.a. lalu ditanya, “Mengapa engkau mencuri?” Pencuri itu menjawab, “Memang Allah sudah mentakdirkan demikian atas diriku.” Marah sekali beliau mendengar jawapan orang itu, kemudian dia berkata , “Pukul saja orang itu tiga puluh kali dengan cemeti, setelah itu potong tangannya!” Orang-orang yang ada di situ bertanya, “Mengapa hukumannya diperberat seperti itu?” Beliau menjawab, “Ya, itulah yang tepat. Ia wajib dipotong tangannya sebab mencuri dan wajib dipukul kerana berdusta atas nama Tuhan.”
Melihat dua kejadian di atas, kita dapat mengambil kesimpulan bahawa takdir itu sama sekali tidak boleh dianggap sebagai jalan untuk bertawakal yang tidak sewajarnya, tidak boleh pula dijadikan sebab untuk melakukan kemaksiatan, bahkan tidak boleh diartikan sebagai suatu paksaan Tuhan kepada seseorang hamba-Nya tetapi bahkan sebaliknya iaitu bahawa takdir harus dianggap sebagai jalan untuk mewujudkan tujuan atau cita-cita yang besar dari sekian banyak macam amal perbuatan yang besar pula. Dari situ dapat pula diambil kenyataan bahawa takdir, dapat ditolak dengan takdir, misalnya ialah adanya takdir rasa lapar, maka ini dapat dilawan dengan takdir makan, takdir rasa dahaga dilawan dengan takdir minum sampai puas, takdir sakit dilawan dengan takdir pengubatan diri sampai sihat kembali dan takdir malas dilawan dengan takdir giat serta gairah bekerja.
Abu Ubaidah bin Jarrah r.a. pernah bertanya kepada Umar r.a. sewaktu Umar r.a. lari dari penyakit taun, katanya, “Mengapa Tuan lari dari takdir Tuhan?” Umar r.a. menjawab, “Betul, saya memang lari dari takdir Allah untuk pergi ke takdir Allah pula.'' Yang dimaksudkan ialah bahawa beliau itu menghindar dari takdir terjangkiti penyakit dan marabahaya untuk pergi ke takdir tetap sehat walafiat. Selanjutnya dia membuat suatu perumpamaan sebagai suatu tanah yang tandus dan tanah yang subur. Artinya ialah apabila seseorang itu berpindah dari tanah yang tandus ke tanah yang subur, agar di situ dapat menggembala untanya, maka berarti ia berpindah dari suatu takdir dan pergi ke takdir lain.
Sebenarnya dapat saja Rasulullah SAW dan para sahabat berdiam diri untuk tidak mengelakkan bahaya yang dihadapi, sebagaimana berdiamnya kaum lemah yang sudah berputus-asa dan tidak berdaya, serta membuat-buat alasan dengan menggunakan cara pemahaman yang salah yang biasa digunakan oleh orang yang sudah tidak punya tenaga apa-apa tetapi Rasulullah SAW tidak suka berbuat sedemikian. Beliau merasa berkewajiban untuk menyingkapkan tabir sehingga akan tampak jelas arah yang benar. Oleh sebab itu tidak ada rasa kerendahan atau kelemahan yang menimpa pada dirinya. Beliau malah meminta pertolongan dengan takdir untuk merealisasi risalahnya yang besar itu, dengan terus menetapi sunatullah untuk memberikan pertolongan pada hamba-hamba-Nya.
Dengan bersendikan pengertian yang benar sebagaimana di atas, lalu dilawanlah kemiskinan dengan berusaha keras dan bekerja giat, kebodohan dilenyapkan dengan menuntut ilmu pengetahuan, penyakit dengan pengobatan, kekafiran dan kemaksiatan dengan jihad dan lebih dari itu lagi apa yang dilakukan oleh Nabi SAW iaitu selalu memohon perlindungan kepada Tuhan agar dijauhkan dari malapetaka, kesedihan, kesusahan, kelemahan, kemalasan dan lain-lain.
Peperangan-peperangan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW yang banyak mendapatkan kemenangan yang gilang-gemilang itu, tidak lain hanya sebagai salah satu kenyataan dari iradah atau kehendak Allah Taala yang tertinggi yang semuanya itu berjalan sesuai dengan kemauan dan takdir-Nya yang tercantum sejak zaman azali. Tidak sekali dua kali Rasulullah SAW memperingatkan sekalian umatnya agar tidak mempunyai pengertian yang salah terhadap takdir itu. Beliau selalu menganjurkan supaya membetulkan serta menangkis orang yang berpendapat salah mengenai hal itu.
Diriwayatkan oleh Jabir r.a. dari Rasulullah SAW, sabdanya, “Pada akhir zaman nanti akan ada suatu golongan yang berbuat kemaksiatan, kemudian mereka berkata, ‘Allah menakdirkan perbuatan itu kita lakukan.’ Orang yang menentang pendapat mereka (yang salah) pada zaman itu adalah bagaikan orang yang menghunus pedangnya di jalan Allah.”
Itulah takdir yang seyogianya kita maklumi makna dan pengertiannya. Adapun segala sesuatu yang ada di balik pengertian takdir yang semacam di atas itu, maka sama sekali kita tidak boleh permasalahkan atau pun berselisih pendapat perihal itu, sebab yang sedemikian itu termasuk dalam rahasia Allah Taala yang pasti tidak dapat dicapai oleh akal pikiran dan tidak pula dapat diselidiki oleh siapa pun juga.
Huraian di atas itu adalah berdasarkan pada sebuah hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., katanya, “Pada suatu ketika Rasulullah SAW datang di tempat kita dan kita pada waktu itu sedang memperselisihkan persoalan takdir. Setelah Nabi SAW mengetahui apa yang sedang diperselisihkan, tampak sekali kemarahannya sehingga wajahnya merah padam. Lalu beliau bersabda, ‘Adakah dengan cara demikian itu aku ini diutus padamu semua? Sebenarnya yang menyebabkan orang-orang yang sebelummu itu menjadi rosak binasa keyakinannya ialah ketika mereka memperselisihkan persoalan ini. Aku berharap supaya kamu semua tidak memperselisihkan lagi hal semacam itu.’”
Oleh sebab itu Abu Hurairah r.a. setiap kali ditanya mengenai hal yang pelik dan sangat mendalam perihal takdir, ia selalu mengucapkan, “Itu adalah suatu jalan gelap, maka jangan saudara lalui.” Jika masih juga dipaksa untuk menerangkannya, maka dijawab dengan ucapan, “Itu adalah suatu lautan yang amat dalam, janganlah saudara terjun ke dalamnya.” Jika masih juga meneruskan pertanyaannya, lalu dia jawab, “Itu adalah rahasia yang dimiliki oleh Allah Taala, maka jangan cuba menyingkapnya.”
Pencegahan semacam ini hanyalah dilakukan terhadap sesuatu pertanyaan yang berhubungan langsung dengan ketentuan Allah Taala dalam cara mengatur perihal kehidupan atau kematian, kelapangan rezeki atau kesempitannya dan lain-lain, jadi bukan sekali-kali mengenai persoalan takdir itu sendiri.
0 comments:
Post a Comment