Kisah daripada hadis ini begitu menyentuh perasaan dan boleh memberi keinsafan dan pengajaran buat kita semua. Ini kerana kisah ini memang akan atau mungkin berlaku kepada diri kita atau sahabat kita atau mungkin ahli keluarga kita. Oleh itu, marilah sama-sama kita hayati kisah daripada hadis ini dan anda mungkin merasai suatu kebenaran apa yang tersirat di dalamnya.
Dari Abdullah Bin Umar r.a, Nabi s.a.w telah bersabda:
“Ketika 3 orang lelaki sedang berjalan, hujan telah turun lalu mereka memasuki sebuah gua untuk berlindung. Lalu sebuah batu besar telah menutupi pintu gua dan mereka terperangkap di dalamnya. Salah seorang antara mereka berkata: Renungilah sejenak tentang amal soleh yang telah kamu lakukan kepada ALLAH. Kemudian, mohonlah kepada ALLAH dengan amal soleh itu agar ALLAH menghilangkan kesusahan ini.
Seorang daripada mereka berkata: Ya ALLAH! Sesungguhnya, aku mempunyai ibu bapa yang sudah tua dan telah lanjut usianya. Aku juga mempunyai anak-anak yang masih kecilAku membantu mereka menjaga ternakan. Apabila pulang, aku memerah susu untuk mereka. Aku akan mendahulukan kedua-dua orang tuaku sebelum anakku sendiri.
Tetapi pada suatu hari aku terlewat pulang dan aku temui mereka berdua setelah malam melabuhkan tirainya. Ketika itu, aku mendapati mereka berdua telah tidur. Seperti biasa aku memerah susu lalu aku menunggu mereka jaga dari tidur berdekatan dengan kepala mereka. Aku juga tidak suka memberi anakku minum selagi mereka tidak meminum susu itu sedangkan anak-anakku menangis-nangis kelaparan di hujung kakiku hingga ke subuh.
Oleh kerana ENGKAU Mengetahui aku melakukan semua itu hanya mengharapkan keredhaan-MU, hilangkan kesusahan kami ini dengan membuka sedikit lubang agar kami dapat melihat langit. Lalu ALLAH membuka sedikit lubang hingga mereka mampu melihat langit.
Lelaki kedua berkata: Aku mempunyai seorang sepupu perempuan. Aku amat menyayanginya sebagaimana seorang lelaki menaruh perasaan cinta kepada seorang perempuan. Aku menggodanya tetapi dia menolak hinggalah aku menawarkan 100 dinar lalu dia terpedaya dan aku berjaya mengadakan hubungan dengannya.
Tetapi di saat aku ingin mencabul maruahnya, dia telah berkata: Wahai hamba ALLAH! Bertakwalah kepada ALLAH dan jangan sesekali engkau ‘membuka cincin’ kecuali dengan cara yang betul. Lantas aku bangun. Oleh kerana ENGKAU Mengetahui aku melakukan semua itu hanya mengharapkan keredhaan-MU, hilangkan sedikit kesusahan kami ini lalu ALLAH membuka sedikit lubang lagi.
Lelaki ketiga berkata: Ya ALLAH! Sesungguhnya aku telah memberi upah kepada seorang lelaki agar menanam beras. Setelah selesai bekerja, dia berkata: berikan hak aku. Apabila aku ingin menyerahkan upahnya, dia menolak. Lalu aku laburkan upahnya itu hingga menghasilkan haiwan ternakan yang berupa lembu-lembu yang banyak dan anak-anaknya. Dia telah datang kembali kepadaku lalu berkata: Bertakwalah kepada ALLAH (seolah-olah dia meminta haknya).
Aku berkata: Pergilah kepada lembu-lembu dan anak-anaknya dan ambilah kesemuanya. Lantas dia berkata: Bertakwalah kepada ALLAH. Jangan mempermainkan aku. Jawabku: aku tidak mempermainkan engkau. Ambilah milikmu lalu diambilnya. Oleh kerana ENGKAU Mengetahui aku melakukan semua itu hanya mengharapkankeredhaan-MU, hilangkan sedikit kesusahan kami ini lalu ALLAH membuka lubang itu.”- (HR Bukhari dan Muslim)
0 comments:
Post a Comment